Tuesday, August 2, 2005

Tiga peringkat tawakal utamakan ikhtiar insan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 2 Ogos 2005)

TAWAKAL adalah sikap seorang Muslim yang benar-benar menyerah diri kepada keagungan dan kekuasaan Allah yang Maha Esa. Secara umumnya, sikap tawakal akan menjuruskan seorang mukmin kepada menghayati fitrah kejadiannya sebagai makhluk ciptaan Allah yang sentiasa mempunyai kelemahan dan kekurangan. Ia dapat mengelakkan kita daripada bersikap sombong dan ego dalam tindak tanduk dalam kehidupan.

Seseorang yang memahami konsep tawakal tidak akan mudah berputus asa andainya menemui kesukaran dalam kehidupan.

Mereka, malah menganggapnya sebagai satu proses dalam mencari keredhan Allah. Seterusnya, akan menerbitkan rasa syukur jika usaha yang dilakukan itu berjaya. Sebaliknya, menerima dengan penuh sabar andainya usahanya itu menemui kegagalan.

Menurut Dr Yusuf Al-Qardhawi, tawakal adalah antara ibadah hati paling utama dan salah satu daripada bermacam akhlak iman yang agung. Imam al-Ghazali pula membahagikan tawakal ini kepada tiga peringkat iaitu:

Dalam ketiga-tiga peringkat tawakal itu, jelas bahawa antara ciri orang yang bertawakal adalah tidak meminta-minta dan tidak pula menolak pemberian serta menerima segala ketentuan Allah ke atasnya.

Sesungguhnya, perlu difahami bahawa sifat tawakal tidak sama sekali menyuruh kita agar menyerahkan sesuatu perkara bulat-bulat kepada Allah. Andainya benar sedemikian, mengapa Allah mengurniakan nikmat akal kepada kita yang seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengutamakan ikhtiar sebelum bertawakal kepada Allah sepenuhnya. Ia disandarkan kepada satu peristiwa pada zaman Nabi iaitu seorang sahabat menemui Baginda. Kemudian Nabi bertanya: "Dengan apakah kamu ke sini?"

Sahabat itu menjawab: "Saya ke sini dengan menaiki unta."

Lantas Nabi bertanya: "Di mana unta kamu sekarang?"

Sahabat itu menjawab: "Saya letakkan di luar tanpa mengikatnya kerana saya berserah (tawakal) kepada Allah."

Kemudian Nabi menegurnya dengan berkata: "Ikatlah unta kamu itu kemudian barulah bertawakal."

Pengajaran daripada peristiwa itu adalah tawakal perlu didahului oleh usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh. Hakikat itu sama seperti kita meninggalkan rumah atau kenderaan tanpa menguncinya dengan betul.

Ia tentu mengundang perompak atau pencuri yang sememangnya menantikan peluang sedemikian.

Tawakal tidak harus menjadi alasan bagi kita untuk sengaja membiarkan harta benda terdedah kepada ancaman, tanpa ada usaha untuk melindunginya daripada dicuri.

Sikap tawakal amat dianjurkan oleh ajaran Islam supaya dihayati oleh seluruh umatnya.

Info: Tiga peringkat tawakal

• Tawakal peringkat pertama iaitu seperti orang yang menyerahkan urusannya kepada orang yang mewakilinya.
• Tawakal peringkat kedua iaitu seperti seorang anak yang mempercayakan dirinya kepada orang tua.
• Tawakal peringkat ketiga iaitu seperti seseorang yang menganggap dirinya sebagai mayat hingga dia menyerahkan urusan dirinya kepada orang yang masih hidup.