Tuesday, April 15, 2003

Sempurna akhlak - Kewajipan asas muslim

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 15 April 2003)

DALAM kehidupan umat Islam, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu, budaya berakhlak baik atau berbudi pekerti merupakan satu kemestian, malah menjadi identiti yang terpahat kukuh sekian lama.

Ini kerana masyarakat Melayu khasnya amat menitikberatkan soal-soal yang berhubung dengan budi pekerti dalam semua sudut kehidupan, termasuklah dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, ibadah dan soal-soal nikah kahwin. Ia tergambar dalam sekian banyak peribahasa dan pantun Melayu yang menjadi khazanah dan warisan amat tinggi nilainya hingga kini.

Di antara contoh ungkapan pantun yang masih dibaca dan dihayati ialah :Tegak rumah kerana sendi; Runtuh sendi rumah binasa; Sendi bangsa ialah budi; Runtuh budi runtuhlah bangsa.

Manakala contoh peribahasa pula adalah: Orang berbudi, kita berbahasa; Orang memberi, kita merasa.

Sememangnya dalam ajaran Islam, setiap manusia atau hamba Allah diletakkan satu kewajipan yang menjadi asas kepada kesempurnaan amal ibadahnya yang lain, iaitu berakhlak mulia atau berbudi pekerti tinggi.

Kewajipan yang ditaklifkan (diamanahkan) oleh Allah s.w.t. ini selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama yang benar dan mulia.

Mari kita imbas semula sejarah penurunan Islam ke muka bumi ini yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul dan kekasih Allah s.w.t. Salah satu sebab Islam diturunkan adalah bagi membetulkan kembali kehidupan manusia yang pada ketika itu bergelumang dengan budaya-budaya jahiliah yang kotor dan sesat.

Mereka bukan sahaja tidak berakhlak, malah sesat dan langsung tiada nilai-nilai perikemanusiaan yang sepatutnya. Sesungguhnya, Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk memperbaiki semula akhlak dan tingkah laku manusia sejajar dengan kesempurnaan ajaran Islam yang lengkap dengan segala peraturan dan hukum-hakamnya.

Telah dibuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan ketinggian budi pekertinya berjaya memimpin satu revolusi budaya, iaitu daripada budaya sesat kepada budaya bertamadun bagi faedah manusia seluruh dunia dari zamannya hinggalah ke hari ini.
Jika kita melihat senario yang berlaku pada hari ini, rata-rata individu dalam masyarakat tidak lagi melihat kelakuan berakhlak sebagai sesuatu yang bernilai malah cuba meminggirkannya jauh-jauh dari sikap dan cara hidup mereka.

Di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa kita perhatikan budaya berakhlak dan berbudi pekerti seperti sesuatu yang asing dan ganjil, andainya ada orang atau segelintir individu yang bersifat sedemikian.

Cuba kita lihat kelakuan sekian ramai manusia seperti para peniaga, pemandu kenderaan sama ada kenderaan awam atau persendirian dan juga kakitangan di institusi atau jabatan-jabatan yang berurusan dengan orang ramai. Budaya berakhlak baik atau sifat bertimbang rasa antara sesama manusia semakin pudar dan tidak diambil peduli langsung.

Ini menunjukkan, persoalan akhlak dan tingkah laku di kalangan masyarakat kita adalah satu masalah yang tidak pernah selesai, walaupun sekian banyak kaedah dan cara dilakukan untuk mendidik mereka. Tidak ada gunanya segala peraturan dan undang-undang yang digubal bagi membendung kegelojohan manusia jika perangai dan sikap kita masih di takuk lama.

Justeru, sebaiknya kita kembali kepada fitrah kejadian manusia yang dilengkapkan oleh Tuhan dengan sifat-sifat yang baik dan mulia. Maka tidak sewajarnya kita mengikut segala emosi dan ego yang akhirnya memusnahkan diri sendiri dan orang lain. Sungguhpun kita mungkin terdiri daripada orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan berpangkat, namun kita perlu menerima hakikat bahawa akhlak yang baik itu akan terus dikenang dan dipandang tinggi oleh masyarakat walaupun kita tidak lagi berada pada kedudukan sekarang.

Jangan kita ikut jejak langkah masyarakat Arab Jahiliah pada zaman mula-mula diturunkan Islam. Sejarah menunjukkan, orang-orang yang menentang kebenaran Islam sebenarnya terdiri daripada orang-orang yang ingin mempertahankan kepentingan diri dan kekuasaan.

Ini terbukti kerana pada peringkat permulaan Islam, hanya orang miskin dan lemah yang mula memeluk Islam. Mereka yang kaya dan berkuasa bermati-matian memerangi Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam.