Friday, March 28, 2003

Asmaul Husna - Jangan cemarkan namanya

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 28 Mac 2003)

ALLAH s.w.t mempunyai sifat yang sama sekali tidak serupa dengan makhluk. Sifat-sifat itu terkandung dalam nama-nama Allah yang mulia atau dikenali sebagai `Asmaul Husna'.

Sebagai umat Islam, kita wajib beriman kepada semua sifat berkenaan. Kita juga tidak boleh menyamatarafkan sifat Allah dengan sifat manusia kerana perbuatan sedemikian akan merosakkan akidah yang merupakan perkara asas dalam agama.

Allah s.w.t. menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: ``Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat''. (Asy-Syura : 11)

Bagi kita yang berpegang dengan akidah ahli Sunnah wal Jamaah, kita tidak sewajarnya memahami dan menentukan sifat Allah berdasarkan ta'thil (menghilangkan sifat-sifat Ilahiyah daripada Allah s.w.t., menafikan adanya sifat-sifat itu pada zat-Nya atau mengingkari sebahagian daripadanya) dan tamtsil (menyerupakan sesuatu benda atau makhluk dengan Allah s.w.t.).

Kita juga tidak boleh menggunakan tahrif (merubah lafaz Asmaul Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi atau merubah dari segi maknanya) dan takyif (menentukan hakikat sesuatu sifat dengan menetapkan bentuk atau keadaan tertentu baginya).

Hakikatnya, ahli Sunnah Wal Jamaah mesti mempercayai dan meyakini sifat-sifat Allah sebagaimana ia disebut dalam al-Quran dan hadis.

Jika diteliti dalam al-Quran, perkataan Asmaul Husna itu sendiri disebut dalam empat ayat utama iaitu dalam Surah al-A'raf ayat 180; Surah al-Isra' ayat 110; Surah Thaha ayat 8 dan surah al-Hasyr ayat 24.

Walaupun ada pelbagai pendapat mengenai jumlah nama Allah, Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi menyebut bahawa: ``Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang mampu menghafalnya, nescaya dia akan masuk Syurga. Sesungguhnya Allah itu satu (Esa pada zat, sifat dan perbuatan-Nya serta tiada sekutu bagi-Nya) dan Dia menyukai sesiapa yang mengEsakan-Nya''.

Secara kesimpulan daripada sifat-sifat Allah ini, sekurang-kurangnya ada empat sifat yang dapat menggambarkan secara langsung mengenai kekuasaan dan keagungan-Nya. Antaranya adalah:

1. Al-Jabbar.
Allah s.w.t. bersifat dengan sifat Maha Kuat, iaitu mampu menundukkan segala-galanya. Dia mempunyai kemampuan berbuat demikian mengikut kehendak-Nya tanpa dapat dihalang atau dipengaruhi oleh sesiapa.

Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: ``Yang Maha Kuasa, Lagi Maha Memiliki Keagungan, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan''. (Al-Hasyr : 23)

2. Al-Mutakabbir.
Allah s.w.t. bersifat dengan sifat Maha Besar, iaitu mempunyai kebesaran atau melengkapi segala kebesaran-Nya tanpa memerlukan bantuan sesiapa.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Yang Maha Kuasa Lagi Maha Memiliki Keagungan''. (Al-Hasyr : 23)

Sifat ini juga mendokong maksud sifat Allah s.w.t. iaitu Maha Tinggi berbanding makhluk ciptaan-Nya sama ada pada sifat atau zat-Nya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: ``Dan bagi-Nyalah keagungan di langit dan di bumi. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana''. (Al-Jatsiyah : 37)

3. Al-Qahhar.
Allah s.w.t. juga bersifat dengan sifat Maha Kuasa atau Perkasa seperti firman-Nya yang bermaksud: ``Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dialah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Perkasa''.(Ar-Ra'ad : 16)

4. Al-Muntaqim.
Atas sifat-Nya yang Maha Kuasa, Allah s.w.t. juga mempunyai hak dan kekuasaan untuk mengenakan balasan azab seksa kepada mereka yang melakukan dosa atau ingkar terhadap perintah serta tegahan-Nya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: ``Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan tinggalkan orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan apa yang mereka telah kerjakan''. (Al-A'raaf : 180)

Justeru itu, umat Islam bukan sahaja wajib beriman dengan Asmaul Husna, malah mesti menghindari sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan nama-nama Allah dengan cara memberi maksud yang tidak layak bagi-Nya.

Semoga dengan itu, akidah kita tidak terpesong dan kesucian ajaran Islam serta maruah umatnya kekal terpelihara.

Friday, March 14, 2003

Taubat nasuha - Jangan tunggu sampai nazak

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 14 Mac 2003)

TAUBAT berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang memberi maksud `kembali'. Kembali yang dimaksudkan adalah kembali menunaikan perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala dosa dan laranganNya.

Dari segi pengertian syarak, taubat bererti meninggalkan seluruh perbuatan dosa dan menyesali semua perbuatan mungkar yang telah dilakukan hanya kerana Allah s.w.t.

Lanjutan daripada itu, seseorang yang bertaubat mesti berusaha dan berazam secara serius untuk tidak mengulangi lagi kesalahan-kesalahan lalu.

Bersesuaian dengan tahun baru Hijrah ini, umat Islam digesa untuk memperbanyakkan penyesalan atau taubat bagi memastikan diri kita sentiasa bersih daripada dosa.

Ini kerana, sebagai manusia biasa agak sukar untuk kita terlepas daripada melakukan dosa, terutama dosa-dosa kecil yang kadangkala tidak kita sedari.

Taubat mengandungi tiga syarat utama yang menjadi kayu pengukur dalam menilai kedudukan taubat seseorang. Syarat-syarat itu ialah :

1. Mempunyai ilmu pengetahuan tentang taubat

Dengan adanya ilmu pengetahuan khususnya berkaitan dosa dan pahala, seseorang yang berdosa akan merasa penyesalan yang teramat sangat, yang seterusnya menggerakkannya untuk segera bertaubat.

Ini lebih-lebih lagi jika dia mengetahui akan balasan yang bakal diterimanya di akhirat kelak akibat dosa-dosa yang telah dilakukannya.

2. Menggucapkannya dengan lisan (perkataan).

Setelah timbulnya penyesalan dalam diri seseorang, akan terungkaplah dari mulutnya kalimah taubat menerusi istighfar atau memohon ampun ke hadrat Allah s.w.t. Ungkapan taubat tersebut bukan hanya diucapkan di bibir sahaja, malah disusuli dengan keyakinan yang bersungguh-sungguh di dalam hati.

3. Menerusi perbuatan (Meninggalkan kesalahan yang telah dilakukan)

Tindakan seterusnya adalah meninggalkan segala dosa dan maksiat yang dilakukan sebelumnya demi mematuhi perintah Allah s.w.t. Perbuatan ini tidak terbatas untuk beberapa ketika sahaja tetapi dengan keazaman untuk meninggalkan perbuatan terkutuk tersebut buat selama-lamanya (hingga ke akhir hayatnya).

Ketiga-tiga syarat tersebut sebenarnya mempunyai rangkaian yang perlu dikaitkan antara satu sama lain. Ini kerana, syarat pertama menyokong syarat kedua dan syarat kedua itu juga disokong oleh syarat ketiga.

Setelah mengetahui akan segala dosa-dosa yang telah dilakukan, maka wajiblah bagi seseorang itu untuk bertaubat.

Dalam Islam, menyegerakan taubat merupakan sesuatu yang amat dituntut. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa''. (Ali-Imran : 133)

Sesungguhnya, umat Islam yang berniat malah berazam untuk bertaubat, tidak cukup sekadar mengucapkan Astaghfirullah sahaja tetapi perlulah disusuli dengan perbuatan dan sikap.

Para ulama telah mengutarakan pendapat dan pandangan mereka mengenai hal ini. Mereka berpendapat, seseorang yang bertaubat perlu mematuhi perkara-perkara berikut :

- Menyesali segala perbuatan dosa yang telah dilakukan dengan sungguh-sungguh tanpa dipengaruhi oleh apa-apa kepentingan, seperti mendapat habuan yang berbentuk keduniaan melainkan keampunan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Ini bagi memastikan taubat kita benar-benar diterima oleh Allah s.w.t.

- Meninggalkan terus segala perbuatan dan tingkahlaku yang buruk yang pernah dilakukan sebelum itu.

- Berazam bersungguh-sungguh dan dengan hati yang tetap untuk tidak mengulangi lagi perbuatan-perbuatan dosa tersebut.

- Mengetahui bahawa dosa-dosa yang dilakukan itu adalah berkait dengan Allah s.w.t. seperti meninggalkan ibadah-ibadah yang wajib atau melakukan larangan-larangan-Nya.

Bagi mereka yang terlibat perlulah memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah bertujuan untuk menebus kembali segala dosa dan kesalahan yang dilakukan.

- Bagi dosa-dosa dan kesalahan yang berkait dengan manusia lain, maka hendaklah seseorang itu terlebih dahulu memohon maaf kepada manusia terbabit termasuklah membayar segala kerugian yang perlu dibayar.

Ini penting kerana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan `Taubat Nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengan-Nya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap gelita): ``Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.'' (At-Tahrim : 8)

Taubat nasuha sepertimana yang disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya tersebut adalah taubat atau penyesalan yang tulus ikhlas, iaitu seseorang yang telah bertaubat tidak mungkin akan kembali melakukan dosa-dosa yang telah dilakukan.

Dalam tafsir al-Quran pimpinan Ar-Rahman, taubat nasuha diertikan sebagai kaedah bertaubat dengan cara meminta ampun yang bersungguh-sungguh demi membersihkan segala kekotoran dosa.

Justeru, taubat nasuha juga dapat difahami bahawa seseorang itu menyesal atas segala dosa dan kesilapan yang pernah dilakukannya pada masa lalu serta diiringi dengan sikap benci untuk kembali semula melakukannya (dosa tersebut).

Apabila seseorang itu bertaubat kepada Allah s.w.t., sudah tentu Allah akan menerima taubatnya sesuai dengan sifat Allah yang Maha Pengampun dan Penyayang.

Namun demikian, terdapat beberapa keadaan dan waktu tertentu di mana taubat seseorang tidak diterima oleh Allah s.w.t. Ini diperingatkan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: ``Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.'' (Az-Zumar : 54)

Masa atau waktu yang tidak diterima akan taubat seseorang termasuklah :

- Sewaktu hampir akan mati (nazak).

Manusia sememangnya sentiasa berada dalam kelalaian dan lupa. Ini lebih-lebih lagi apabila ditenggelami oleh nikmat Allah yang melimpah ruah.

Kelalaian inilah yang membawa manusia kepada azab Allah s.w.t. yang amat pedih di akhirat kecuali bagi mereka yang sedar akan segala nikmat-Nya. Mereka ini sentiasa bersyukur tidak kira masa senang mahu pun waktu susah, waktu sihat mahu pun masa sakit.

- Dalam keadaan terancam nyawanya.

Bagi seseorang yang sedang berada dalam bahaya dan dirasakan akan mati serta tidak berpeluang untuk diselamatkan, maka pada ketika ini taubatnya tidak akan diterima walau setinggi mana penyesalannya pada ketika itu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: ``Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini'', (sedangkan taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedangkan mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya''. (An-Nisa' : 18)

- Hampir berlakunya kiamat.

Apabila hampir pasti kiamat akan berlaku, Allah s.w.t. tidak akan menerima sebarang taubat daripada hamba-Nya. Antara tanda kiamat kubra (tanda-tanda kiamat yang besar) ialah apabila terbitnya matahari dari arah tempat ia terbenam iaitu dari arah barat.

Maka pada ketika itulah kemusnahan alam akan menjelma atau kiamat yang pada ketika itu tidak ada gunanya lagi sebarang taubat atau penyesalan.

Maka secara kesimpulannya, marilah kita segera bertaubat kepada Allah kerana Allah akan menerima taubat hamba-Nya selagi kita ingin bertaubat.

Janganlah kita tunggu sehingga waktu nazak atau apabila kiamat hampir tiba, di mana pada ketika itulah Allah tidak akan menerima sebarang taubat daripada kita. Ayuh jangan tunggu lagi!

Tuesday, March 4, 2003

Rahmat Awal Muharam

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 4 Mac 2003)

FAJAR satu Muharam 1424 Hijrah tetap bersinar seperti hari-hari sebelumnya. Bagi manusia yang tidak mengendahkan kehadiran tahun baru ini mungkin hanya menganggap ia sekadar salah satu daripada hari-hari kebesaran yang secara ritualnya disambut oleh pihak-pihak tertentu tanpa ada sesuatu yang memberi impak dalam kehidupan seharian.

Namun bagi umat Islam yang benar-benar memahami malah mampu menghayati sejarah di sebalik hari agung ini sudah pasti tidak akan menganggapnya sebagai hari cuti umum sahaja.

Sesungguhnya, kita amat mengharapkan kedatangan tahun baru Hijrah ini akan mengundang rahmat dan kesejahteraan dari Allah s.w.t untuk seluruh umat Islam. Sempena kedatangan tahun baru Hijrah ini juga, umat Islam diseru supaya meneliti peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. yang dijadikan permulaan kepada tahun baru umat Islam.

Satu persoalan yang mungkin timbul adalah kenapa permulaan tahun baru umat Islam ini tidak dimulai dengan hari-hari lain yang tidak kurang juga pentingnya seperti hari kelahiran baginda, hari kewafatannya, hari kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar atau hari pembukaan Mekah? Sebaliknya yang berlaku adalah ia dimulakan dengan tarikh hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah.

Hakikat ini perlu dimaklumi bahawa hijrah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. itu tidak sama seperti mana hijrah-hijrah yang turut dilakukan oleh Rasul-rasul terdahulu kerana hijrah para Rasul tersebut semata-mata untuk lari daripada fitnah atau membebaskan diri daripada seksaan dan tekanan musuh.

Ini berbeza dengan hijrah Rasulullah s.a.w. yang bertujuan untuk mencari satu bumi yang subur bagi menyemai dan menyuburkan benih dakwah demi memastikan kesinambungan dan kegemilangan Islam terus terpelihara.

Hijrah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat itu juga bertujuan untuk mencari suatu tempat yang aman bagi merancang dan menjalankan seruan dakwah, membentuk masyarakat Islam, menubuhkan sebuah pemerintahan Islam serta merealisasikan kewujudan kaum Muslimin sebagai satu entiti yang mampu berdiri dengan sendiri. Di samping itu, wawasan baginda s.a.w juga adalah untuk mencari sebuah negara bagi agama Islam dan pengikut-pengikutnya supaya agama suci ini dapat dikembangkan serta adanya golongan manusia yang menjaga dan melindunginya sehingga sanggup mempertaruhkan jiwa dan raga mereka. Jelasnya, penghijrahan itu telah berjaya membawa kepada tertegaknya sebuah kerajaan dan masyarakat Islam serta melahirkan satu umat baru iaitu sebaik-baik umat yang diutuskan untuk manusia.

Sememangnya menjadi hak seluruh umat Islam untuk berbangga, menyambut dan memuliakan kedatangan tahun baru hijrah ini serta mengambil peluang untuk memperingati sirah (perjalanan hidup) Rasulullah s.a.w., keperibadian baginda yang agung dan juga perutusan baginda s.a.w. yang menyeluruh dan kekal, yang dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai rahmat kepada seluruh alam. Apabila kita membicarakan tentang peristiwa-peristiwa penting ini juga, ia sebenarnya turut mengingatkan kita tentang nikmat-nikmat Allah yang besar, dan sesungguhnya menyebut tentang nikmat-nikmat dan kurniaan Allah s.w.t itu merupakan sesuatu yang dituntut oleh syarak.

Sempena kedatangan tahun baru umat Islam ini, wajar seluruh umat Islam di segenap lapisan merenung sejenak dan menghayati siratan makna yang terkandung dalam peristiwa agung ini yang juga merupakan satu mesej bahawa untuk mencapai kegemilangan dalam seluruh aspek kehidupan, kita perlu malah mesti `berhijrah' kepada kehidupan yang terbaik mengikut nilai-nilai yang telah diterapkan oleh Rasulullah s.a.w. Hakikat ini menuntut kepada kesungguhan dan sensitiviti yang amat tinggi dalam jiwa setiap umat Islam untuk melakukan perubahan besar-besaran berasaskan senario semasa yang seolah-olah cuba untuk memupuskan nilai-nilai hidup Islam dari muka bumi ini.

Antara persoalan dan tanggungjawab yang perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam sempena peristiwa hijrah ini termasuklah :

- Muhasabah diri ke arah memahami tujuan kita dijadikan oleh Allah s.w.t.

Kedatangan tahun baru umat Islam ini menandakan semakin jauh dunia kita tinggalkan di belakang dan semakin menghampiri hari yang dijanjikan iaitu hari kiamat. Umat Islam sentiasa diingatkan supaya memprogramkan sesuatu perkara yang meliputi dwikemajuan iaitu kemajuan sewaktu hidup dan kejayaan selepas mati iaitu di akhirat. Program hidup komprehensif dan bersepadu ini amat logik, rasional dan praktikal. Ia logik kerana akal yang waras akan mengakui bahawa wujudnya dua alam kehidupan iaitu sebelum dan sesudah mati.

Secara rasionalnya, kehidupan kita di dunia ini boleh diumpamakan sebagai pengembara yang menumpang sejenak di dunia ini manakala tempat kediaman yang kekal adalah akhirat. Justeru, manusia perlu membawa bekalan untuk digunakan di tempat yang kekal itu. Dan praktikalnya pula adalah kerana kerajinan berusaha di dunia membolehkan kita menikmati hasilnya di akhirat. Hijrah manusia sekurang-kurangnya meliputi proses hijrah dari alam ruh ke alam rahim ibu; dari rahim ibu ke alam dunia; dari alam dunia kepada Allah dan Rasul; dari alam dunia ke alam akhirat; dan dari padang mahsyar di akhirat menuju sama ada ke syurga atau ke neraka.

Hijrah adalah hasil daripada cetusan dan lonjakan iman iaitu keimanan, hijrah dan jihad. Keimanan sebagai faktor pendorong, hijrah sebagai wasilah atau jalan, manakala jihad adalah hasil atau natijahnya. Hijrah juga adalah evolusi dan revolusi kejiwaan, pemikiran, perasaan dan keilmuan serta pengorbanan keegoan palsu dan jahiliah. Ia adalah proses meninggalkan program keduniaan semata-mata kepada program bersepadu dunia dan akhirat.

Berdasarkan model hijrah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w., ternyata hijrah itu merupakan perubahan yang menyeluruh. Ia membawa perubahan rohaniah dan jasmaniah. Hijrah juga mengubah nilai dan penilaian di mana nilai-nilai ukhrawi menguasai serta mengendali nilai-nilai duniawi.

- Berhijrah minda dengan memperbetulkan salah faham terhadap Islam.

Umat Islam hari ini diseru supaya melakukan hijrah minda dengan menolak pemikiran jumud yang masih membelenggu mereka bagi menghadapi cabaran global terutama selepas 11 September 2001. Anjakan sikap itu perlu bagi membentuk pemikiran maju dan progresif sekali gus menangkis tohmahan pihak-pihak berkepentingan termasuk Barat, yang sering mengaitkan Islam sebagai agama pelampau dan gemarkan keganasan. Justeru, jihad umat Islam sepatutnya menjurus ke arah peningkatan kualiti hidup di samping mempunyai kekuatan dalam bidang persenjataan.

Secara sedar atau tidak, imej Islam telah sedikit tercemar berikutan peristiwa 11 September tersebut. Maka, salah satu cara untuk menerangkan kepada dunia bahawa tanggapan negatif mereka terhadap Islam adalah salah iaitu menerusi tindakan kita sendiri melakukan hijrah minda. Umat Islam harus menunjukkan kepada dunia bahawa Islam sebenarnya amat pentingkan keamanan walaupun di kelilingi oleh orang-orang bukan Islam. Namun demikian, tidaklah bermakna umat Islam rela membiarkan Islam `dirampas' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Di sinilah letaknya kemurnian ajaran Islam berbanding agama-agama lain. Dan sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemahkan keindahan Islam menerusi keamanan, kemakmuran, kecemerlangan dan kemodenan.

- Agenda mengukuhkan perpaduan.

Sesungguhnya, umat Islam di seluruh dunia hari ini menyambut ketibaan Awal Muharam 1424 dengan satu tekad iaitu untuk menuju kejayaan dan bersatu padu atas nama ukhuwah Islamiah yang sejati. Pada bulan ini jugalah umat Islam digalakkan untuk bermaaf-maafan seperti lazimnya dilakukan apabila tibanya bulan Syawal serta berusaha merapatkan hubungan silaturahim sebagaimana Allah s.w.t sendiri dengan sifat pengampun-Nya memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.

Tidak dinafikan, bahawa umat Islam di seluruh dunia kini sedang melalui tempoh sukar yang jika tidak ditangani dengan baik akan membawa kepada kehancuran. Perpecahan sesama ummah, kemunduran akal fikiran, kedaifan harta benda adalah antara cabaran yang sedang menghambat umat Islam di seluruh dunia. Mengapa semuanya ini berlaku sedangkan umat Islam satu ketika dahulu adalah antara pelopor tamadun agung yang amat dikagumi oleh seluruh bangsa di dunia. Kemusnahan tamadun itu sebenarnya bermula dengan lunturnya ikatan perpaduan dan kesatuan antara ummah. Justeru, mahu tidak mahu umat Islam perlu bersatu padu kerana hanya dengan kesepaduan yang jitu akan memastikan mereka dihormati semula.

Kita di Malaysia juga perlu bertekad untuk keluar daripada sifat jumud dan sempit. Perpecahan antara ummah hanya akan merenggangkan ikatan persaudaraan antara kita. Jika itu berlaku, pelbagai program untuk memajukan ummah akan terganggu.