Friday, September 14, 2001

Kukuhkan persaudaraan kerana iman

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 14 September 2001)

UKHUWAH ataupun persaudaraan dalam Islam merupakan suatu jalinan aqidah yang menghubungkan umat Islam antara satu sama lain. Ia juga merupakan ikatan rabbani yang mengikat antara hati-hati mereka serta merupakan jalinan yang erat untuk bertaqarub (mendekatkan diri) kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan orang-orang yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mengasihi orang-orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan di dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang dipelihara kekikiran dirinya mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah al-Hasyr: ayat 9)

Dari perspektif Islam, persaudaraan merupakan satu sendi yang menjadi tunjang dalam usaha memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan antara penganutnya. Persaudaraan atas dasar iman sentiasa dijadikan keutamaan di dalam nasihat-menasihati, memberikan khidmat, berkorban dan mengutamakan saudaranya melebihi dirinya sendiri.

Sesungguhnya persaudaraan yang telah diwujudkan oleh Islam itu mempunyai kedudukan paling tinggi daripada segala-galanya. Ini dapat dilihat kepada kemuncak kepada persaudaraan ini yang telah terlaksana dengan jayanya pada zaman kehidupan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat selepasnya. Lanjutan daripada itu, ukhuwah yang dibina dan dibentuk oleh Rasulullah s.a.w. itu juga telah dapat membentuk sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani di seluruh dunia.

Imam al-Ghazali di dalam analisisnya tentang bagaimana berlakunya persaudaraan telah membahagikan persaudaraan ini kepada pecahan yang besar iaitu persaudaraan secara pilihan sendiri atau yang diusahakan dan persaudaraan yang berlaku secara kebetulan.

Daripada penganalisisan tersebut, beliau selanjutnya mengklasifikasikan persaudaraan kepada empat kategori iaitu pertama, persaudaraan atas dasar untuk mendapatkan keseronokan. Kedua, persaudaraan atas dasar kepentingan diri sendiri. Ketiga, persaudaraan yang diusahakan untuk mendapat kebahagiaan di akhirat seperti penuntut ilmu yang mengasihi gurunya dan seterusnya yang keempat iaitu persaudaraan yang diusahakan hasil cetusan daripada kesedaran iman dan takwa kepada Allah s.w.t.

Daripada pengkategorian yang dibuat oleh Imam al-Ghazali tersebut, marilah kita kembali menilai diri kita adakah persaudaraan yang kita bina selama ini adalah kerana Allah atau sebaliknya. Ini kerana, persaudaraan yang berlandaskan keredhaan Allah s.w.t. adalah satu ibadah dan penunaian ibadah itu akan memberi implikasi kebahagiaan, keampunan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk membuktikan ketepatan dan kebenaran persaudaraan yang sempurna dalam kategori yang keempat, Imam al-Ghazali membawakan satu contoh doa Rasulullah s.a.w. iaitu :

Maksudnya: Ya Allah berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.

Oleh yang demikian, sebarang daya usaha untuk berkasih sayang, cinta-mencintai, hormat-menghormati, bekerjasama, tolong-menolong dan sebagainya sesama umat Islam yang diniatkan semata-mata kerana Allah s.w.t. adalah merupakan ikatan persaudaraan yang sempurna dalam ertikata yang sebenar.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

Perumpamaan kaum Muslimin yang saling kasih mengasihi dan cinta mencintai antara satu sama lain ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota merasa sakit maka seluruh tubuh akan turut merasa sakit dan tidak dapat tidur. (Riwayat Bukhari)

Dalam konteks ini, rohani dan jasmani akan terbentuk melalui ukhuwah yang dipraktikkan dan sentiasa istiqamah dengannya. Ia juga berperanan sebagai jambatan emas ke arah pencapaian keamanan dan kesejahteraan yang diimpikan oleh setiap manusia ke arah menghalang unsur-unsur perpecahan dan permusuhan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya orang mukmin itu adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (Surah al-Hujurat : ayat 10)

Pembentukan jasmani yang didasari melalui ikatan ukhuwah akan berjaya kerana melaluinya manusia dapat melaksanakan apa sahaja yang mereka ingini ke arah penyempurnaan keperluan hidup mereka.