Saturday, February 3, 2007

Enggan kahwin undang kepincangan sosial

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 3 Februari 2007)

FENOMENA wanita belum berkahwin menyusui anak angkat baru-baru ini, menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan di kalangan masyarakat. Kebimbangan itu antara lain dikhuatiri menjadi trend atas alasan ia akan mematikan keinginan wanita untuk berumah tangga di samping membantutkan perkembangan institusi keluarga.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa Abdul Rahman yang menyuarakan kebimbangannya terhadap fenomena itu kerana dikhuatiri akan berlaku perkahwinan sesama muhrim pada masa depan akibat penyusuan itu.

Dengan teknologi terkini, seseorang wanita belum berkahwin boleh menghasilkan susu menerusi pengambilan pil penggalak susu yang membolehkannya menyusui anak angkat seolah-olah anaknya sendiri.

Tidak dinafikan, perbuatan mengambil anak angkat, kemudian menyusui tidak dilarang agama, bahkan satu kemuliaan lebih-lebih lagi apabila anak yang dipelihara itu terdiri daripada anak yatim yang sememangnya memerlukan perhatian sewajarnya dari seorang ibu.

Namun, apa yang dibimbangi ialah jika ada di antara wanita itu menjadikan pengambilan anak angkat itu dan seterusnya menyusui sebagai alasan untuk tidak mahu berkahwin dan berkeluarga seperti lazimnya kehidupan normal seseorang manusia.

Jika ini berlaku, dikhuatiri generasi akan datang diancam pelbagai kepincangan sosial akibat tidak mendapat didikan sempurna daripada ibu dan bapa.

Tidak dinafikan, naluri berkeluarga adalah suatu fitrah dianugerahkan Allah kepada semua hamba-Nya. Keluarga diumpamakan sebagai masyarakat kecil di dalam sesebuah masyarakat besar dan sama seperti satu daripada anggota yang ada pada tubuh manusia.

Setiap manusia normal tidak kira lelaki atau perempuan memerlukan perkahwinan sebagai satu cara untuk memenuhi tuntutan fitrah kemanusiaan.

Sesungguhnya, perkahwinan mengandungi pelbagai faedah dan maslahat kemasyarakatan yang amat digalakkan oleh Rasulullah.

Perkahwinan adalah fitrah atau tabiat semula jadi manusia. Menerusi perkahwinan, seseorang muslim dapat memikul tanggungjawab yang besar iaitu dari segi memelihara dan mendidik anggota keluarga.

Sesungguhnya, keluarga yang dibentuk menerusi perkahwinan yang dilakukan mengikut syariat Islam mengandungi pelbagai faedah umum dan maslahat kemasyarakatan berikut:

• Memelihara generasi manusia.

Menerusi perkahwinan, akan berterusan wujudnya keturunan manusia dan akan bertambah banyak bilangannya serta bercabang perhubungannya antara satu dengan yang lain. Proses perkembangan manusia memerlukan pemeliharaan dan penjagaan daripada sebarang kerosakan.

• Memelihara keturunan.

Menerusi perkahwinan, setiap manusia dapat memelihara keturunannya daripada kelahiran di luar nikah yang sudah pasti akan mengundang seribu satu macam masalah dalam kehidupannya. Anak pula akan berasa bangga dengan pertalian nasab kepada bapa mereka yang sah.

Dengan pertalian keturunan seseorang dapat mengidentifikasikan dirinya dalam keadaan jiwa yang tenteram dan harga diri yang mulia.

Tanpa perkahwinan yang sah, sudah tentu sesuatu masyarakat akan menjadi pincang dengan lahirnya anak yang tiada harga diri, maruah dan keturunan. Inilah yang berlaku kepada masyarakat Barat yang mengalami keruntuhan institusi keluarga yang teruk akibat pengabaian aspek ini.

• Menyelamatkan masyarakat dari keruntuhan akhlak.

Perkahwinan dapat memelihara akhlak masyarakat daripada dirosakkan akibat kerakusan hawa nafsu yang sentiasa bergelora. Setiap manusia yang mempunyai akal yang sihat dan iman yang sempurna akan mengakui bahawa perhubungan intim antara lelaki dan wanita hanya boleh dilaksanakan dengan perkahwinan yang sah dan menurut syarat.

• Menjauhkan penyakit.

Perhubungan yang didasari dengan perkahwinan akan memelihara seluruh masyarakat dari penularan penyakit fizikal disebabkan oleh perhubungan seks bebas seperti zina dan kegiatan pelacuran.

Perhubungan seks haram ini menimbulkan penyakit seperti AIDS, sifilis dan sebagainya. Penyakit itu kelak akan dijangkiti oleh isteri dan seterusnya akan membahayakan kesihatan anak.

• Ketenteraman rohani dan naluri.

Menerusi pembentukan keluarga muncul perasaan kasih sayang, belas kasihan dan rasa kemesraan antara sepasang suami isteri. Kepenatan suami selepas bekerja sepanjang hari akan hilang sebaik saja kepulangannya di sambut oleh kelembutan isteri dan tawa riang anak.

• Kerjasama dalam membangun keluarga dan mendidik anak.

Dengan perkahwinan, kedua-dua suami isteri akan saling membantu dalam membangun keluarga dan memikul tanggungjawab yang diamanahkan. Masing-masing akan menyempurnakan tugas yang lain. Seorang isteri akan melaksanakan apa yang menjadi rutinnya iaitu yang sesuai dengan sifat kewanitaan seperti mengurus rumah tangga, mendidik anak dan sebagainya.

Suami pula akan melakukan kerja sesuai dengan sifat kelelakiannya seperti menyediakan keperluan anak, mencari rezeki dan melindungi keluarga daripada bahaya.

• Menyemarakkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Secara fitrahnya, perkahwinan akan menyemarakkan lagi perasaan kasih sayang antara suami isteri atau ibu bapa terhadap anak.

Perasaan ini akan meninggalkan kesan yang baik dan implikasi yang menggalakkan dalam proses pembesaran anak. Mereka akan mengambil berat kepentingan anak serta membimbing mereka kepada suatu kehidupan yang penuh tenteram dan menggembirakan.