Thursday, July 10, 2003

Membaca al-Quran - Pelihara adab-adabnya

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 7 Julai 2003)

AL-QURAN sebagai mukjizat terbesar yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. perlu sentiasa dipelajari, dibaca dan dihayati oleh umat Islam.

Di sebalik penghayatan terhadap isi kandungannya, terdapat adab-adab yang harus dipatuhi sesuai dengan ketinggian dan kemuliaan al-Quran.

Oleh itu, setiap kali membaca kalam- kalam-Nya, adab-adab tersebut - walaupun bukan suatu yang wajib, perlu dititikberatkan agar dapat memberi kesan yang mendalam terhadap pengamalnya.

Antara adab-adab tersebut ialah:

1. Mengikhlaskan hati kerana Allah

Membaca al-Quran dengan hati yang tulus dan ikhlas merupakan syarat utama untuk membolehkan bacaan kita mendapat berkat seterusnya diterima di sisi Allah.

Amat besar kerugian bagi orang yang membacanya hanya untuk tujuan menunjuk-nunjuk atau kerana selain daripada Allah.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Dan seorang yang belajar dan mengajarkan ilmu serta membaca al-Quran didatangkan ia, disebutkan segala nikmat yang telah Allah berikan dan dia pun mengakuinya, lalu ditanya, apa yang telah engkau lakukan dengan ilmu itu?

``Jawabnya: ``Aku mengkaji dan mengajarkan ilmu serta aku bacakan di dalamnya al-Quran.

``Kata Allah, kau dusta! Engkau mempelajari ilmu agama agar orang menyebutmu sebagai orang alim dan kau membaca al-Quran agar manusia menyebutmu sebagai seorang qari dan engkau telah mendapatkan itu semua di dunia. Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk mengambil wajahnya serta memasukkannya ke neraka,'' (Riwayat Muslim, Tirmizi dan An-Nasa'i)

2. Dalam keadaan berwuduk:

Al-Quran yang terkandung di dalamnya ayat-ayat yang mulia perlulah dihormati dengan memastikan kita berwuduk terlebih dahulu sebelum memegang dan membacanya.

Hal ini ada dinyatakan dalam sebuah hadis iaitu dari Muhajir bin Qanfadz, dia berkata, ``Aku pergi menemui Rasulullah s.a.w. dan baginda ketika itu sedang berada di bilik air.

``Aku pun memberi salam kepada baginda tapi tidak dijawabnya hinggalah baginda berwuduk. Kemudian Rasulullah meminta maaf padaku dan berkata: ``Aku tidak suka menyebut nama Allah kecuali jika aku berada dalam keadaan suci.'' (Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

3. Bersugi (membersihkan gigi) sebelum membaca al-Quran:

Bersugi atau menggosok gigi merupakan sunah Rasulullah yang harus diikuti. Selain mendapat ganjaran pahala dari Allah, ia juga dapat memelihara kesihatan setiap individu yang melakukannya.

4. Membacanya di tempat yang suci dan bersih:

Membaca al-Quran boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan bukan di tempat-tempat yang dilarang seperti di bilik air atau di tempat-tempat yang kotor.

Para ulama lebih suka membaca al-Quran di masjid kerana rumah Allah merupakan tempat yang bersih, mulia sekali gus dapat beriktikaf di dalamnya.

Namun tidak bermakna umat Islam tidak boleh atau tidak perlu membaca al-Quran di rumah. Malah setiap orang Islam diseru supaya mengimarahkan rumah masing-masing dengan membudayakan amalan membaca al-Quran.

Membudayakan pembacaan al-Quran di rumah dengan disertai oleh semua ahli keluarga bukan sahaja menambah keberkatan malah boleh mengeratkan hubungan silaturrahim antara sesama anggota keluarga.

5. Menghadap ke arah kiblat:

Menghadap ke arah kiblat bukanlah sesuatu yang wajib ketika membaca al-Quran sepertimana ketika menunaikan solat tetapi merupakan salah satu adab yang digalakkan.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap ke arah kiblat.''

6. Membacanya dengan penuh khusyuk dan tadabbur:

Membaca al-Quran dengan penuh khusyu' dan tadabbur akan menjadikan hati kita berasa tenang dan lapang.

Ini kerana membaca al-Quran termasuk dalam zikir-zikir yang amat disukai oleh Allah.

Ketenangan ini akan lebih dirasai bagi orang yang dapat memahami ayat-ayat yang dibacanya.

Firman Allah yang bermaksud: ``Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka memerhatikan ayat-aya-Nya dan supaya mendapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai pemikiran.'' (Surah as-Shaad : 29)

Hadis-hadis Rasulullah juga banyak menyentuh tentang masalah ini antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: ``Manusia yang paling baik bacaannya adalah orang yang membacanya dan kamu melihatnya bahawa dia takut kepada Allah.'' (Riwayat al-Baihaqi)

7. Menangis ketika membacanya:

Menangis ketika membaca al-Quran sememangnya sesuatu yang sukar dilakukan lebih-lebih lagi bagi orang yang hanya membaca tanpa memahami isi kandungannya.

Perlu diketahui, menangis adalah perkara yang sangat disukai ketika membaca al-Quran terutama pada ayat-ayat yang menyentuh tentang peringatan dan amaran yang keras, ancaman, janji dan sumpah. Caranya ialah dengan menghadirkan hati dan memusatkan fikiran terhadap apa yang dibaca.

8. Membacanya dalam keadaan tartil:

Membaca dengan tartil bermaksud bacaan yang disempurnakan tajwid dan makhrajnya.

Allah berfirman yang bermaksud: ``Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil.'' (Surah al-Muzammil: 4)

9. Menghindarkan diri dari ketawa atau berbual-bual ketika membaca al-Quran:

Ada sesetengah orang masih boleh ketawa dan bergurau-gurau sedangkan dia sedang membaca al-Quran atau mendengar bacaan ayat-ayat suci.

Sebahagian besar umat Islam hari ini terlalu mengambil mudah akan perkara seperti ini, sedangkan ia adalah sebahagian daripada cara menghormati al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: ``Jika dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah dan diamlah agar kamu mendapat rahmat.'' (Surah al-A'raf: 204)

Ayat tersebut bermaksud, ketika dibacakan al-Quran, kita diwajibkan mendengar dan memperhatikan maksudnya sambil berdiam diri sama ada di dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang.

Dalam riwayat Abu Daud dan Ibnu `Umar r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. jika membaca al-Quran, tidak akan bercakap-cakap atau berbuat sesuatu yang seumpamanya.

10. Membacanya dengan mengikut tertib surah:

Menurut para ulama, pembacaan al-Quran perlu dilakukan dengan tertib urutan surah iaitu memulakannya dengan membaca al-Fatihah, kemudian diikuti dengan surah al-Baqarah dan seterusnya surah-surah yang berikutnya sama ada di dalam solat atau pun di luar solat.

Monday, July 7, 2003

Tangisan mukmin - Tanda cinta kepada Allah

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 7 Julai 2003)

MANUSIA sebagai makhluk ciptaan Allah mempunyai pelbagai bentuk sifat dan tabiat termasuk yang berkaitan dengan emosi seperti perasaan gembira, sedih, kecewa dan sebagainya.

Perasaan sedih seringkali timbul akibat datangnya gangguan emosi terhadap sesuatu perkara. Apabila keadaan ini berlaku, manusia dengan mudah menitiskan air mata atau menangis.

Sesetengah orang beranggapan, apabila seseorang itu menangis, ia adalah satu perbuatan yang menjatuhkan maruah dan menunjukkan kelemahan diri sendiri.

Anggapan sebegini sebenarnya tidak tepat kerana ajaran Islam sendiri telah menentukan jenis-jenis tangisan yang dilarang dan dibenarkan oleh agama.

Tangisan menurut perspektif Islam, boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu tangisan yang berbentuk negatif dan tangisan yang berbentuk positif.

Tangisan yang dilarang ialah seperti meraung dan melolong dengan sekuat hati apabila menerima atau meratapi kematian.

Tangisan seperti ini bukan sahaja dipandang negatif kepada orang yang melakukannya tetapi juga mayat yang diratapinya itu turut terseksa kerana perbuatannya.

Ini berbeza dengan tangisan positif iaitu tangisan yang terjadi kerana cinta dan takut kepada Allah.

Malah Nabi Muhammad pun menangis bila mengenangkan kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh umatnya serta tatkala baginda memohon ampun dari Allah.

Antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam Islam ialah:

1. Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah.

Orang-orang yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.

Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh malah sentiasa reda dengan apa yang mereka terima.

Maka dengan sebab itu, orang-orang sebegini adakalanya menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat-nikmat tersebut.

Sebagai contoh, dalam satu riwayat oleh Anas bahawa Rasulullah berkata kepada Ubay bin Ka'ab: ``Allah menyuruh membacakan kepadamu Surah al-Bayyinah ayat 1, ``Orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,''

Ubay bertanya : ``Apakah Allah menyebut namaku?'' ``Nabi menjawab ya, lalu menangislah Ubay (kerana mendengar berita gembira itu).

Ayat tersebut menyatakan tentang pendirian kaum Yahudi dan Nasrani terhadap seruan Nabi Muhammad sebagai Rasul yang telah menerangkan kepada mereka agama yang telah dibawa olehnya iaitu agama Islam.

Mereka (Yahudi dan Nasrani) kenal Nabi Muhammad yang diutus sebagai rasul kepada umat akhir zaman, tetapi setelah baginda dibangkitkan mereka tidak percaya malah tidak mahu beriman kepada apa yang dibawa oleh baginda.

2. Kerana menyesali perbuatan dan dosa yang dilakukan.

Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang telah melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh.

Ekoran daripada penyesalan itu maka timbul rasa sedih yang mendalam yang akhirnya akan menitiskan air mata. Tangisan yang sedemikian itu timbul akibat wujudnya rasa kesedaran yang mendalam dan rasa takut yang amat sangat kepada Allah.

Keadaan sebegini akhirnya akan mendorong seseorang itu bertaubat dan seterusnya kembali ke jalan yang benar.

Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam ayat 82 Surah al-Taubah, ``Maka hendaklah mereka sedikit tertawa dan banyak menangis sebagai pembalasan dari apa yang mereka telah kerjakan.''

3. Apabila bertambah keimanan kepada Allah.

Iman yang tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca dengan penuh penghayatan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata.

Tangisan sebegini merupakan tangisan yang tinggi nilainya kerana ia merupakan campuran antara rasa kesedaran dan keimanan yang tidak berbelah bagi.

Justeru tanpa disedari akan bercucuran tangisan akibat rasa keimanan yang begitu mendalam sebagaimana firman Allah dalam ayat 58, Surah Maryam; ``Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Pemurah, mereka segera sujud serta dan menangis.''

4. Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk.

Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata yang menitis itu bukan kerana perasaan sedih tetapi kerana menyedari betapa diri yang begitu kerdil ketika berhadapan dengan pencipta-Nya.

Bahkan, orang yang mencapai tahap kekhusyukan itu termasuk salah satu dari tujuh golongan yang memperoleh keistimewaan pada hari kiamat seperti sabda Rasulullah: ``Tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya (iaitu) : Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang dibesarkan dalam beribadat kepada Allah, orang yang hatinya selalu rindu pada masjid, dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah iaitu bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan lalu ditolaknya dengan berkata, ``Aku takut kepada Allah'', seorang yang bersedekah dalam keadaan rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan menyendiri lalu menitis air matanya.'' (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Bimbang terputusnya rahmat Allah.

Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat Allah.

Apabila keadaan ini berlaku, ia boleh mengubah suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu.

Sebagai contoh, pada suatu hari sesudah Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar mengajak Saidina Umar ke rumah Ummu Aiman seperti mana Rasulullah semasa hayatnya sering menziarahinya.

Sebaik sampai di rumah Ummu Aiman, tiba-tiba Ummu Aiman menangis. Kedua-dua tetamunya itu lantas bertanya, ``Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Tidakkah engkau tahu bahawa yang tersedia di sisi Allah untuk Rasulullah jauh lebih baik?'' Ummu Aiman menjawab, ``Aku tidak menangis kerana itu melainkan kerana wahyu dari langit telah terputus (terhenti).''

Kata-kata Ummu Aiman itu ternyata mengharukan Abu Bakar dan Umar, lalu kedua-duanya turut menangis.

6. Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran.

Adakalanya air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh Allah jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau kesesatan.

Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan hidayah yang diterima itu.

Hal ini pernah terjadi kepada segolongan pendeta apabila mengetahui al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah merupakan kebenaran dari Allah seperti firman-Nya: ``Dan apabila mereka itu (segolongan pendeta) mendengar apa-apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau akan melihat mereka akan menitiskan air matanya, lantaran mengetahui kebenaran (seraya) mereka berkata; ``Hai Tuhan kami! Kami telah beriman. Oleh kerana itu, catatlah kami dalam golongan orang-orang yang menyaksikan. Dan tidak patut kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, pada hal kami ingin supaya Tuhan memasukkan kami bersama kaum yang soleh.'' (Surah al-Maidah:83-84)

Daripada maksud firman Allah tersebut, jelaslah bahawa tangisan yang positif mempunyai keutamaan di sisi Islam sehingga tangisan seumpama itu boleh mendatangkan manfaat yang besar.

Ini kerana, orang yang menitiskan air mata kerana Allah sebenarnya merupakan orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam satu riwayat dari Abu Daud dan Tirmizi bermaksud: ``Kami datang kepada Rasulullah sedang baginda menunaikan solat. Maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejana.''