Monday, January 29, 2007

Cabaran bentuk sahsiah remaja

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 29 Januari 2007)

Semua pihak perlu pastikan persekitaran sihat untuk generasi muda

KEPEMIMPINAN elemen penting dalam kehidupan seseorang manusia. Apabila kita mampu memimpin diri ke arah sahsiah cemerlang, ia satu kejayaan sebelum kita memimpin orang lain. Kepemimpinan yang baik akan menjadikan kehidupan kita bersama manusia lain di dunia ini dapat diseimbangkan ke arah membentuk generasi al-Quran.

Remaja hari ini menjadi satu kelompok besar yang perlu diberi perhatian demi kepentingan negara dan umat Islam seluruhnya. Remaja adalah pewaris bangsa dan bakal pemimpin pada masa hadapan. Justeru, latihan dan bimbingan secukupnya perlu diberikan bagi memastikan mereka bersedia untuk memimpin kelak.

Kesempatan ketika remaja masa paling sesuai untuk menyuburkan budaya ilmu dan kepemimpinan kerana mereka lebih mudah menerima kebenaran dan bimbingan. Hakikat ini ditunjukkan ketika Nabi Muhammad mula menyebarkan ajaran Islam, golongan muda yang menyatakan sokongan dan seterusnya beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah itu.

Siapa pun tidak dapat menafikan remaja aset dan golongan yang sangat perlu dipelihara kerana masa depan sesebuah masyarakat dan negara terletak sepenuhnya di bahu mereka. Mereka adalah pewaris yang sah tamadun masa kini untuk dilanjut dan dipertingkatkan kualitinya pada masa akan datang.

Fungsi remaja di dalam pembangunan sesebuah negara adalah elemen penting berperanan besar untuk penentuan masa depan negara. Remaja hari ini adalah pemimpin atau pelapis kepada kepemimpinan dekad akan datang. Justeru, tumpuan yang khusus kepada kumpulan ini amat wajar.

Setiap usaha yang positif ke arah pembangunan remaja akan menghasilkan pulangan yang berlipat kali ganda dalam pelbagai bentuk. Dalam memahami kehendak remaja juga, Saidina Umar pernah berpesan: "Didiklah anak mengikut zaman mereka." Namun, sejauh mana kita memahami remaja sebagai sebahagian daripada kelompok masyarakat? Apakah peranan yang dapat kita berikan agar remaja tahu arah tujuan hidup mereka?

Seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak seperti keluarga, kerajaan melalui sistem pendidikan, media massa, masyarakat dan remaja sendiri untuk melahirkan generasi remaja yang sedar serta memahami kehendak perubahan dan berperanan dalam mengisi keperluan ummah serta mampu menangani cabaran mendatang.

Strategi membina sahsiah dan pemikiran kelompok ini wajar diperkembangkan sehingga mereka bersedia dan segera memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta mempelajari asas kepemimpinan yang inovatif dan berpandangan jauh.

Kita sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan saingan sengit yang sedikit sebanyak akan membantutkan usaha pembinaan ini dan perlu peka terhadap peringatan Allah melalui firman bermaksud: “Dan mereka seharusnya takut kepada Allah seandainya meninggalkan di belakang mereka zuriat keturunan yang lemah.” (Surah An-Nisa' :9).

Membangunkan sebuah negara dan tamadun yang besar, pasti tidak akan mampu dipikul oleh manusia yang tidak berkualiti, rendah akhlaknya, tiada azam serta tekad yang kuat.

Dalam konteks negara kita, golongan remaja membentuk peratusan yang besar daripada keseluruhan jumlah penduduk negara.

Maka kita tentunya tidak akan membiarkan remaja dengan permasalahannya begitu saja tanpa ada sebarang jalan penyelesaian. Satu kaedah yang mantap dan sesuai perlu dicari supaya remaja kita tidak berterusan terperangkap di bawah penguasaan unsur negatif.

Oleh itu, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, masyarakat dan pihak berkuasa sewajarnya membantu remaja menghadapi cabaran alam remaja. Antaranya termasuk menutup pintu maksiat secepat mungkin dan menyediakan persekitaran yang sihat dan salih. Ini penting dalam memastikan remaja dapat membesar dalam suasana persekitaran baik dan bebas daripada unsur maksiat dan merosakkan.

Ketika ini, ramai yang tertanya-tanya di manakah anak remaja kita berada. Adakah mereka sedang bertungkus-lumus meneroka pelbagai bidang ilmu yang bersifat global atau sebaliknya sedang leka dibuai nafsu di pentas maksiat? Alangkah malangnya jika sebahagian besar remaja terus hanyut tanpa arah dan tujuan. Bagaimanakah mereka mampu untuk memikul tanggungjawab sebegini berat tatkala sampai masanya kelak.

Remaja hari ini diingatkan bersedia untuk menghadapi cabaran masa hadapan demi memelihara keagungan agama, bangsa dan umat seluruhnya.

Tidak dinafikan remaja aset yang sepatutnya dijaga dan diasuh sebaik mungkin ibarat menatang minyak yang penuh. Bahkan Rasulullah menggariskan panduan yang sewajarnya diikuti dalam mendidik anak. Ini ditunjukkan menerusi sabdanya yang bermaksud:"Ajarlah anak kamu bersolat ketika umurnya tujuh tahun dan pukul mereka (seandainya enggan) apabila umurnya 10 tahun."

Kedua-dua contoh di atas menunjukkan betapa Islam memandang serius terhadap didikan anak. Tempoh umur antara kanak-kanak hingga zaman remaja waktu yang paling berharga dan penting kepada setiap manusia.

Pada masa ini proses perkembangan jiwa dan minda berlaku. Justeru, remaja perlu kental dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam hidup di samping memiliki iman yang teguh. Jika tidak, sudah tentu mereka akan mudah terjerumus dan terperangkap ke lembah kebinasaan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Kedua-dua kaki anak Adam itu tetap akan berdiri di hadapan Tuhannya pada hari kiamat kelak sehingga selesai ditanya empat perkara:

• Umurnya untuk apa dihabiskan;
• Masa mudanya untuk apa dipergunakan;
• Hartanya dari mana diperoleh dan untuk apa dibelanjakan;
• Ilmunya apa yang sudah dibuat dengannya."

Berdasarkan maksud hadis itu, jelaslah setiap manusia akan dipersoalkan setiap perkara yang dikurniakan kepadanya termasuk peluang yang diberikan ketika muda. Umum mengetahui, banyak perkara boleh dilakukan pada masa muda kerana pada usia sebeginilah kita dikurniakan tubuh yang sihat, bertenaga dan cerdas akal fikiran. Amat rugilah jika kesempatan sebegini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

INTI PATI

Ciri remaja cemerlang

• Gunakan waktu untuk perbuatan bermanfaat
• Masa muda tidak dipersiakan dengan perbuatan negatif
• Buat kebajikan dan amal salih
• Gunakan ilmu untuk manfaat semua insan

Thursday, January 25, 2007

Islam galakkan tangisan syukur, kesal

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 25 Januari 2007)

MANUSIA sebagai makhluk ciptaan Allah mempunyai pelbagai bentuk sifat dan tabiat yang menjadi keistimewaan dan kelebihan yang Allah jadikan. Antaranya termasuk berkaitan dengan emosi seperti perasaan gembira, sedih, kecewa dan sebagainya.

Perasaan sedih sering kali timbul akibat datangnya gangguan emosi terhadap sesuatu perkara. Apabila keadaan ini berlaku, manusia dengan mudah menitiskan air mata atau dengan kata lain, menangis. Sesetengah daripada kita beranggapan, apabila seseorang itu menangis, ia satu perbuatan menjatuhkan maruah dan menunjukkan kelemahan diri sendiri. Anggapan sebegini sebenarnya tidak tepat kerana ajaran Islam sendiri menentukan jenis tangisan yang dilarang dan dibenarkan agama.

Antara jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam ajaran Islam termasuk:

l) Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah.

Orang beriman dan bertakwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya. Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh, malah sentiasa reda dengan apa mereka terima. Kita dapati orang sebegini ada kalanya menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat itu.


2) Kerana menyesali perbuatan dan dosa dilakukan.

Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh. Ekoran daripada penyesalan itu, maka timbul rasa sedih mendalam yang akhirnya akan menitiskan air mata.

3) Apabila bertambah keimanan kepada Allah.

Iman tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila disirami dengan ayat al-Quran dibaca dengan penuh penghayatan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata.

4) Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk.

Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata menitis kerana menyedari betapa diri begitu kerdil ketika berhadapan dengan penciptaNya.

5) Bimbang terputusnya rahmat Allah.

Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat dari Allah. Apabila keadaan ini berlaku, ia nya boleh meroboh suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu.

6) Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran.

Ada kala air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh Allah SWT jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau kesesatan. Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan hidayah yang diterima itu.

Tuesday, January 16, 2007

Insan berilmu dapat terima nasihat, pengajaran

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 16 Januari 2007)

SETIAP manusia dikurniakan oleh Allah akal untuk tujuan membezakannya dengan makhluk lain. Ketika manusia dijadikan, Allah meletakkan amanah besar iaitu menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Pengurniaan amanah ini meletakkan manusia ke kedudukan yang begitu tinggi melebihi makhluk Allah lain.

Oleh itu, kita sewajarnya mensyukuri anugerah diberikan Allah dan seharusnya dipergunakan dengan sebaik-baiknya demi mempertingkatkan kedudukan kita di sisi Allah.

Akal adalah sesuatu yang amat berharga bagi manusia dan tidak dikurniakan kepada haiwan mahupun benda hidup lain. Disebabkan kelebihan akal yang dikurniakan oleh Allah ini, manusia mampu untuk mencipta malah merekacipta pelbagai bentuk teknologi yang memberikan lebih banyak kemudahan dalam kehidupan.

Di dalam memelihara kemurnian dan kesihatan akal, setiap individu harus menyedari bahawa anugerah Allah yang amat berharga itu tidak akan berguna andainya tidak disusuli oleh amalan dan kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Sebagai seorang Islam, kita perlu meyakini menjaga dan memelihara akal serta menggunakan untuk mencari nikmat Allah adalah salah satu perkara wajib dan amat dituntut oleh agama. Antara kewajipan yang dituntut dalam memelihara akal ialah menuntut dan menguasai ilmu.

Kewajipan menuntut ilmu sebagai agenda penting umat Islam dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:

"Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim dan Muslimah."

Bertitik-tolak daripada inilah, kita berkewajipan untuk terus memelihara akal kita dengan ilmu dan pengetahuan. Sebagai hamba Allah, kita tidak seharusnya berhenti melakukannya selagi masih bernafas dan menyedut udara segar kurniaan Allah..

Dalam memperkatakan soal ilmu, tidak dapat dinafikan bahawa orang berilmu mampu menguasai sesuatu malah manusia lain yang kurang ilmunya atau tidak berilmu. Orang berilmu dalam sesuatu bidang, tidak akan bersusah payah untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapinya berbanding orang lain yang tidak berilmu.

Sebelum sesuatu langkah diambil, seseorang akan berfikir semasak-masaknya sebelum meneruskan tindakannya. Berbeza dengan orang yang tidak berilmu akan mudah terburu-buru untuk bertindak tanpa menggunakan akal fikirannya. Implikasinya, segala tindakannya itu kemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar.

Allah mewajibkan setiap Muslim supaya terus menuntut ilmu. Sebagai bonusnya, Allah memberikan kedudukan yang tinggi kepada mereka ini. Ia dapat dilihat di kalangan masyarakat hari ini. Mereka yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam sesuatu bidang akan dihormati dan diberikan kemuliaan di tengah masyarakat. Kadangkala, mereka juga turut diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap malah pemimpin dalam sesuatu perkara.

Bagi orang yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri. Ia menunjukkan bahawa seseorang yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki oleh ilmuwan Islam atau lebih tepat lagi disebut ulama.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu)." (Surah al-Fathir: 28)

Daripada maksud ayat itu, dapat kita fahami bahawa ketaatan manusia kepada sesuatu perkara adalah berasaskan kepada kefahaman dan penghayatannya kepada perkara tersebut. Dan ketaatan serta penghayatan tersebut tidak dapat diperolehi melainkan dia berilmu.

Tidak dapat dinafikan, kedudukan orang berilmu dengan orang jahil sememangnya berbeza terutama dari segi pemikiran dan cara tindakannya. Maka benarlah seperti firman Allah di atas yang menjelaskan bahawa orang yang tahu memanfaatkan akalnya mampu untuk menerima segala bentuk pengajaran dan nasihat.

Sesungguhnya, orang yang berilmu bukan saja dihormati dan dikasihi oleh manusia tetapi juga oleh malaikat bahkan oleh seluruh makhluk di dunia ini. Ia dibuktikan oleh nas dan dalil al-Quran dan Hadis yang begitu banyak memperkatakan kelebihan orang yang berilmu.

Secara umumnya, perlu kita sedari bahawa ilmu yang dimaksudkan bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut sebagai ilmu agama. Secara sedar atau tidak, semua ilmu yang terdapat hari ini sama ada mencakupi ilmu dunia atau akhirat, kedua-duanya adalah sunnah kepada manusia untuk mempelajari dan menguasainya.

Saturday, January 13, 2007

Matlamat syarak teras kemajuan hakiki

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 13 Januari 2007)

Formula terbaik ekonomi beri kemakmuran kepada semua lapisan rakyat

ISU pembangunan lama dikumandangkan sejak awal kemerdekaan lagi. Namun, mutakhir ini, ia terus menjadi bahan perbincangan terutama di kalangan pemimpin kerajaan mahupun golongan intelektual yang bertujuan menilai sama ada pembangunan yang dikecapi benar-benar menepati apa yang dikehendaki.

Secara perbandingan, pembangunan pada zaman kegemilangan Daulah Islamiyah dan pembangunan sesetengah negara umat Islam kini amat jauh berbeza. Teras pembangunan pada masa lalu adalah iman dan takwa, manakala pada zaman globalisasi ini, teras pembangunan lebih dilihat dari sudut kebendaan dan lahiriah semata-mata.

Pembangunan yang luhur sewajarnya mendatangkan kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua manusia dan tidak menimbulkan sebarang kerosakan, kerugian dan kebinasaan kepada mana-mana pihak.

Oleh itu, Islam menggariskan panduan timbang tara dalam membangunkan masyarakat dan negara. Menurut kaedah fikah, sekiranya sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan itu jelas akan mencetuskan lebih banyak keburukan dari kebaikan, maka rancangan itu perlu dibatalkan atau dicari alternatif lain. Ia membolehkan apa yang dikatakan 'win-win situation' antara pemimpin dan rakyat akan dapat diperoleh dan dinikmati bersama antara kedua-dua entiti pembangunan itu.

Keutamaan pembangunan pada zaman kegemilangan Islam itu juga, pelaksanaan pembangunan adalah berasaskan keutamaan maqasid syarak (matlamat syarak) iaitu memastikan masyarakat mendapat kebaikan dan mengelakkan kerosakan dalam masyarakat. Ia mengambil kira kepentingan yang bersifat daruriyat (darurat), kepentingan hajiyat (keperluan) dan kepentingan tahsiniyat (pengindahan). Kepentingan daruriyat merangkumi daripada lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan maruah. Kepentingan hajiyat adalah keperluan asas seperti pendidikan, tempat tinggal dan makanan, manakala tahsiniyat pula meliputi akhlak dan budaya murni masyarakat.

Daripada senarai keutamaan ini, rakyat sentiasa dijamin hak, keadilan dan kesejahteraan hidup. Keadilan dan hak yang dimaksudkan meliputi manfaat yang diperoleh semua golongan rakyat dan tidak terhad kepada segelintir masyarakat saja. Islam menetapkan, sebelum sesuatu keperluan atau pengindahan dilakukan, rakyat perlu dipastikan memperolehi keperluan asas, keselamatan aqidah, nyawa dan harta serta maruah yang terjamin dan terbela.

Secara jelasnya, Islam tidak menghalang umatnya mengejar pembangunan asalkan faedah pembangunan itu dicapai, diurus, ditadbir dan dimanfaatkan tanpa melampaui batas hukum syarak. Kesilapan yang dapat dilihat di sesetengah negara umat Islam hari ini, hampir keseluruhan pelaksanaan sistem ekonomi mereka hanya berasaskan teori ekonomi Barat semata-mata yang terus diserap ke dalam kerangka pembangunan negara.

Kurang tepat jika modul pembangunan ekonomi berupaya membangunkan sesebuah negara ke tahap negara maju dianggap formula terbaik kepada kesejahteraan rakyat sedangkan golongan yang paling banyak mendapat keuntungan daripada kemajuan itu hanya segelintir peniaga yang bergelar jutawan.

Oleh itu, yang kaya akan terus menikmati kemewahan hidup dan yang miskin akan bertambah sengsara akibat jurang pendapatan semakin melebar. Keindahan Islam akan lebih terserlah jika hasil pembangunan diperoleh dinikmati bersama oleh seluruh anggota masyarakat. Golongan kaya akan bertanggungjawab membela golongan miskin. Sekali gus, masalah seperti kemiskinan, kecurian dan pecah amanah dapat dikurangkan kerana manusia hidup dalam suasana berkasih sayang.

Jauh sekali untuk berperasaan hasad dengki dan bangga diri. Inilah modul pembangunan pada zaman Rasulullah SAW yang perlu diaplikasikan bersama. Masyarakat Islam pada zaman Rasulullah dan Allah menggariskan peraturan hidup yang cukup cantik memberi keuntungan kepada golongan kaya, golongan kurang berkemampuan dan kepada negara itu sendiri.

Orang kaya akan rasa bersyukur dan menghormati golongan miskin. Golongan miskin pula tidak akan rasa dipinggirkan, malah meningkatkan self-esteem mereka serta menghilangkan perasaan negatif terhadap golongan kaya. Negara pula akan menikmati pembangunan seimbang dari segi material dan rohani.

Golongan miskin ini lebih rela bekerja berat untuk menampung keperluan harian mereka. Mereka mempunyai harga diri yang tinggi dan dengan itu tidak dipandang hina oleh masyarakat. Kekuatan persaudaraan membuatkan kekurangan hidup mereka tidak begitu dirasai kerana kasih sa sesama mereka yang membuatkan mereka mengutamakan saudara seIslam lain. Inilah yang dikatakan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Golongan kaya pula sentiasa bersifat pemurah, suka membantu dan berlumba-lumba membuat kebajikan. Secara tidak langsung, ia dapat mengeratkan lagi ikatan persaudaraan sesama umat Islam. Sekaligus, tidak ada dalam kamus hidup mereka perasaan tamak dan mementingkan diri masing-masing.

Sebaliknya, golongan peniaga dan saudagar paling cenderung berbuat kebajikan seperti Saidina Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Untuk menilai pembangunan hakiki, kita tidak sewajarnya melihat kepada kulit yang cantik sedangkan isinya tidak boleh dimakan. Itulah ibaratnya sebuah kemajuan yang tiada bimbingan iman dan takwa.

Sebagai contoh, lihat saja Amerika Syarikat yang kononnya menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Namun, negara yang sama turut mempunyai kadar jenayah antara tertinggi di dunia. Ia belum dilihat kepada sistem sosial mereka yang gawat dan pincang. Gejala anak luar nikah, seks bebas, homoseksual dan tertubuhnya kelab gay menjadi perkara biasa dalam masyarakat di sana. Pembangunan yang diusahakan juga perlu tidak bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Islam dengan sifat ad-Din yang ada padanya mengetengahkan sistem ekonomi dan muamalah yang bersesuaian dengan fitrah ini.

Bermula dari niat, tatakerja dan akhirnya kesan daripada pelaksanaan sistem itu, semuanya memenuhi keperluan hidup manusia sama ada dari sudut fizikal, aqli atau rohani. Modul ekonomi Islam ini turut merangkumi kerjasama antara pemimpin dan juga rakyat. Peranan pemimpin dalam membangunkan ekonomi negara dapat diteladani daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz berjaya membentuk sebuah masyarakat yang adil dan makmur.

Hasil daripada langkah beliau, keseluruhan rakyat jelata memperolehi rahmat Allah yang melimpah-ruah hingga dikatakan kambing dan serigala pun dapat hidup bersama secara harmoni. Mungkin pelik, tetapi itulah hakikatnya yang perlu diterima. Pembangunan modal insan adalah ejen pembangunan.

Berjaya atau tidak pembangunan sesebuah negara bergantung kepada ejen pembangunannya. Oleh itu, pembangunan insan adalah fokus utama dalam pembangunan Islam. Sumber manusia menjadi penentu dan kayu ukur kepada pembangunan yang hendak dicapai. Maka, pembangunan negara hendaklah bertitik-tolak daripada pembangunan insan rakyatnya.

Monday, January 8, 2007

Muslim sejati faham kudrat Ilahi

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 8 Januari 2007)

Iman seseorang diukur berdasarkan kepatuhan, pelaksanaan perintah tuhan

TUNTUTAN pertama ke atas seorang Muslim ialah menjadi Muslim dan mukmin yang beriman dengan sebenar-benarnya kepada Tuhannya. Dengan keimanan teguh itu, dia dapat berhubung dengan Tuhannya dan sentiasa mengingatinya serta bertawakal atau menyerah diri kepadanya. Selain memohon pertolongan kepada-Nya, dia juga akan berasakan dalam lubuk jiwanya bahawa dia sangat berhajat dan sentiasa perlu kepada kekuatan Allah dari segi bantuan dan sokongan-Nya sekalipun dia berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Muslim sejati dan benar adalah manusia yang sedar hati dan jiwanya, celik pemikirannya dan terbuka pintu imannya. Dengan menghayati segala keindahan ciptaan Allah yang terbentang di seluruh alam, akan tercetus satu keyakinan bahawa ada satu kekuasaan yang Maha Tinggi yang mengendalikan segala urusan alam dan urusan manusia.

Sehubungan itu, seseorang Muslim itu akan sentiasa mengingati Allah serta sentiasa melihat kudrat kekuasaan-Nya yang tidak terbatas pada setiap detik dan ketika lalu akan bertambahlah imannya kepada Allah yang memiliki segala kekuasaan itu.

Firman Allah yang bermaksud :

"Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal." (Surah Ali Imran: 190)

Ukuran iman seseorang Muslim diukur berdasarkan kepatuhan dan pelaksanaannya terhadap perintah rohaninya. Ia termasuk dari sebesar-besar perkara hinggalah kepada yang sekecil-kecilnya tanpa rasa takut, segan dan berkecuali. Kepatuhan itu meliputi taat setia kepada semua perintah Tuhannya, beribadah dengan penuh khusyuk, mematuhi batas agama serta menunaikan perintah-Nya sekalipun bertentangan dengan kehendak hawa nafsunya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (perintah-perintah Allah)." (An-Nawawi)

Seorang Muslim juga adalah seorang yang menyedari tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Justeru, segala kelalaian, kecuaian dan keterlaluan terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya dilakukan dirinya atau salah seorang daripada anggota keluarganya akan disoal di hadapan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan disoal berkenaan orang-orang yang dipimpinnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, Muslim yang benar adalah yang yakin di dalam jiwanya bahawa beriman dengan qada' dan qadar Allah. Segala perkara menimpanya di dalam hidup ini tidak dapat dielakkan kerana sudah ditakdirkan Allah kepadanya dan dia tidak dapat menolaknya. Keredaan kepada qada dan qadar Allah akan memberikan kesempatan kepadanya untuk memperoleh ganjaran yang banyak daripada Allah dan dicatatkan di sisi Allah sebagai mukmin yang taat dan berjaya.

Dalam kehidupan seorang mukmin, kadang-kadang berlaku kesilapan seperti terlupa, terlalai, tergelincir dan jatuh ke dalam kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku ke atas mukmin yang sentiasa taat dan khusyuk kepada Tuhannya. Dalam masalah ini, langkah terbaik adalah segera beringat dan insaf lalu terus sedar daripada lupanya dan meminta ampun di atas kecuaiannya. Dia akan segera kembali semula pada perlindungan Tuhannya yang disertai dengan hati yang takut dan sentiasa memohon keampunan Tuhannya.

Di samping itu, Muslim sebenar juga sentiasa mengharapkan Allah dalam segala usaha dan amalannya. Segala gerak-geri hidupnya hanya untuk mencapai keredaan Allah dan bukan mengharapkan keredaan manusia. Kadangkala dia terpaksa berhadapan dengan kebencian manusia disebabkan usaha dan amalannya ke arah mendapatkan keredaan Allah. Oleh itu, dia mengukur dan menimbang segala amal dan usahanya dengan timbangan keredaan Allah. Setiap perkara diredai Allah akan sentiasa menjadi amalan perbuatannya.

Keadaan kini menunjukkan ada golongan yang kita lihat bersembahyang khusyuk di masjid tetapi individu sama terbabit dengan perkara dan tingkah laku diharamkan Allah. Tidak kira di mana sama ada di pasar, rumah, sekolah, jalan, dalam persatuan atau kelab, malah di mana-mana saja.

Mereka ini ditimpa satu pertentangan dan percanggahan dalam memahami hakikat agama sebenar. Ia kerana, agama sepatutnya menjadi panduan Muslim itu dalam segala usahanya yang membuatkan dia menimbang segala perkara dengan neraca keredaan tuhan. Jika hal itu terjadi, akan wujud dualisme dalam diri seorang Muslim iaitu separuh Muslim dan separuh lagi bukan Muslim. Sekiranya ini berlaku, maka ketahuilah betapa bahaya yang sangat besar dan ujian yang sengit menimpa Muslim pada zaman ini.

Muslim sebenar turut mengambil kira tanggungjawabnya untuk menunaikan segala rukun dan kewajipan Islam dengan sempurna tanpa melalaikannya atau mempermudah-mudahkannya. Muslim itu akan sentiasa menegakkan solat fardu lima waktu sehari semalam tepat pada waktunya kerana solat itu tiang agama. Sesiapa yang menegakkan maka dia menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya dia sudah meruntuhkan agamanya.

Solat itu juga adalah perhubungan antara hamba dengan tuhan. Di dalam solat, manusia meninggalkan segala kesibukan dunia dan menghadap sepenuhnya kepada Allah serta memohon supaya sentiasa istiqamah di atas jalan yang benar dan lurus. Di samping itu, seorang muslim yang bertakwa akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghadiri solat jemaah dijanjikan dengan ganjaran lebih besar berbanding sembahyang bersendirian.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Solat Jamaah itu adalah lebih mulia dari solat berseorangan dengan kelebihan sebanyak dua puluh tujuh darjat." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi mencapai segala impian tinggi itu dan seterusnya merealisasikan pembentukan seorang Muslim yang kuat dan mantap adalah disarankan agar kita sentiasa kembali kepada al-Quran dengan bernaung di bawah lindungan serta mengikuti segala aspek ajarannya untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah sebenar daripada Maha Pencipta iaitu Allah.

Untuk itu, adalah perlu bagi kita untuk sentiasa membaca al-Quran, memikirkan, merenung, mengkaji dan bertadabbur (memahami) al-Quran dengan penuh khusyuk yang pastinya akan dipraktikkan dalam segenap urusan kehidupan kita.

FAKTA:

• Muslim sejati dan benar adalah manusia yang sedar hati dan jiwanya, celik pemikirannya dan terbuka pintu imannya dengan menghayati segala keindahan ciptaan Allah.
• Seorang muslim juga menyedari tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Segala kelalaian, kecuaian dan keterlaluan terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya dilakukan akan disoal di hadapan Allah SWT.
• Muslim sebenar juga sentiasa mengharapkan Allah dalam segala usaha dan amalannya. Segala gerak-geri hidupnya hanya untuk mencapai keredaan Allah dan bukan mengharapkan keredaan manusia.
• Muslim sebenar turut mengambil kira tanggungjawabnya menunaikan segala rukun dan kewajipan Islam dengan sempurna tanpa melalaikannya atau mempermudah-mudahkannya.

Friday, January 5, 2007

Tarbiah anak bermula dalam kandungan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 5 Januari 2007)

ANAK adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada kedua ibu bapa. Justeru, sebagai ibu bapa seharusnyalah mereka mengambil berat pendidikan anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam keredaan dan pemeliharaan Allah.

Perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Tujuannya adalah bagi melahirkan insan rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal salih.

Falsafah pendidikan Islam sememangnya menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa.

Sebelum kelahiran anak itu lagi, ibu bapa perlu menyediakan tempat sesuai untuk mengasuh dan membesarkan anak sebaik-baiknya. Ia memberi makna bahawa dunia pertama bagi seorang kanak-kanak adalah rumah ibu bapanya sendiri. Bagi memastikan kesempurnaan dalam pendidikan anak, ibu bapa perlu membentuk suasana yang harmoni dan bercirikan keIslaman dalam kehidupan berumahtangga. Ia boleh dilakukan sejak di awal perkahwinan lagi.

Sekiranya setiap suami isteri menghayati dan mempraktikkan nilai keIslaman dalam kehidupan keluarganya, mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika pasangan itu gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, amat sukar bagi mereka untuk mentarbiah anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.

Atas dasar ini Rasulullah mengingatkan seseorang lelaki yang ingin berkahwin supaya membuat pilihan tepat iaitu memilih perempuan yang mempunyai pegangan agama dan bukan semata-mata kerana paras rupa, keturunan atau harta. Sabda Rasulullah bermaksud: "Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia lebih menguntungkan kamu (lebih utama)." (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Pendidikan sebelum kelahiran

Secara umumnya, proses pendidikan bermula ketika bayi berada dalam kandungan ibunya. Tarbiah atau pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian iaitu:-

• Bagi ibu yang sedang mengandung amat digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan al-Quran terutama surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At-Taubah. Ini kerana, surah itu mengandungi pelbagai kelebihan dan maksud tersirat mempunyai makna yang besar dalam pentarbiahan anak.

• Ibu turut disarankan sentiasa memperbanyakkan doa kepada Allah anak bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang salih, berilmu, beriman, berakhlak mulia dan taat kepada kedua ibu bapanya. Ini penting untuk memastikan keluarga dibentuk sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah.

• Ibu bapa juga mesti memastikan rezeki yang mereka peroleh datang daripada sumber yang halal dan bersih. Ini amat mustahak kepada pembentukan dan pertumbuhan anak yang bakal dilahirkan supaya ianya datang dari darah daging yang halal lagi berkat. Ia juga memberi kesan kepada pembentukan peribadi anak apabila besar kelak.

• Ibu hamil juga perlu memakan makanan berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri perlu diutamakan demi menjamin kesihatan anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititikberatkan oleh Islam kepada ibu berada dalam keadaan sedemikian yang sudah tentunya menghadapi pelbagai kesukaran dan kepayahan. Ini terbukti dengan kelonggaran yang diberikan Islam untuk ibu mengandung untuk berbuka puasa (pada Ramadan) sekiranya berasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

• Ketika tempoh masa mengandung juga, ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan berlaku ke atas dirinya. Pada waktu sebegini juga sememangnya keadaan ibu agak berbeza daripada waktu biasa terutama bagi mereka yang bakal melahirkan anak pertama.

Antaranya mungkin kehilangan selera makan, mudah sensitif dan berdebar. Pada ketika ini suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri dengan sentiasa berada di sisi dan memberi dorongan kuat kepadanya.

Pendidikan selepas kelahiran

Selepas anak selamat dilahirkan, ia hendaklah segera diazankan di telinga kanannya dan diiqamatkan di telinga kirinya. Dalam satu riwayat oleh Abu Rafi yang bermaksud: "Aku melihat sendiri Rasulullah mengazankan Hasan bin Ali di telinganya ketika dia baru dilahirkan oleh Fatimah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada hari ketujuh kelahirannya pula, ibu bapa disunatkan untuk bersedekah dengan melakukan ibadat akikah untuk anak mereka iaitu dengan menyembelih seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung pada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ketujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya". (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai)

Seterusnya apabila anak itu mulai meningkat umurnya, ibu bapa perlulah lebih peka kepada teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pada tahap ini, pengisian antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan.

Ia kerana, kanak-kanak lazimnya akan belajar (mengikut) berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu di sekelilingnya terutama dari ibu bapanya.

Antara panduan yang boleh diikuti oleh ibu bapa terhadap tarbiah yang perlu diterapkan dalam diri anak pada peringkat ini termasuk:

• Mendidik anak supaya taat dan menghormati kedua ibu bapanya dengan menimbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibu bapa terhadapnya amat besar dan mereka perlu memahami dan menghormati kedua-duanya. Amalan ini dapat mengeratkan hubungan mesra dan kasih sayang antara ibu bapa dan anak.

• Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang lebih tua daripadanya. Mereka perlu disedarkan bahawa guru adalah orang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu, manakala orang lebih tua adalah orang lebih berpengalaman daripadanya.

• Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik iaitu dengan melatih mereka supaya bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan kata yang baik. Ini kerana, kanak-kanak begitu sensitif dan mudah terikut-ikut terhadap apa yang didengarnya.

• Mendidik anak adab bergaul dengan rakan. Mereka harus diingatkan supaya tidak meninggi diri dan jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain.

• Mengajar anak akan adab makan dan minum yang baik dan mengelakkan sikap tidak sopan sebaliknya mereka perlu dilatih dengan adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan selepas makan.

• Mengajar mereka dengan adab berpakaian yang bertujuan menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

• Mengajar adab tidur dan bangun dari tidur iaitu sebaik-baiknya mengadap kiblat, membersihkan diri sebelum tidur dan membaca doa sebelum dan selepas bangun tidur.

• Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas iaitu cara membuang air dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, membelakangkan kiblat dan sebagainya.

Kesimpulannya, anak adalah amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak mereka kecil supaya apabila besar kelak mereka menjadi anak salih dan sentiasa taat kepada kedua ibu bapanya.

Anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang berperanan mencorak dan melukiskan dengan warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.

Monday, January 1, 2007

Islam galak hubungan erat antara jiran elak perbalahan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 1 Januari 2007)

KEMAKMURAN sesebuah negara amat bergantung kepada sejauh mana kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat sesama anggota masyarakat adalah ciri masyarakat yang berkualiti iaitu sebuah masyarakat yang bukan saja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman, bahkan menjadi aset paling penting kepada negara.

Islam menekankan pentingnya hubungan erat di kalangan masyarakatnya.

Mengapa kita perlu berjiran? Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia satu daripada cara hidup Islam. Ia memainkan peranan yang amat penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi setiap kesulitan atau masalah.

Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “ Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki". (Surah An-Nisa':36).

Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, maka semestinya terlebih dahulu kita menyedari keperluan hidup berjiran. Antaranya adalah :

• Bantuan ketika kecemasan

Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Justeru, jiran paling dekat untuk memohon pertolongan.

Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan, sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara.

• Menambah kenalan

Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita.

Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat banyak memberi manfaat kepada kita. Antaranya mendapat tunjuk ajar dan nasihat dalam sesuatu bidang ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran kita.

• Menjamin keselamatan setempat

Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada sebarang ancaman kecurian, pecah rumah, penyalahgunaan dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung atau kempen kesedaran.

• Menjaga keharmonian masyarakat

Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan banyak lagi kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Adakah kita perlu tunggu sehingga gejala tersebut menimpa ke atas ahli keluarga kita barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Oleh itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan yang kita diami.

• Menjaga kebajikan penduduk setempat

Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti jawatankuasa kemajuan pembelajaran anak, jawatankuasa pembangunan insan dan lain-lain aktiviti berfaedah.

Semua ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat baik anak, remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara.

• Memupuk perpaduan

Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi dan saling mempercayai. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.