Friday, August 18, 2000

Pemilikan ekuiti penebus maruah

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 18 Ogos 2000)

Seminar Kebangsaan Sistem Ekonomi Islam yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini merupakan suatu usaha yang amat dialu-alukan dalam mengembalikan semula kewibawaan Sistem Ekonomi Islam terutama di era globalisasi masa kini.

Menyedari hakikat ini, pelbagai peringkat masyarakat telah mula sedar akan peri pentingnya satu perancangan teliti dibuat agar masalah yang dihadapi sedikit masa lalu tidak berulang di masa hadapan.

Peredaran zaman yang begitu pantas ditambah dengan corak kehidupan yang semakin mencabar amat menuntut kepada sesuatu yang bersesuaian dengan fitrah manusia. Dalam hal ini, Sistem Ekonomi Islam diyakini dapat mengatasi kepincangan yang berlaku dalam pengurusan ekonomi negara.

Secara umumnya, Islam adalah satu agama yang sempurna, dalam erti kata lain, ia merangkumi semua bidang dan tahap kewujudan penganutnya di dunia dan di akhirat. Ini termasuklah sistem kewangan yang menjadi satu kemestian dalam kehidupan perekonomian manusia di dunia ini lebih-lebih lagi bagi masyarakat yang tinggi pencapaian taraf ekonominya.

Oleh yang demikian, kesempurnaan Islam adalah bermakna bahawa ia mempunyai sistem kewangannya yang tersendiri, sama juga seperti ia mempunyai sistem-sistem kehidupan manusia yang lain.

Pada dasarnya, Islam mengandungi tiga unsur iaitu akidah, syariah dan akhlak. Akidah adalah berkaitan dengan keimanan dan kepercayaan, dari yang sebesar-besarnya seperti beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hingga kepada yang kecil seperti kepercayaan dan penerimaan terhadap hukum-hukumnya.

Syariah pula adalah berkaitan dengan semua bentuk amalan dan perbuatan manakala akhlak adalah budi pekerti dan etika.

Sementara syariah pula dibahagikan kepada dua bahagian iaitu ibadat dan muamalat. Ibadat adalah mengenai penyembahan secara langsung terhadap Allah s.w.t dalam konteks hubungan manusia dengan Allah.

Manakala muamalat adalah mengenai interaksi manusia dengan manusia dalam konteks pelbagai bentuk hubungan manusia dengan manusia dan boleh digambarkan sebagai meliputi beberapa sistem seperti sistem pemerintahan, sistem sosial dan sistem ekonomi.

Sistem ekonomi selanjutnya mengandungi beberapa sistem kecil dan salah satu daripada beberapa sistem kecil dalam sistem ekonomi ini adalah sistem kewangan.

Maka jelaslah bahawa kita dapat dengan mudah menyoroti pertalian sistem kewangan Islam kepada sistem ekonomi Islam, kepada muamalat, kepada syariah, kepada Islam dan akhirnya kepada Allah. Inilah yang dimaksudkan bahawa Islam adalah satu agama yang sempurna dan menyeluruh yang juga mempunyai sistem kewangannya yang tersendiri dan serba lengkap.

Bertitik tolak daripada itu, sebagai masyarakat yang bertunjangkan kepada Islam sebagai agama rasmi negara adalah sewajarnya kita mempraktikkan suatu pendekatan yang terbaik dalam menguruskan kegiatan ekonomi yang bukan sahaja memperoleh pulangan dalam bentuk rezeki sebagai keperluan hidup tetapi juga mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.

Sehubungan itu, saranan kerajaan bahawa peri pentingnya penguasaan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) amat relevan dengan keadaan realiti masyarakat hari ini yang semakin kompleks dan mencabar. Dalam merealisasikan matlamat ini, saya berpandangan semua pihak harus memainkan peranan khususnya para ulama dan cendekiawan Islam dalam memberi penjelasan mengenai pentingnya untuk menguasai k-ekonomi ini.

Ini kerana, k-ekonomi merupakan alat yang penting untuk menjamin kekuatan ekonomi yang sekali gus boleh memperbaiki kualiti hidup sepertimana kemajuan yang dikecapi oleh umat Islam dalam bidang yang berasaskan sains dan teknologi.

Dengan kata lain, golongan ilmuwan ini juga boleh berperanan sebagai penyampai maklumat yang menjadi pemangkin untuk mencetuskan minat serta kecenderungan umat Islam terhadap usaha mencari maklumat dan menimba ilmu.

Sebagai golongan yang mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat, mereka berkeupayaan untuk memotivasikan umat Islam untuk memanfaatkan benda-benda baru khususnya berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Di samping itu, Islam juga melihat peranan sektor awam dan swasta turut penting dalam menyusun ekonomi negara agar menjadi lebih mantap dan seterusnya membawa tamadun bangsa ke mercu kejayaan.

Ini amat bersesuaian kerana dalam negara Islam, rakyat diberi ruang dan kebebasan serta dituntut supaya berusaha dalam mencapai paras kecekapan yang tinggi dalam aktiviti ekonomi mereka. Justeru, pertumbuhan ekonomi yang pesat sewajarnya diusahakan dalam kesemua sektor.

Rentetan daripada itu, umat Islam sewajarnya mengelak daripada hanya menjadi pengguna dalam era k-ekonomi ini sebaliknya perlu bertindak sebagai pembekal kepada orang lain.

Secara kesimpulannya, pada hemat saya tiada siapa yang dapat menafikan segala usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan kestabilan dan kemajuan ekonomi negara terutama dalam mengurang dan membasmi masalah kemiskinan di kalangan rakyat yang majoritinya adalah orang Islam merupakan satu tanggungjawab yang berhubung kait dengan kehendak Sistem Ekonomi Islam.

Demikian juga matlamat meningkatkan status perekonomian orang Islam melalui peningkatan bentuk pekerjaan, pengurusan dan pemilikan ekuiti adalah satu visi yang jauh bagi menebus maruah dan menjaga kekuatan Islam dan umatnya dalam negara ini.