Monday, December 10, 2001

Peranan hati dalam diri manusia

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 10 Disember 2001)

KEHIDUPAN seharian manusia sering kali menghasilkan tindakan-tindakan yang berasaskan kepada dorongan hati atau jiwanya.

Antara dorongan-dorongan hati termasuklah perasaan gembira, marah, kasih dan sebagainya. Namun demikian, manusia sering menghadapi pertarungan dalam dirinya sehinggalah beliau kalah atau menang atau terus menghadapi pertarungan itu.

Dalam hal ini, Allah S.W.T. berfirman, maksudnya:

Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya), maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya. (asy-Syam : 7-10)

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: Fitnah (cubaan) akan dibentangkan kepada manusia seperti tikar, satu demi satu, mana-mana hati yang dipengaruhinya akan tercatatlah di hati itu suatu titik hitam. Mana-mana hati yang melawannya akan tercatatlah pada hati itu satu titik putih, hinggalah hati itu menjadi salah satu dari dua jenis hati ; sama ada putih seperti batu putih yang tidak akan dicacatkan oleh sebarang fitnah atau menjadi hati yang hitam pekat, tidak mengenal maaruf dan mengingkari sebarang kemungkaran.

Dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada 3 golongan:

(1) Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Inilah golongan orang-orang kafir dan orang-orang yang menuruti cara mereka, iaitu orang-orang yang melupakan Allah, lantas Allah melupakan mereka.

(2) Golongan yang berjihad melawan dirinya iaitu bertarung memerangi hawa nafsunya. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat dan apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah.

(3) Golongan-golongan yang maksum (terpelihara dari dosa) iaitu para Nabi dan Rasul. Para Nabi dan Rasul adalah mereka yang dikurniakan keistimewaan oleh Allah sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka sebagai penyampai risalah Allah S.W.T. kepada seluruh manusia.

Sendi-sendi Kekuatan Dalam Pertarungan Jiwa

(1) Hati. Hati akan menjadi sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa apabila hati itu terus hidup, lembut, bersih dan cekal.

Kata Sayidina Ali bin Abi Talib k.w. : Allah mempunyai bejana di bumi ini, iaitu hati. Hati yang paling Allah kasihi ialah hati yang paling lembut, paling bersih dan paling cekal.

Al-Quran juga telah menggambarkan hati orang-orang mukmin iaitu sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Orang-orang yang apabila disebut nama Allah, akan gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, maka bertambahlah keimanan mereka kepada-Nya. (al-Anfal : 2)

Dalam menggambarkan hati orang-orang kafir pula, Allah s.w.t. juga berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada. (al-Hajj :46)

(2) Akal. Akal akan menjadi sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiranya akal itu dapat melihat, mengetahui sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat menyedut sesuatu daripada ilmu yang kelak akan digunakan untuk mencapai tempat yang hampir dengan Allah, mengetahui kekuatan dan kebesaran Allah.

Akal mukmin yang sedar juga dapat membezakan antara baik dan buruk, halal dan haram, maaruf dan munkar, kerana mukmin yang sedar itu melihat perkara ini dengan cahaya dari Allah yang dapat melihat sesuatu di sebalik tabir yang halus.

Apabila hati manusia itu telah mati atau menjadi keras dan apabila akal manusia itu padam dan tidak bercahaya atau menyeleweng serta apabila manusia itu telah tewas dalam pertarungan dengan syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk bagi segala kejahatan ke dalam jiwanya lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui bahawa syaitan itu meresap ke dalam diri anak-anak Adam sebagaimana darah meresap dan mengalir dalam tubuhnya.

Antara amalan-amalan yang dituntut oleh Islam sebagai jalan untuk memelihara hati dan mengelakkan diri daripada tipudaya syaitan ialah mengingati Allah sewaktu mula melakukan kerja.

Dalam konteks ini, Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa syaitan bagi orang-orang mukmin telah bertemu dengan syaitan bagi orang-orang kafir. Syaitan bagi orang kafir itu keadaannya gemuk manakala syaitan bagi orang mukmin itu kurus kering dan dalam keadaan dukacita, lantas syaitan orang kafir itu bertanya syaitan kepada orang mukmin: Kenapa kamu kurus kering dan dukacita? Syaitan orang mukmin itu menjawab: Aku mendampingi seseorang untuk menggodanya. Apabila orang itu hendak makan beliau menyebut nama Allah, jadi aku terus lapar. Apabila minum beliau menyebut nama Allah, jadi aku terus kehausan. Apabila beliau memakai pakaian beliau menyebut nama Allah, dengan itu aku terus bertelanjang. Apabila beliau memakai minyak rambut beliau menyebut nama Allah, dengan itu rambutku terus kering dan kusut. Syaitan orang kafir itupun menjawab: Tetapi aku mendampingi seorang yang tidak melakukan sedikitpun daripada apa yang engkau sebutkan itu. Oleh itu, aku berkongsi dengannya pada makanannya, minuman dan pakaiannya.

Antara benteng-benteng yang juga dapat melindungi seseorang manusia dari pengaruh syaitan ialah dengan membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya di atas hati anak Adam (manusia). Apabila beliau (manusia) berzikir, syaitan itu akan berundur dan apabila beliau lupa kepada Allah, syaitan itu akan mengunyah hatinya.

Secara kesimpulannya, sebagai manusia yang serba-serbinya lemah kita perlu senantiasa mengingati Allah dalam setiap perkara dan di mana sahaja kita berada bagi memastikan hati kita tidak mudah terpedaya dengan pengaruh dan hasutan iblis dan syaitan. Di samping itu juga, kita perlu bermuhasabah (menilai diri sendiri) tentang sejauhmana kita benar-benar mematuhi perintah Allah dalam setiap tugasan harian kita. Moga-moga kita sentiasa dirahmati oleh Allah s.w.t. InsyaAllah.