Sunday, June 1, 2008

Mengejar Kerjaya Impian

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Buletin Unisel - Edisi Jun 2008)

SEJAK kecil lagi kita telah dididik supaya mempunyai cita-cita dalam hidup. Seringkali kita ditanya apakah jenis pekerjaan yang akan kita miliki apabila dewasa nanti. Maka bermacam-macamlah jawapan yang keluar pada masa itu. Paling popular sudah tentulah ada yang akan jadi guru, doktor, jurutera dan macam-macam lagi.

Apabila umur meningkat, minat dan kecenderungan manusia biasanya akan berubah seiring dengan perkembangan mental dan fizikalnya. Ini termasuklah cita-cita yang telah dipupuk sejak dari awal persekolahan. Maka tidak hairanlah jika cita-cita seseorang itu sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa. Situasi sebegini adalah perkara biasa dalam proses perkembangan individu. Malah ramai yang berkecimpung serta berjaya dalam satu-satu profesion yang tidak pernah pun diimpikannya sebelum itu.

Hakikatnya, bermula dari peringkat tadika, sekolah rendah, menengah dan akhirnya menjengah ke alam universiti sudah tentulah memberikan pengaruh yang besar kepada cita-cita yang telah tersemai dalam diri. Ini ditambah dengan galakan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, pendedahan yang diterima, sumber pembacaan dan lain-lain.

Apa pun cita-cita kita atau apa pun kerjaya impian kita sudah pastilah tersemat di sanubari masing-masing untuk menjadi orang yang berjaya dalam hidup dan memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat. Dan amat mustahil jika seseorang itu tidak langsung mempunyai cita-cita walaupun tidak pernah menjejakkan kaki di alam persekolahan sekalipun.

Tidak dinafikan, memiliki cita-cita adalah penting sebagai fokus dan halatuju yang ingin dicapai dalam hidup. Namun yang lebih penting apakah persediaan yang ada telah mencukupi untuk berada di alam kerjaya nanti? Cukupkah sekadar memiliki segulung ijazah atau diploma yang kemudiannya dipersembahkan dalam resume yang cantik dan menarik mampu membuktikan seseorang itu telah menepati kehendak majikannya?

Ramai beranggapan bahawa mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang, memiliki sijil dan kemahiran yang pelbagai serta ditambah dengan penguasaan Bahasa Inggeris, komputer dan sebagainya sudah cukup untuknya memiliki pekerjaan yang diidamkan. Benarkah begitu?

Realitinya, sesebuah organisasi atau syarikat sudah tentu ingin memiliki kakitangan yang bukan sahaja mahir dalam bidangnya tetapi berupaya menjadi aset yang mampu memberi keuntungan kepada syarikat. Justeru, seseorang pekerja tanpa mengira di peringkat mana dia berada perlu memiliki sifat-sifat amanah, rajin, berbudi bahasa atau lebih tepat lagi berakhlak mulia yang amat bertepatan dengan kehendak Islam.

Kajian membuktikan, seseorang yang taat beragama seperti memelihara solatnya, menjaga aurat dan kewajipan-kewajipan yang lain tidak banyak memberikan masalah kepada majikan malah lebih produktif di samping memberi imej yang baik kepada organisasi yang diwakilinya. Ini kerana, seseorang yang patuh kepada agama akan lebih dipercayai dan tidak akan berani melibatkan diri dalam gejala-gejala tidak sihat yang lazimnya berlaku seperti rasuah, pecah amanah, konspirasi, pentingkan diri sendiri dan sebagainya.

Maka sebab itulah, bermula di alam pengajian lagi kita perlu memperlengkapkan diri dengan nilai-nilai rohani dan jasmani selain memenuhi tuntutan akademik yang sedia ada. Peluang yang ada sewaktu belajar perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar setiap masa dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk sahsiah dan penampilan diri. Mudah-mudahan ianya bukan setakat menjadi penambah nilai kepada kerjaya yang akan diceburi tapi juga menjadi penyeri sepanjang kehidupan.

Maksud firman Allah SWT : “…dan baikilah segala usaha dan perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah : 195)