Friday, December 29, 2006

Akhlak asas pembentukan masyarakat cemerlang

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 29 Disember 2006)

MEMBENTUK masyarakat Islam boleh disamakan dengan kita membina atau membangunkan sesebuah bangunan. Sebelum bangunan itu didirikan, pembinaan asas perlu didahulukan demi memastikan bangunan yang terbina kukuh dan kuat.

Dengan sebab demikian juga dalam membentuk sesebuah masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asas terlebih dulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegak masyarakat itu. Sebaliknya jika lemah maka runtuhlah apa saja yang dibina di atasnya. Melahirkan manusia yang berakhlak.

Rasulullah SAW memulakan pembentukan masyarakat Islam dengan membina asasnya terlebih dulu. Asas yang paling utama dalam pembentukan ini ialah membentuk manusia ke arah berbudi pekerti mulia. Budi pekerti atau moral adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia bersih hati, ikhlas dalam hidup dan amanah dalam tugas serta cinta kepada kebaikan.

Kepentingan budi pekerti yang mulia ini jelas dari sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji."

Dalam hadis ini kita diperlihatkan suatu konsep akhlak yang amat jelas iaitu konsep menjaga akhlak yang mulia dan menjadi tugas utama Rasulullah.

Berakhlak terpuji dan mendidik manusia supaya berakhlak mulia tugas setiap rasul yang diutuskan oleh Allah kepada manusia.

Nabi Muhammad SAW adalah rasul terakhir dari semua rasul yang diutuskan sebelumnya. Beliau melaksanakan tugasnya seperti tugas rasul-rasul sebelumnya iaitu antaranya mengawal akhlak manusia supaya sejajar kehendak Allah.

Untuk mendidik manusia supaya berakhlak mulia tidak akan berjaya melainkan dengan menunjukkan contohnya terlebih dahulu.

Dalam hal ini, Rasulullah menjadi contoh teladan kepada seluruh manusia. Allah memuji kemuliaan akhlak Rasulullah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki akhlak yang amat terpuji." (Al-Qalam : ayat 4).

Rasulullah contoh paling baik dalam mempamerkan akhlak Islam. Setiap tingkah lakunya menjadi contoh untuk diikuti oleh sahabat dan semua umatnya.

Akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah bertujuan melahirkan manusia salih menurut ajaran Islam.

Ketika ditanya kepada Saidatina Aishah (isteri Nabi) bagaimanakah akhlak Rasulullah, beliau menjawab: "Akhlak Rasulullah ialah al-Quran." Jawapan Saidatina Aishah soalan itu dapat disimpulkan masyarakat Islam diasaskan di atas akhlak yang terkandung di dalam al-Quran.

Membina peribadi Muslim, selain melahirkan masyarakat yang berakhlak, dalam mewujudkan sesuatu masyarakat yang adil dan sebuah negara yang aman dan makmur, perlu terlebih dahulu membina individu berkeperibadian Islam. Pembinaan individu Muslim mesti diusahakan menurut kehendak Allah.

Hakikatnya, ketaatan seorang Muslim kepada segala perintah Allah bukan suatu perkara baru kerana kewajipan ini disyariatkan sejak diutuskan manusia pertama di dunia.

Kepatuhan dan ketaatan yang hakiki akan mengetepikan segala pengaruh luaran sekalipun secocok dengan kehendak hawa nafsunya. Secara umumnya, ukuran keimanan seseorang Muslim dinilai daripada tahap kepatuhannya serta pelaksanaan terhadap segala perintah Allah.

Secara asasnya, Islam satu penyerahan yang tuntas kepada hukum Allah dan sunnah rasul-Nya. Tanpa ketaatan mutlak, tidak ada sebarang justifikasi yang menjadi petunjuk bahawa wujudnya Islam pada diri seseorang.

Membina tempat ibadat

Selepas tibanya Rasulullah ke Madinah dari hijrahnya, Baginda memulakan tugasnya di Madinah itu dengan mendirikan sebuah masjid yang diberi nama Masjid Quba'. Pembinaan masjid yang pertama ini menimbulkan pertanyaan mengapakah Rasulullah mendahulukan pembinaan masjid?

Mengapa tidak dibina kubu pertahanan terlebih dulu di sekitar Madinah bagi melindungi keselamatan dari sebarang ancaman musuh? Mengapa juga tidak dibina rumah terlebih dulu sedangkan mereka amat perlu kepada rumah? Mengapa tidak dibina lokasi perniagaan sebagai tempat mencari rezeki?

Walau apa pun persoalan yang diajukan, realitinya Nabi Muhammad mendirikan masjid di Madinah sebelum yang lain-lainnya.

Masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad itu merangkumi segala-galanya. Inilah ciri penting untuk membangunkan sebuah masyarakat Islam.

Thursday, December 28, 2006

Doa perisai hadapi sebarang bencana

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 28 Disember 2006)

DOA adalah satu permintaan atau permohonan seseorang Muslim kepada Allah SWT bertujuan memperoleh sesuatu yang dihajati. Doa sebagai satu senjata umat Islam sering kita lupakan terutama ketika menghadapi pelbagai masalah sepanjang kehidupan di dunia ini.

Doa seperti ditegaskan oleh Rasulullah sebagai 'senjata' kepada orang mukmin perlu disedari dan dihayati sepenuhnya oleh umat Islam. Doa menjadi tanda kepada perhambaan seorang manusia kepada Allah iaitu dengan cara merintih dan merayu kepada-Nya serta mengadu segala hal dan permasalahan dengan air mata berlinangan tanpa mengharapkan pertolongan selain daripada Allah sebagai Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihani hamba-Nya.

Sesungguhnya, persoalan doa bukan sekadar fungsinya sebagai cara pengaduan kepada Allah tetapi juga turut diiktiraf sebagai ibadah yang amat agung. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan katakanlah (wahai Muhammad), berdoalah kepada-Ku. Nescaya Kumakbulkan permintaanmu. Sesungguhnya mereka yang takbur dan enggan beribadat kepada-Ku akan dicampakkan ke dalam neraka Jahanam yang perit azabnya." (Surah al-Ghafir: ayat 60)

Dalam ayat itu, Allah menerangkan doa adalah satu wasilah pengaduan seseorang hamba kepada Tuhannya yang dijamin akan diperkenankan permintaan itu sama ada di dunia ini disegerakan permintaan itu) atau di akhirat (ditangguhkan atau diberikan pahala kepadanya atas ibadah doa dikerjakan).

Doa memainkan peranan penting melembutkan hati dan dibukakan jalan untuk mendapat hidayah Allah. Bukan semua orang yang Allah berikan keinginan untuk berdoa dan menadah tangannya di hadapan Allah, bahkan ramai malas dan berdoa hanya sekadar untuk mencukupkan syarat tanpa rasa gerun dan takut kepada Allah; tunduk dan merasai kehebatan dan keagungan-Nya serta penuh pengharapan di hadapan Allah.

Apabila malas berdoa mula melebar dalam diri kita, perlu melakukan muhasabah ke dalam hati kita, mungkin ada yang tidak kena atau ada perkara menghalang sehingga kita tidak dapat merasai kemanisan berdoa.

Doa dilafazkan oleh seseorang Muslim itu amat mustajab dan mampu mendatangkan kesan dengan izin Allah. Selain itu, seseorang Muslim harus sedar keengganannya untuk berdoa kepada Allah akan menyebabkan kemurkaan Allah kepadanya. Apabila seseorang itu memohon kepada selain daripada Allah ketika dalam kesulitan, dia dianggap mensyirikkan Allah.

Di samping itu, keengganannya juga menggambarkan takbur dan merasakan diri sudah cukup tanpa memerlukan pertolongan daripada Allah. Ia jelas bertentangan dengan prinsip kehambaan seorang hamba terhadap tuannya apatah lagi terhadap Allah yang Pencipta sekalian alam.

Allah menjadikan doa sebagai perisai kepada golongan mukmin dan mereka yang sentiasa mengharapkan keredaan-Nya. Dalam beberapa riwayat ada dinyatakan golongan yang doa mereka amat mustajab dan dikabulkan oleh Allah. Antara yang tergolong dalam golongan ini ialah :

Pertama; mereka yang dizalimi. Ia termasuklah golongan yang dihina, dihalau daripada tempat kediaman mereka tanpa hak atau bentuk kezaliman yang lain; kedua; golongan yang bermusafir untuk tujuan yang baik; ketiga; doa kedua-dua ibu bapa kepada anaknya, dan keempat; doa mereka yang menunaikan ibadah haji atau umrah.

Di sini jelas betapa mereka yang berada dalam situasi sedemikian sememangnya Allah muliakan dan doa mereka juga dijanjikan oleh Allah akan dimakbulkan selagi tidak membawa kepada maksiat atau kejahatan.

Selain itu, doa yang mustajab juga ialah doa daripada seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah; dan sahabatnya itu tidak mengetahui bahawa dia sedang didoakan oleh seseorang. Di samping itu, individu yang mendoakan sahabatnya itu juga akan diberikan ganjaran dan diberikan kebaikan seperti dia mendoakan sahabatnya itu.

Setiap Muslim perlu memahami doa dimakbulkan oleh Allah atas permintaan hamba-Nya itu adakalanya dikurniakan berdasarkan apa yang dimintanya atau dipaling iaitu menjauhkan daripadanya sesuatu kejahatan setaraf dengan doanya itu atau Allah menangguhkan dahulu permohonan hamba itu untuk dijadikan sebagai pahala pada akhirat kelak.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Tiada seorang Muslim berdoa tidak mengandungi dosa atau mengarah kepada pemutusan hubungan kekeluargaan, melainkan Allah akan mengurniakan baginya salah satu daripada tiga keadaan, iaitu (1) segera dikabulkan doanya; (2) disimpan untuk diberikan di akhirat; (3) atau kerana doanya itu maka Allah menjauhkan dia daripada kesulitan.”

Tuesday, December 12, 2006

Akal, hati ‘senjata’ manusia lawan nafsu

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 12 Disember 2006)

SETIAP Muslim yang sentiasa patuh dan tunduk kepada perintah Allah akan sentiasa reda dengan segala ketentuan dan ketetapan-Nya, bahkan kerap meminta pertolongan terhadap segala masalah dan kesulitan yang dihadapi sepanjang hidupnya.

Di samping kesungguhan yang ditunjukkan dalam mencari punca dan sebab kepada kesulitan yang dihadapi, seseorang mukmin akan berasakan dalam jiwanya suatu keperluan kepada kekuatan Allah. Ia dapat dilihat daripada sifat penyerahan secara total kepada kekuatan dan kekuasaan Allah tanpa dibayangi oleh sebarang pengaruh dan tipu daya dunia.

Seseorang Muslim sejati dan benar dalam segala tindak tanduknya adalah manusia atau individu yang cerah mata hatinya, terang pandangannya dan terpancar pintu keimanannya. Ia dapat dilihat menerusi kekaguman seseorang terhadap segala keindahan dan kebesaran ciptaan Allah.

Bertolak daripada kekaguman itu, dia dapat berasakan dengan penuh penyaksian bahawa di sebalik keindahan dan kebesaran itu, tersembunyi suatu kuasa yang Maha Tinggi yang mengendalikan segala pergerakan dan peredarannya. Ia juga tidak terkecuali kepada apa saja urusan sama ada yang berkait dengan alam mahu pun manusia yang menjadi penghuninya.

Oleh itu, manusia yang sedar dan teguh keimanannya akan sentiasa mengingati Allah pada setiap detik. Implikasi daripada ingatan itu akan bertambahlah tahap keimanannya dan seterusnya mendorongnya supaya lebih patuh dan taat kepada segala suruhan Allah. Sesungguhnya, merekalah yang disifatkan oleh Allah sebagai orang yang berakal dan tahu memanfaatkan kurniaan-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya), maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya." (asy-Syam: 7-10).

Dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada tiga golongan:

• Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Inilah golongan orang kafir dan orang yang menuruti cara mereka, iaitu orang yang melupakan Allah, lantas Allah melupakan mereka.

• Golongan yang berjihad melawan dirinya iaitu bertarung memerangi hawa nafsunya. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat dan apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah.

• Golongan maksum (terpelihara dari dosa) iaitu para nabi dan rasul. Nabi dan rasul adalah mereka yang dikurniakan keistimewaan oleh Allah sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka sebagai penyampai risalah Allah kepada seluruh manusia.

Sendi-sendi kekuatan dalam pertarungan Jiwa:

(1) Hati – Ia menjadi sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa apabila hati itu terus hidup, lembut, bersih dan cekal.

(2) Akal – Ia akan menjadi sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiranya akal itu dapat melihat, mengetahui sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat menyedut sesuatu daripada ilmu yang kelak akan digunakan untuk mencapai tempat yang hampir dengan Allah, mengetahui kekuatan dan kebesaran Allah.

Akal mukmin yang sedar juga dapat membezakan antara baik dan buruk, halal dan haram, maaruf dan mungkar, kerana mukmin yang sedar itu melihat perkara ini dengan cahaya daripada Allah yang dapat melihat sesuatu di sebalik tabir yang halus.

Apabila hati manusia mati atau menjadi keras, maka terbukalah pintu masuk bagi segala kejahatan ke dalam jiwanya lebih lagi apabila kita mengetahui bahawa syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana darah meresap dan mengalir dalam tubuhnya.

Antara amalan yang dituntut oleh Islam sebagai jalan untuk memelihara hati dan mengelakkan diri daripada tipu daya syaitan ialah mengingati Allah ketika mula melakukan kerja.

Friday, December 8, 2006

Persaudaraan Muslim jambatan ke Syurga

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 8 Disember 2006)

PERSAUDARAAN dalam Islam adalah suatu jalinan aqidah yang menghubungkan umat Islam antara satu sama lain. Ia juga ada kaitan dengan jalinan erat untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang menempati Kota Madinah dan beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mengasihi orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan di dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin) ; dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang dipelihara kekikiran dirinya mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah al-Hasyr : ayat 9).

Persaudaraan sesama muslim adalah ikatan iman paling erat seperti yang dinyatakan Rasulullah di dalam hadis bermaksud: "Ikatan iman yang paling kuat ialah berkasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah."

Daripada perspektif Islam, persaudaraan satu sendi yang menjadi tunjang dalam usaha memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan antara penganutnya. Persaudaraan atas dasar iman sentiasa dijadikan keutamaan di dalam nasihat-menasihati, memberikan khidmat, berkorban dan mengutamakan saudaranya melebihi dirinya sendiri.

Persaudaraan yang diwujudkan Islam mempunyai kedudukan paling tinggi daripada segala-galanya. Ia dapat dilihat kemuncak kepada persaudaraan ini yang terlaksana dengan jayanya pada zaman kehidupan Rasulullah dan sahabat selepasnya. Lanjutan daripada itu, ukhuwwah yang dibina dan dibentuk oleh Rasulullah juga dapat membentuk sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani di seluruh dunia.

Imam al-Ghazali di dalam analisisnya membahagikan persaudaraan ini kepada pecahan yang besar iaitu persaudaraan secara pilihan sendiri atau yang diusahakan dan persaudaraan yang berlaku secara kebetulan.

Daripada penganalisaan itu, beliau selanjutnya mengklasifikasikan persaudaraan kepada empat kategori iaitu pertama, persaudaraan atas dasar untuk mendapatkan keseronokan.

Kedua, persaudaraan atas dasar kepentingan diri sendiri. Ketiga, persaudaraan yang diusahakan untuk mendapat kebahagiaan di akhirat seperti penuntut ilmu yang mengasihi gurunya dan seterusnya yang keempat iaitu persaudaraan yang diusahakan hasil cetusan daripada kesedaran iman dan takwa kepada Allah.

Kategori dibuat oleh Imam al-Ghazali itu, marilah kita kembali menilai diri kita adakah persaudaraan yang kita bina selama ini adalah kerana Allah atau sebaliknya. Persaudaraan yang berlandaskan keredaan Allah adalah satu ibadah dan penunaian ibadah itu akan memberi implikasi kebahagiaan, keampunan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk membuktikan ketepatan dan kebenaran persaudaraan yang sempurna dalam kategori yang keempat, Imam al-Ghazali membawakan contoh doa Rasulullah iaitu yang bermaksud:

"Ya Allah berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat."

Oleh itu, sebarang usaha untuk berkasih sayang, cinta mencintai, hormat menghormati, bekerjasama, tolong-menolong dan sebagainya sesama umat Islam yang diniatkan semata-mata kerana Allah adalah ikatan persaudaraan yang sempurna dalam erti kata yang sebenar.

Seterusnya Islam amat memerlukan supaya ikatan persaudaraan dapat mendalami hingga menjadi satu bangunan yang kuat serta saling berpaut antara satu sama lain. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan kaum muslimin yang saling kasih mengasihi dan cinta mencintai antara satu sama lain ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota berasa sakit maka seluruh tubuh akan turut berasa sakit dan tidak dapat tidur." (Riwayat Bukhari).

Dalam konteks ini, rohani dan jasmani akan terbentuk melalui ukhuwwah yang dipraktikkan dan sentiasa istiqamah dengannya. Ia juga berperanan sebagai ‘jambatan emas' ke arah pencapaian keamanan dan kesejahteraan yang diimpikan oleh setiap manusia ke arah menghalang unsur perpecahan dan permusuhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (Surah al-Hujurat : ayat 10)

Pembentukan jasmani yang didasari melalui ikatan ukhuwwah akan berjaya kerana melaluinya manusia dapat melaksanakan apa saja yang mereka ingini ke arah penyempurnaan keperluan hidup mereka. Persaudaraan Islam juga akan melahirkan semangat untuk bekerjasama, bergotong royong dan saling bantu-membantu dalam memenuhi kesempurnaan dalam hidup.

Jika kita meninjau dari aspek rohani pula tersingkap di situ gugusan rahmat Allah SWT yang dikurniakan ke atas mereka yang mengutamakan nilai persaudaraan. Ini bertepatan dengan gesaan Rasulullah SAW kepada umat Islam supaya memperbanyakkan pertemuan di dalam kesempatan ibadah seperti solat berjamaah yang dapat merapatkan lagi hubungan persaudaraan. Oleh itu, tuntutan bersolat jamaah, ziarah menziarahi, memberikan hadiah dan sebagainya amat digalakkan di dalam Islam.

Selepas kita melihat beberapa kelebihan dan kebaikan persaudaraan Islam, kita perlu meyakini bahawa mukmin yang di dalam hatinya ikhlas dan jujur di dalam persaudaraan akan memperolehi dan berasakan betapa indah serta manisnya nikmat iman di dalam dirinya. Dia juga akan memperolehi kepuasan dan kebahagiaan jiwa yang memantapkan rohaninya serta memperkukuhkan ikatannya kepada Allah SWT.

Dalam erti kata yang lain, Rasulullah SAW sentiasa menyarankan bahawa mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam adalah satu jambatan yang kita boleh istilahkan sebagai pasport atau visa untuk ke Syurga Allah SWT. Begitulah besarnya hikmat dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang menghubungkan persaudaraan.

Persaudaraan adalah nikmat yang amat berharga kurniaan Allah SWT kepada umat Islam. Islam memandang seluruh umat manusia itu adalah sama dan tiada yang lebih mulia dari yang lain kecuali ketakwaan mereka kepada Allah.

Kita perlu ingat bahawa umat yang berpecah-belah akan menyebabkan hilangnya kekuatan dan menjadi umat yang lemah dan rapuh. Banyak contoh yang boleh dijadikan iktibar. Antaranya kita lihat negara yang tidak bersatu dan suka berpecah-belah, negaranya tidak aman dan harmoni sebaliknya menghadapi berbagai-bagai masalah yang merugikan diri sendiri dan negara.

Kesimpulannya, bagaimana rohani dan jasmani dapat dibentuk melalui persaudaraan adalah kesan daripada prestasi keimanan dan ketakwaan orang mukmin kepada Allah. Dalam erti kata yang sebenar, semakin tinggi dan kukuhnya ikatan persaudaraan di kalangan umat Islam, maka semakin tinggi dan kukuh keimanan dan ketakwaan umat Islam. Sebaliknya pula, perpecahan, persengketaan dan pertumpahan darah yang berlaku di kalangan umat Islam adalah lambang atau simbol kelemahan dan kelunturan iman dan takwa mereka.

Monday, December 4, 2006

Punca rezeki diperoleh penentu keberkatan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 4 Disember 2006)

ISLAM sangat mengambil berat persoalan berkaitan sumber atau punca yang membawa kepada rezeki yang diperolehi. Bahkan, kita juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati agar rezeki yang diperolehi datangnya dari sumber yang bersih, elok dan halal.

Sebagai manusia yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita diwajibkan bergiat dan berjuang dalam kehidupan untuk mencari rezeki yang halal bagi keperluan diri, keluarga dan lainnya yang ada di muka bumi ini menurut bakat dan kebolehan masing-masing agar semua rezeki yang kita perolehi itu menerusi hasil yang kita usahakan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak dalam segala keadaan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah : 10).

Harta yang banyak, tetapi tidak ada keberkatan padanya tidak membawa apa-apa erti, malah boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup menerima rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Sebaliknya, harta yang sedikit tetapi berkat akan membawa ketenangan dan mempunyai kesan yang baik dalam segenap kehidupan.

Semua jenis pekerjaan yang kita ceburi di dunia ini sama ada berkhidmat dengan kerajaan mahu pun swasta atau sebagai peniaga, petani, nelayan, buruh dan sebagainya hendaklah memastikan rezeki yang diperolehi itu betul-betul halal dan tidak terkeluar dari landasan syariat Islam yang sebenar seperti tidak ada unsur penipuan, penindasan, rampasan, khianat, riba, rasuah dan sebagainya.

Seseorang yang memiliki harta yang banyak, tempat tinggal yang besar dan cantik, dikelilingi anak dan isteri serta segala kemewahan yang dimiliki belum tentu hidupnya tenteram dan bahagia. Sering kali berasa resah dan gelisah takut kalau segala yang dimiliki itu akan lenyap atau hilang daripadanya. Ia berpunca daripada keberkatan yang dicabut oleh Allah SWT kerana kelalaian sendiri yang tidak mengikut lunas syariat ditetapkan dalam mencari harta atau rezeki.

Keberkatan daripada Allah SWT amat penting dalam kehidupan sesebuah keluarga. Oleh itu, seseorang itu perlu memastikan agar rezeki yang dibawa balik ke rumah untuk isteri dan anak adalah dari sumber halal. Setiap sen dari sumber haram menyebabkan musnahnya keberkatan di rumah. Setiap wang yang haram masuk ke dalam perut anak kita sebenarnya menyumbatkan api neraka ke dalam perut mereka dan Allah SWT mencabut keberkatan dari anak itu.

Ia dapat dilihat pada zaman ini iaitu berapa ramai anak yang diharapkan menjadi manusia baik tetapi akhirnya menjadi racun kepada ibu bapa dan masyarakat.

Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam mencari rezeki agar jangan sampai kita terjebak kepada perkara haram.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan memasuki Syurga daging yang tumbuh daripada yang haram, api Neraka lebih utama baginya."

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis lain bersabda bermaksud:

"Tiada makanan yang lebih baik dimakan seseorang manusia melainkan apa yang diperolehi dengan titik peluhnya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud memperoleh rezekinya dengan titik peluhnya sendiri." (Riwayat Bukhari)

Dalam hal ini, Islam amat menitikberatkan bentuk atau cara rezeki itu diperolehi. Umumnya, bentuk atau cara mendapat rezeki dan kaedah menggunakannya hendaklah menepati panduan syarak.

Para peniaga atau ahli korporat perlu diingatkan supaya tidak melakukan kezaliman kepada oranglain. Namun, falsafah yang sering digunapakai adalah siapa yang kuat akan dapat memiliki semuanya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sebagai seorang Islam, setiap gerak langkah kita adalah tertakluk kepada hukum-hakam syariat. Mengapa mesti menzalimi orang lain apabila kita ingin mendapatkan sesuatu keuntungan atau sebagainya.

Manusia sering kali hilang pertimbangan apabila perut atau lebih tepat lagi nafsu menjadi matlamat. Mereka ini akhirnya akan hilang maruah diri, terbabit dalam rasuah, pecah amanah dan sebagainya hingga membawa kepada tindakan 'menyembah' sesama makhluk dan bukan menyembah Allah SWT.