Saturday, July 2, 2005

Aura Remaja : Akhlak kukuh benteng hadapi ujian kehidupan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 2 Julai 2005)

PEMBENTUKAN personaliti remaja adalah hasil interaksi faktor genetik dan persekitaran. Faktor genetik daripada ibu bapa. Faktor persekitaran pula daripada pengaruh rakan sebaya dan sistem sosial dalam masyarakat, corak didikan, asuhan agama dan gaya hidup.

Dalam konteks ini, didikan agama akan menentukan matlamat hidup dan nilai akhlak serta kepercayaan remaja. Keseimbangan beragama dengan mengisi kehidupan dengan kegiatan berfaedah hendaklah diamalkan oleh remaja demi kesejahteraan hidup mereka.

Kehidupan remaja Muslim hendaklah sentiasa berpandukan al-Quran dalam mencapai matlamat hidup.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Sesiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya dan hari kiamat, sesungguhnya orang itu sudah sesat sejauh-jauhnya. (Surah an-Nisa, ayat 136)

Sejarah kehidupan Rasulullah SAW, sahabat dan tabi'en hingga kurun ketiga Hijrah memperlihatkan bahawa mereka menjalani hidup berasaskan roh Islam. Ia bukan saja berjaya membentuk mereka menjadi 'insan rabbani', malah benteng kukuh dalam melayari hidup di dunia yang penuh dengan ujian.

Kehidupan Rasulullah baik ketika remaja atau selepas diangkat sebagai rasul memperlihatkan kepada umat manusia bahawa Baginda mempunyai akhlak dan keimanan tinggi. Ia membawanya ke kedudukan manusia teragung.

Pengiktirafan ini bukan saja dinilai oleh sahabat, bahkan diakui oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat terpuji.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Dalam konteks kehidupan yang semakin berubah hari ini, remaja Muslim perlu memiliki ciri keunggulan iaitu dari segi keperibadian, kemahiran, penguasaan ilmu dan pengetahuan agama. Perubahan dan evolusi kehidupan masa kini sebenarnya membuka ruang yang begitu luas kepada remaja untuk menentukan dan mencorakkan apa yang mereka inginkan.

Kemudahan teknologi masa kini menambah nilai sedemikian ke tahap di mana kawalan tidak lagi dapat dilakukan secara menyeluruh, terutama aspek negatif yang dibawa oleh kemajuan itu. Namun, remaja Muslim perlu menjadikan keadaan dan perubahan sedemikian bukan sebagai asas untuk mereka terjerumus ke lembah masalah sosial yang tidak mendatangkan faedah.

Maka, remaja perlu menjadikan asas agama, akhlak dan menghormati ibu bapa sebagai sesuatu yang wajib dipenuhi. Di samping itu, keindahan budi bahasa dan kesantunan masyarakat sangat sesuai dijadikan akaian dan amalan oleh Islam.

Budaya moden hari ini bukan semuanya tidak baik, tetapi biarlah bersesuaian dengan kehendak agama dan cara hidup kita. Jangan terlalu mudah untuk mengambil jalan pintas semata-mata mencari keseronokan segera yang hanya seketika.

Remaja harus memahami tujuan mereka dilahirkan di dunia ini dengan mempersiapkan diri sebagai khalifah Allah. Mereka perlu mempunyai tujuan dan kesungguhan sebagai insan yang taat dan kreatif.

Matlamat hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai ke dalam diri remaja jika mahu berjaya dan maju sebagai generasi unggul, cemerlang dan diberkati.

No comments: