Friday, March 26, 2004

Ajaran Islam - Antara ideal dan realistik

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 26 Mac 2004)

ISLAM seperti mana yang kita maklum, mempunyai keistimewaannya yang tersendiri berbanding ajaran-ajaran lain. Ini kerana, sumber serta penggubal ajaran Islam ialah Allah s.w.t. melalui wahyu yang disampaikan-Nya kepada Rasulullah s.a.w.

Salah satu perkara yang menjadi keistimewaan Islam ialah ia berusaha seboleh mungkin untuk membawa manusia ke darjat yang paling sempurna. Maka inilah idealnya Islam. Sungguhpun demikian, Islam pula tidak sekali-kali mengabaikan aspek semula jadi manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t. Maka inilah pula yang dikatakan realistiknya Islam.

Ideal bermaksud, Islam sentiasa berusaha untuk membawa manusia ke darjat yang lebih sempurna mengikut kemampuan manusia itu sendiri. Ini dilakukan dengan menjadikan segala perkataan, perbuatan, matlamat dan kecenderungannya sentiasa berlandaskan panduan dan etika yang dibawa oleh Islam. Ini semua telah pun ditunjukkan melalui peribadi mulia Rasulullah s.a.w. yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya seluruh manusia mencontohinya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (Al-Ahzab : 21)

Bagi merealisasikan sifat ideal ini, umat Islam perlulah menghayati nilai-nilai kesederhanaan dan kesyumulan dalam ajaran Islam. Bersederhana yang dimaksudkan ialah tidak menokok tambah mana-mana kandungan ajaran Islam dan sentiasa melaksanakan sesuatu amalan dengan cara yang betul. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Perkara yang terbaik ialah bersederhana.

Sikap bersederhana turut dituntut ketika menunaikan amal ibadat. Ini bermakna, seseorang Muslim tidak boleh membebankan atau memudaratkan dirinya sendiri dalam soal ibadat. Ini dijelaskan menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Nasai daripada Anas r.a. katanya : ``Tiga orang lelaki telah datang ke rumah-rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. untuk bertanya tentang ibadat baginda. Apabila mereka diberitahu, mereka pun seolah-olah membandingkan ibadah baginda. Lalu mereka berkata: ``Bolehkah kita samakan kita dengan Rasulullah s.a.w. kerana segala dosa baginda yang lalu dan akan datang telah diampunkan?'' Lalu salah seorang berkata: ``Aku akan sembahyang malam selama-lamanya.'' Seorang lagi berkata: ``Aku akan berpuasa selama-lamanya dan tidak akan meninggalkannya.'' Seorang lagi berkata : ``Aku akan menjauhi wanita dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya.'' Setelah itu, Rasulullah s.a.w. datang dan berkata: ``Kamukah yang berkata ini dan ini? Demi Allah! Aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa, Aku berpuasa dan Aku juga berbuka, Aku sembahyang dan Aku juga tidur, Aku juga berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut sunahku, dia bukan daripada pengikut-ku.''

Di dalam sesetengah agama terdapat suruhan supaya para pengikutnya me-nyucikan diri dengan memukul atau melukai anggota tubuh mereka, konon-nya untuk membersihkan diri mereka daripada dosa. Menyeksa tubuh atau melakukan sesuatu di luar kemampuan diri merupakan satu amalan yang sesat dan jelas menyimpang daripada ajaran dan kaedah Islam dalam membawa manusia ke arah kesempurnaan. Malah amalan tersebut amat bertentangan sama sekali dengan maksud kesempurnaan yang ingin dicapai.

Islam tidak pernah menyuruh umatnya supaya menyakiti anggota tubuh walaupun dengan maksud untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Orang yang berfikiran sedemikian sebenarnya tidak memahami Islam kerana keunggulan Islam boleh dicapai dengan cara bersederhana dan mudah.

Manusia yang menghalang dirinya daripada menikmati perkara-perkara yang baik dan kesenangan yang halal, sebenarnya tidak menurut ajaran Islam yang mahu membawa manusia supaya mencapai kesempurnaan. Apabila seseorang itu memperoleh atau mendapat sesuatu yang baik dengan cara yang halal hendaklah dia menerima dan bersyukur kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang dihalalkan oleh Allah bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Al-Maidah : 88)

Sungguhpun demikian, ada kalanya kita dibolehkan untuk mengawal diri dan bersedia untuk hidup dalam kesusahan jika tindakan demikian dilakukan dengan tujuan yang dibolehkan atau dengan tujuan yang mulia atau dengan sesuatu sebab yang dibolehkan. Contohnya seseorang yang menjadi ikutan dan teladan orang ramai atau dengan sebab mengutamakan orang lain daripada diri sendiri atau kerana enggan menerima sesuatu yang tidak sepatutnya menyebabkan dia terpaksa berbuat demikian. Ini dapat difahami daripada sejarah hidup orang-orang soleh pada zaman dahulu yang sentiasa mengekang diri mereka dengan menolak pelbagai kesenangan hidup.

Di samping kesederhanaan, keunggulan Islam juga merangkumi segala sudut hidup manusia kerana Islam mahukan setiap Muslim mencapai tahap sempurna yang mampu dicapai dalam segenap aspek kehidupannya. Ini bererti, Islam tidak mahu seseorang Muslim hanya mencapai kesempurnaan dalam salah satu aspek kehidupan sahaja dengan mengabaikan aspek-aspek lain hingga menyebabkan dia tidak mendapat apa yang sepatutnya. Para sahabat Rasulullah s.a.w. amat memahami aspek ini hingga menyebabkan mereka tidak pernah terkongkong oleh ibadat atau adat sahaja. Sebaliknya, mereka menggabungkan semua bentuk ibadat dan adat seterusnya berjaya mencapai darjat kesempurnaan yang tinggi.

Oleh kerana itu, apabila tiba waktu solat mereka akan menunaikan solat. Apabila ada majlis ilmu mereka akan duduk bersama; sama ada sebagai guru atau pelajar. Apabila datang panggilan jihad mereka akan turut berperang. Apabila timbul kesulitan mereka akan turut sama membantu. Inilah sikap mereka dalam apa jua keadaan.

Secara realistiknya pula, Islam tidak pernah mengabaikan tabiat semula jadi manusia dan tidak pernah lupa bahawa kemampuan manusia ini berbeza-beza. Melihat masalah ini secara realistik, Islam meletakkan tahap minimum yang perlu sekurang-kurangnya dicapai oleh setiap manusia.

Setiap manusia perlu mencapai tahap ini bagi membolehkan mereka membentuk diri menjadi seorang Muslim yang sepatutnya kerana tahap ini adalah tahap kelayakan paling minimum bagi seorang Muslim untuk bersama masyarakat Islam.

Tahap minimum ini mengandungi beberapa aspek yang perlu dilaksanakan oleh manusia yang dikenali sebagai amalan fardu atau wajib dan beberapa aspek yang perlu dijauhkan oleh manusia yang dikenali sebagai amalan haram. Semua amalan ini telah ditetapkan supaya bersesuaian dengan kemampuan manusia yang paling minimum. Dengan ini, setiap manusia mampu menunaikan tuntutan ini dan tiada alasan untuk mengabaikannya.

Walau bagaimanapun, selain daripada tahap wajib yang perlu dicapai oleh semua Muslim, Allah juga menetapkan satu tahap yang lebih tinggi serta lebih besar skopnya dan menggalakkan manusia untuk mencapainya. Namun demikian, Allah s.w.t. tidak mewajibkannya kerana syariat Islam mengambil kira setiap kesusahan yang dialami oleh manusia dan ini bersesuaian dengan konsep Islam yang realistik. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Al-Hajj : 78)

Tahap yang tinggi ini merangkumi amalan sunat yang digalakkan oleh syariat untuk dilaksanakan dan juga amalan makruh yang digalakkan oleh syariat untuk ditinggalkan. Kedua-dua tahap yang terdapat dalam syariat Islam ini boleh dilihat seperti contoh berikut:

- Solat. Terdapat solat fardu dan solat sunat. Solat fardu termasuk dalam tahap minimum yang mesti ditunaikan, manakala solat sunat termasuk dalam tahap tinggi yang diberi pilihan untuk mendirikannya. Rasulullah s.a.w. bersabda : ``Seorang hamba Allah yang Muslim yang menunaikan sembahyang kerana Allah setiap hari dua belas rakaat yang sunat selain sembahyang fardu nescaya Allah akan binakan sebuah rumah untuknya di syurga.''

- Puasa. Puasa yang diwajibkan ialah puasa pada bulan Ramadan dan ia adalah tahap minimum yang perlu dilaksanakan. Sementara berpuasa enam hari pada bulan Syawal atau puasa-puasa sunat lainnya merupakan tahap puasa yang tinggi, yang walaupun diberi pilihan untuk menunaikannya tetapi amat digalakkan.

- Bersedekah. Kefarduan di dalam Islam adalah zakat, sama ada zakat fitrah atau zakat harta. Manakala pemberian selain daripada itu adalah sunat dan dianggap suatu tahap yang tinggi yang memerlukan pengorbanan terhadap harta yang dimiliki. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah), maka (faedahnya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah menderma sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (ganjaran pahalanya) kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi. (Al-Baqarah : 272)

- Dalam urusan jual beli. Islam menggalakkan supaya seorang Muslim bertolak ansur ketika dalam urusan jual beli, juga dalam segala urusan yang berkaitan dengan hutang. Ini salah satu tahap yang tinggi. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud : ``Allah merahmati seorang lelaki yang bertolak ansur ketika menjual, ketika membeli dan ketika menuntut hutang.''

Bercakap sesuatu yang tidak betul adalah haram dan wajib dijauhi. Menjauhkan diri daripada amalan buruk ini adalah tahap minimum yang mesti dipatuhi oleh setiap Muslim. Manakala banyak bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah pula adalah makruh walaupun perkataan yang diucapkan itu tidak salah dari segi syariat Islam. Justeru, menjauhi amalan ini adalah lebih baik dan merupakan suatu tahap yang tinggi. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : Allah tidak suka kamu kata mengata, membazirkan harta dan banyak bertanya.

Perlu difahami, realisme Islam tidak terhad setakat dua tahap pencapaian itu sahaja iaitu minimum atau tinggi untuk mencapai tahap kesempurnaan. Aspek realistik ini turut wujud dalam bentuk lain dengan mewujudkan penyelesaian yang diharuskan bagi seorang Muslim ketika berhadapan dengan sesuatu kesusahan atau kesempitan. Oleh kerana itu, wujudnya kelonggaran (rukhsah) dalam keadaan yang amat sukar dan terpaksa di mana manusia tidak mampu untuk berpegang dengan apa yang diingini oleh Islam.

Dengan ciri keistimewaan Islam yang ideal dan realistik ini, seseorang Muslim mampu mencapai kesempurnaan menurut kemampuannya. Ini bersesuaian dengan fitrah manusia tanpa membebankan atau menyukarkan kehidupan mereka. Maka, setiap Muslim tidak sewajarnya beralasan dalam menunaikan segala kewajipan mereka terhadap Allah s.w.t.