Thursday, September 4, 2003

Pendakwah berjaya - Ciri, asas berkesan diperlukan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 4 September 2003)

DAKWAH merupakan sebahagian daripada Islam yang tidak mungkin dipisahkan sama sekali, bahkan ia berkembang bersama ajaran Islam itu sendiri. Dakwah adalah jalan yang dipilih oleh Allah untuk menegakkan kalimah-Nya. Islam tidak mungkin tersebar tanpa dakwah. Oleh itu, bermula daripada Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan hinggalah hari ini, tanggungjawab melaksanakan dakwah sentiasa berjalan dan setiap individu yang mengakui keesaan Allah s.w.t. mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakannya.

Para pendakwah merupakan golongan yang dimuliakan Allah kerana berusaha memartabatkan kalimah Tauhid, iaitu ajaran Islam ke seluruh umat manusia. Merekalah penyambung tugas-tugas yang ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Justeru itu, sebagai pendakwah kita perlu mengambil berat tentang perkara-perkara yang menjadi asas dalam memastikan keberkesanan usaha dakwah yang kita lakukan. Di antara ciri-ciri pendakwah yang berjaya ialah :

1. Ikhlas kerana Allah s.w.t.

Ikhlas adalah kunci utama kejayaan dakwah. Seorang pendakwah mesti menanamkan niat ikhlas di dalam setiap gerak langkah dakwahnya. Semua amalannya mesti diarahkan semata-mata untuk Rabb yang menguasai alam semesta. Seorang pendakwah juga tidak sewajarnya mengharapkan kedudukan, pangkat, kemasyhuran, pujian dan sebagainya. Semua amalannya hanya menginginkan keredhaan Allah yang Maha Esa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Katakanlah : Upah apa pun yang aku minta daripadamu maka itu untukmu. Upahku hanyalah daripada Allah dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.'' (Saba' : 47)

2. Mempunyai matlamat yang jelas

Seorang pendakwah mesti mempunyai matlamat yang jelas di hadapannya, iaitu untuk menegakkan agama (Iqamatuddin), melakukan pembaikan (islah) dan mencegah semua bentuk kemungkaran.

3. Bersungguh-sungguh memperjuangkan agama Allah

Bersungguh-sungguh yang dimaksudkan adalah sebagaimana seorang mujahid yang melawan musuh di medan peperangan. Ini dilakukan dengan menyeru sekalian manusia ke arah melaksanakan perkara-perkara yang baik (amar makruf) dan mencegah daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah (nahi mungkar).

4. Sentiasa menambah dan menuntut ilmu pengetahuan

Dalam menjalankan usaha dakwah, penguasaan ilmu amat penting bagi para pendakwah. Ini untuk memudahkannya berhadapan dengan manusia yang bakal ditemuinya. Selain ilmu-ilmu yang berkait dengan akidah dan hukum-hakam, seorang pendakwah juga perlu peka dengan perkembangan ilmu pengetahuan semasa seperti teknologi maklumat, sains dan lain-lain.

5. Sedia menerima kelebihan dan kekurangan orang lain

Pendakwah harus menyedari bahawa dia adalah manusia yang serba kekurangan dan begitu juga manusia lain. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: ``Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun daripada kamu yang bersih (daripada perbuatan keji dan mungkar).'' (An-Nur : 21)

Perlu disedari, hanya Allah sahaja yang sempurna dan segala kekurangan itu adalah milik kita. Oleh yang demikian, seorang pendakwah mestilah mampu berinteraksi dan bergaul dengan masyarakat sekelilingnya.

6. Tidak mudah berputus asa ketika menghadapi kesusahan

Berputus asa terhadap sesuatu kegagalan atau kesulitan bukanlah ciri-ciri seorang yang baik. Ini kerana, jalan dakwah sentiasa memerlukan kesabaran yang tinggi dan berusaha untuk mengatasi segala kesukaran yang dihadapi. Rasulullah s.a.w. berada di Mekah selama 13 tahun untuk berdakwah terus-menerus, walaupun baginda sering dihina dan disakiti. Sesungguhnya, jika kita kumpulkan seluruh kesusahan yang kita alami ketika ini dan dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w., ternyata kita berada amat jauh di belakang.

7. Tidak mempermudah-mudahkan hukum Allah

Di antara adab-adab seorang pendakwah termasuklah tidak meremehkan sesuatu perbuatan maksiat yang dilakukan oleh seseorang. Pendakwah harus menyedarkan golongan-golongan yang membuat kemungkaran agar takut akan seksa dan azab Allah. Terdapat di kalangan pendakwah yang mempermudahkan atau menganggap ringan tentang maksiat sehingga apabila dosa besar dilakukan, dia mudah mengatakan bahawa perkara itu ringan, tidak berat dan sebagainya.

8. Mengelakkan sebarang kritikan yang bersifat peribadi

Di antara akhlak seorang pendakwah adalah tidak mengkritik peribadi-peribadi tertentu, menjatuhkan maruah orang lain dan mendedahkan identiti mereka di khalayak ramai. Seorang pendakwah hendaklah menyedarkan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang tanpa mengumumkannya di khalayak ramai. Tetapi sebaliknya ada individu yang secara terang-terangan menentang Allah melalui perbuatan, lisan, buku-buku, bidaah atau sebagainya, maka dalam keadaan ini bolehlah didedahkan identiti mereka yang terlibat bagi tujuan menyelamatkan akidah umat Islam lainnya.

9. Tidak merasakan diri sendiri mempunyai kelebihan berbanding orang lain

Seorang pendakwah perlu merenung ke dalam dirinya dan sentiasa merasakan dirinya seorang manusia yang serba kekurangan. Seorang pendakwah juga hendaklah memuji Allah s.w.t. kerana Allah yang telah menjadikannya sebagai seorang penyampai ajaran Islam kepada manusia serta mensyukuri nikmat ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.'' (An-Nasr : 3)

10. Tidak menokok tambah apa yang telah ditetapkan oleh agama

Dalam menyebarkan dakwah, kadangkala terdapat di kalangan pendakwah yang terlalu ghairah dan bersemangat sehingga menambah apa-apa yang terdapat di dalam al-Quran dan sunah. Di antaranya, termasuklah ancaman-ancaman Allah terhadap pembuat maksiat, balasan syurga dan neraka, dosa dan pahala serta perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah.

Allah s.w.t. telah menetapkan ukuran terhadap segala sesuatu. Oleh itu, seorang pendakwah tidak boleh mengancam seseorang melebihi ketetapan Allah dengan pendapatnya sendiri, walaupun untuk tujuan memberi motivasi atau perangsang.