Saturday, June 30, 2007

Menuntut Ilmu Sepanjang Hayat

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Buletin Unisel - Edisi Jun 2007)

“Belajar! Belajar! Belajar! Bila nak habis ni..?” Itulah luahan sebahagian besar remaja hari ini apabila disuruh oleh ibu bapa masing-masing untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Para siswa dan siswi sekalian, proses pembelajaran sebenarnya telah bermula sejak kita masih berada di dalam kandungan ibu sehinggalah kita dilahirkan dan dibesarkan dan akhirnya meninggalkan dunia ini untuk menuju ke alam yang kekal abadi.
Walaupun mungkin kita telah berjaya memiliki ijazah malah hingga ke peringkat yang lebih tinggi dari itu suatu hari nanti, kita masih lagi dituntut supaya sentiasa menambah ilmu yang kita ada. Ini kerana, ilmu sentiasa berkembang dan berubah mengikut peredaran zaman.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Menuntut ilmu bermula dari dalam buaian hingga ke liang lahad.”

Justeru, tuntutlah ilmu selagi kita masih hidup. Ini kerana, ilmu yang dituntut bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada diri kita malah kepada orang lain yang berada di sekeliling kita. Perlu diingat juga, semakin banyak ilmu yang dikuasai akan membuatkan kita lebih bersifat tawadhuk dan tidak membuatkan kita sombong dan bongkak.

Ingatlah! Hidup kita hanyalah sementara. Dalam masa sesingkat ini, kita dibebani amanah untuk memimpin dan menjadi rahmat untuk sekalian alam. Tugas berat ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kita tidak menguasai ilmu-ilmu yang diperlukan untuk mentadbir dan menguruskan hal ehwal kehidupan kita di dunia serta persiapan kita untuk bertemu Allah SWT di alam akhirat. Maka, janganlah dibazirkan hidup kita yang amat pendek ini dengan melakukan perkara-perkara yang melalaikan.

Marilah kita mengambil iktibar dari kemampuan umat Islam yang terdahulu. Mereka disegani dan dihormati kerana kemampuan mereka menguasai ilmu dan kepakaran serta kemahiran mereka yang amat luas sehingga menjangkau ilmu sejarah, strategi ketenteraan, ilmu politik, astronomi dan tidak ketinggalan ilmu-ilmu teknologi semasa yang diperlukan pada waktu itu.

Dengan kecanggihan teknologi era ini, tidak susah untuk kita mendapatkan sumber-sumber ilmu pengetahuan. Apa yang penting adalah kita mesti mempunyai niat yang ikhlas, sikap yang betul dan iltizam yang kuat untuk menjadikan budaya ilmu sebahagian dari hidup kita. Ini seterusnya akan menjadikan kita insan yang berkualiti yang akan membawa kepada kejayaan kepada diri, masyarakat dan negara.