Monday, January 29, 2007

Cabaran bentuk sahsiah remaja

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 29 Januari 2007)

Semua pihak perlu pastikan persekitaran sihat untuk generasi muda

KEPEMIMPINAN elemen penting dalam kehidupan seseorang manusia. Apabila kita mampu memimpin diri ke arah sahsiah cemerlang, ia satu kejayaan sebelum kita memimpin orang lain. Kepemimpinan yang baik akan menjadikan kehidupan kita bersama manusia lain di dunia ini dapat diseimbangkan ke arah membentuk generasi al-Quran.

Remaja hari ini menjadi satu kelompok besar yang perlu diberi perhatian demi kepentingan negara dan umat Islam seluruhnya. Remaja adalah pewaris bangsa dan bakal pemimpin pada masa hadapan. Justeru, latihan dan bimbingan secukupnya perlu diberikan bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin kelak.

Kesempatan ketika remaja masa paling sesuai untuk menyuburkan budaya ilmu dan kepemimpinan kerana mereka lebih mudah menerima kebenaran dan bimbingan. Hakikat ini ditunjukkan ketika Nabi Muhammad mula menyebarkan ajaran Islam, golongan muda yang menyatakan sokongan dan seterusnya beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah itu.

Siapa pun tidak dapat menafikan remaja aset dan golongan yang sangat perlu dipelihara kerana masa depan sesebuah masyarakat dan negara terletak sepenuhnya di bahu mereka. Mereka adalah pewaris yang sah tamadun masa kini untuk dilanjut dan dipertingkatkan kualitinya pada masa akan datang.

Fungsi remaja di dalam pembangunan sesebuah negara adalah elemen penting berperanan besar untuk penentuan masa depan negara. Remaja hari ini adalah pemimpin atau pelapis kepada kepemimpinan dekad akan datang. Justeru, tumpuan yang khusus kepada kumpulan ini amat wajar.

Setiap usaha yang positif ke arah pembangunan remaja akan menghasilkan pulangan yang berlipat kali ganda dalam pelbagai bentuk. Dalam memahami kehendak remaja juga, Saidina Umar pernah berpesan: "Didiklah anak mengikut zaman mereka." Namun, sejauh mana kita memahami remaja sebagai sebahagian daripada kelompok masyarakat? Apakah peranan yang dapat kita berikan agar remaja tahu arah tujuan hidup mereka?

Seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak seperti keluarga, kerajaan melalui sistem pendidikan, media massa, masyarakat dan remaja sendiri untuk melahirkan generasi remaja yang sedar serta memahami kehendak perubahan dan berperanan dalam mengisi keperluan ummah serta mampu menangani cabaran mendatang.

Strategi membina sahsiah dan pemikiran kelompok ini wajar diperkembangkan sehingga mereka bersedia dan segera memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta mempelajari asas kepemimpinan yang inovatif dan berpandangan jauh.

Kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan saingan sengit yang sedikit sebanyak akan membantutkan usaha pembinaan ini dan perlu peka terhadap peringatan Allah melalui firman bermaksud: “Dan mereka seharusnya takut kepada Allah seandainya meninggalkan di belakang mereka zuriat keturunan yang lemah.” (Surah An-Nisa' :9).

Membangunkan sebuah negara dan tamadun yang besar, pasti tidak akan mampu dipikul oleh manusia yang tidak berkualiti, rendah akhlaknya, tiada azam serta tekad yang kuat.

Dalam konteks negara kita, golongan remaja membentuk peratusan yang besar daripada keseluruhan jumlah penduduk negara.

Maka kita tentunya tidak akan membiarkan remaja dengan permasalahannya begitu saja tanpa ada sebarang jalan penyelesaian. Satu kaedah yang mantap dan sesuai perlu dicari supaya remaja kita tidak berterusan terperangkap di bawah penguasaan unsur negatif.

Oleh itu, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat dan pihak berkuasa sewajarnya membantu remaja menghadapi cabaran alam remaja. Antaranya termasuk menutup pintu maksiat secepat mungkin dan menyediakan persekitaran yang sihat dan salih. Ini penting dalam memastikan remaja dapat membesar dalam suasana persekitaran baik dan bebas daripada unsur maksiat dan merosakkan.

Ketika ini, ramai yang tertanya-tanya di manakah anak remaja kita berada. Adakah mereka sedang bertungkus-lumus meneroka pelbagai bidang ilmu yang bersifat global atau sebaliknya sedang leka dibuai nafsu di pentas maksiat? Alangkah malangnya jika sebahagian besar remaja terus hanyut tanpa arah dan tujuan. Bagaimanakah mereka mampu untuk memikul tanggungjawab sebegini berat tatkala sampai masanya kelak.

Remaja hari ini diingatkan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan demi memelihara keagungan agama, bangsa dan umat seluruhnya.

Tidak dinafikan remaja aset yang sepatutnya dijaga dan diasuh sebaik mungkin ibarat menatang minyak yang penuh. Bahkan Rasulullah menggariskan panduan yang sewajarnya diikuti dalam mendidik anak. Ini ditunjukkan menerusi sabdanya yang bermaksud:"Ajarlah anak kamu bersolat ketika umurnya tujuh tahun dan pukul mereka (seandainya enggan) apabila umurnya 10 tahun."

Kedua-dua contoh di atas menunjukkan betapa Islam memandang serius terhadap didikan anak. Tempoh umur antara kanak-kanak hingga zaman remaja waktu yang paling berharga dan penting kepada setiap manusia.

Pada masa ini proses perkembangan jiwa dan minda berlaku. Justeru, remaja perlu kental dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam hidup di samping memiliki iman yang teguh. Jika tidak, sudah tentu mereka akan mudah terjerumus dan terperangkap ke lembah kebinasaan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Kedua-dua kaki anak Adam itu tetap akan berdiri di hadapan Tuhannya pada hari kiamat kelak sehingga selesai ditanya empat perkara:

• Umurnya untuk apa dihabiskan;
• Masa mudanya untuk apa dipergunakan;
• Hartanya dari mana diperoleh dan untuk apa dibelanjakan;
• Ilmunya apa yang sudah dibuat dengannya."

Berdasarkan maksud hadis itu, jelaslah setiap manusia akan dipersoalkan setiap perkara yang dikurniakan kepadanya termasuk peluang yang diberikan ketika muda. Umum mengetahui, banyak perkara boleh dilakukan pada masa muda kerana pada usia sebeginilah kita dikurniakan tubuh yang sihat, bertenaga dan cerdas akal fikiran. Amat rugilah jika kesempatan sebegini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

INTI PATI

Ciri remaja cemerlang

• Gunakan waktu untuk perbuatan bermanfaat
• Masa muda tidak dipersiakan dengan perbuatan negatif
• Buat kebajikan dan amal salih
• Gunakan ilmu untuk manfaat semua insan

1 comment:

Anonymous said...

Err.. Namun begitu , apakah cabarannya?