Friday, November 30, 2007

Disiplin Diri Penentu Kejayaan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Buletin Unisel - Edisi November 2007)

“Ahh…malas betullah nak pergi kelas pagi-pagi ni! Kalau cancel kan ke bagus…boleh sambung tidur lagi ni…” Ungkapan sebegini telah menjadi satu kebiasaan bagi siswa-siswi tatkala menghadapi situasi pada waktu pagi. Jika dikaji, peratusan kehadiran pelajar ke kelas pertama pada waktu pagi biasanya kurang berbanding waktu-waktu yang lain. Senario sebegini memberi gambaran bahawa tiadanya disiplin diri sebagai mahasiswa dan mahasiswi universiti. Kenapa terjadinya sedemikian? Sedangkan dalam Islam kita diwajibkan bangun awal untuk menunaikan solat Subuh dan dilarang tidur selepasnya sebagai persediaan untuk meraih rezeki yang dikurniakan Tuhan.

Ironinya, ramai di kalangan siswa-siswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam atau swasta berpendapat, kejayaan mereka menjejakkan kaki ke IPT yang dianggap menara gading merupakan jaminan untuk mereka mengecapi kejayaan dalam hidup. Malah keseronokan bergelar mahasiswa atau mahasiswi membuatkan masing-masing berasa selesa apatahlagi kebanyakannya datang dari kampung atau pedalaman.

Perlu disedari, kejayaan diterima masuk sebagai mahasiswa atau mahasiswi di IPT bukan satu jaminan untuk keluar sebagai graduan atau siswazah yang cemerlang. Di zaman yang serba mencabar kini, kita tidak boleh terus dibuai oleh keseronokan dan kelekaan yang akhirnya merosakkan masa depan kita kelak.

Hakikatnya, kehidupan di IPT serba-serbinya tidak sama dengan zaman persekolahan yang pernah kita lalui. Jika di sekolah, segala-galanya dibantu, dibimbing dan ditunjuk ajar oleh guru. Bagi yang pernah bersekolah asrama pula, jadual hariannya telah diatur bermula dari bangun tidur, makan, belajar, tuisyen, riadah hinggalah masuk tidur semula.

Namun di IPT, keadaannya amat berbeza iaitu siswa-siswi diberi kebebasan untuk mengatur jadual hariannya yang perlu disesuaikan dengan jadual kuliah hariannya. Manakala tugas para pensyarah atau tutor hanya menyediakan garis panduan dan penunjuk jalan untuk dilalui. Banyak perkara perlu dikaji dan dicari sendiri untuk dinilai oleh pensyarah masing-masing. Maka terpulanglah kepada siswa-siswi tersebut sama ada hendak mengikutnya atau pun tidak. Bagi yang sedar dan bijak mengurus masa sudah tentu akan beroleh kejayaan tetapi bagaimana pula yang terus leka dengan dunianya?

Para siswa dan siswi sekalian, peluang belajar di universiti perlu digunakan sepenuhnya untuk menguasai seberapa banyak ilmu pengetahuan di samping pengalaman menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum yang disediakan. Setiap saat yang dilalui tidak akan berulang dan kegagalan kita untuk memanfaatkannya akan mengundang seribu penyesalan yang sudah pasti akan mengecewakan ibu bapa dan masyarakat yang menaruh harapan yang tinggi kepada kita. Marilah sama-sama kita renungi kata-kata Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud : “Sesiapa yang hendakkan dunia hendaklah dengan ilmu, sesiapa yang hendakkan akhirat hendaklah juga dengan ilmu, dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya juga dengan ilmu.”