Friday, September 30, 2005

Memastikan iman dalam kewajipan memikul amanah

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 30 September 2005)

KEISTIMEWAAN manusia berbanding makhluk-makhluk lain dapat dilihat daripada sifat-sifat khusus yang dianugerahkan Allah kepadanya. Sifat-sifat khusus itulah yang membolehkannya memikul amanah Allah yang tidak terpikul oleh makhluk-makhluk lain.

Perlu difahami, agama Allah merupakan satu amanah dari Allah s.w.t. Pengurniaan amanah tersebut bukan sekadar dimanfaatkan untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga, masyarakat dan negara. Tanggungjawab melaksanakan amanah ini berterusan selagi mana kita hidup di dunia ini.

Diceritakan, ketika Nabi Adam hampir meninggal dunia, dia ingin melepaskan amanah yang di-tanggungnya kepada makhluk seluruhnya untuk diteruskan. Namun demikian, tiada sesiapa pun daripada makhluk-makhluk Allah itu yang sanggup menerima amanah tersebut kecuali anak-anaknya. Anak-anak yang dimaksudkan di sini ialah keturunannya termasuklah kita.

Maka di bahu kitalah tertanggung amanah Allah yang amat berat itu. Cuba kita fikirkan. Apa akibatnya kalau amanah itu tidak ditunaikan? Apakah bentuk balasan yang bakal diterima bagi orang yang berjaya mahupun yang gagal melaksanakannya sewaktu hidup di dunia?

Bagi menyelesaikan persoalan-persoalan tersebut, tidak dapat tidak sebagai orang Islam, kita perlu memantapkan keimanan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala suruhannya dan pada waktu yang sama meninggalkan segala perbuatan yang dilarangnya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ``Agama Allah'' iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya lagi) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah al-Rum : 30)

Iman merupakan roh bagi Islam dan amal ibadat itu merupakan jasad baginya. Ibadat juga boleh diibaratkan sebagai sendi-sendi utama untuk membangunkan Islam. Itulah tanggungjawab untuk menunaikan amanah besar iaitu amanah untuk menegakkan agama Allah s.w.t.

Dengan tertegaknya agama, maka tertegaklah akhlak Islam yang berdiri di atas nilai-nilai yang ditetapkan oleh Allah. Akhlak Islam adalah akhlak yang paling mulia dan sempurna untuk menjamin kestabilan hidup manusia seluruhnya.

Perlu ditegaskan, agama tidak akan dapat ditegakkan jika kita hanya setakat menunaikan kewajipan yang berbentuk fardu ain semata-mata. Di samping menunaikan kewajipan-kewajipan fardu ain, kewajipan fardu kifayah juga perlu turut diberi perhatian. Ini kerana, pelaksanaan fardu kifayah amat besar peranannya untuk kecemerlangan Islam dan umatnya.

Antaranya, memajukan ekonomi umat Islam, mendirikan gedung-gedung perniagaan dan perusahaan yang diusahakan oleh orang Islam, membangun institusi-institusi pengajian yang mengeluarkan orang Islam yang beriman dan beramal soleh serta keperluan-keperluan lain yang bersangkutan dengan orang Islam seluruhnya. Ini kerana, pengabaian kesemua perkara yang berkaitan dengan fardu kifayah akan menyebabkan kita semua menanggung dosanya.

Demikianlah betapa pentingnya bagi kita menunaikan amanah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Justeru, amat perlu untuk memastikan iman sentiasa terpahat kukuh dalam diri kita di samping melaksanakan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh. Apabila iman telah bertapak dan subur dalam diri, maka terpandulah manusia berdasarkan implikasi iman yang terpancar melalui petunjuk-petunjuk Allah.

Manusia yang beriman sentiasa mencari petunjuk-petunjuk itu dengan penuh keyakinan bahawa hanya petunjuk Allah sahaja yang akan dapat menyelamatkan dirinya, masyarakat dan negaranya daripada sebarang ancaman dan kecelakaan.