Wednesday, August 6, 2003

Agama Allah - Hanya manusia mampu memikulnya

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 6 Ogos 2003)

KEISTIMEWAAN manusia berbanding makhluk-makhluk lain dapat dilihat daripada sifat-sifat khusus yang dianugerahkan Allah kepadanya. Sifat-sifat khusus itulah yang membolehkannya memikul amanah Allah yang tidak terpikul oleh makhluk-makhluk lain. Meskipun mempunyai rupa fizikal yang lebih besar dan gagah, namun makhluk-makhluk selain manusia ini tidak mempunyai kesanggupan untuk menerima, seterusnya melaksanakan amanah yang bakal diberikan kepada mereka.

Makhluk-makhluk seperti langit, matahari, bintang, bukit-bukau dan gunung-ganang sememangnya kelihatan lebih gagah berbanding diri manusia yang amat kerdil dan lemah. Namun demikian, kesemua makhluk Allah itu hanyalah besar pada bentuknya sahaja tetapi kecil pada keupayaan dan kemampuan untuk menjadi makhluk Allah yang terbaik bagi menanggung amanah-Nya.

Ini terbukti ketika Allah s.w.t. menawarkan amanah tersebut kepada sekalian makhluk-Nya yang besar dan gagah untuk dilaksanakan tetapi ditolak mentah-mentah kerana tidak sanggup menerimanya. Tiba-tiba sejenis makhluk yang bernama manusia sanggup menerima dan menanggung amanah itu.

Peristiwa bersejarah tersebut telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti mana firman-Nya yang bermaksud: ``Sesungguhnya Kami telah membentangkan tanggungjawab amanah Kami kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya: (ingatlah!) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.'' (Al-Ahzab : 72)

Apakah amanah yang telah ditolak oleh langit, bumi dan gunung-ganang itu? Seberat manakah tanggungjawab yang hendak diberikan oleh Allah sehingga menakutkan makhluk-makhluk yang gagah dan kuat itu, dan tiba-tiba manusia dengan segala kelemahannya sanggup pula menerima amanah itu dengan senang hati?

Adam a.s. sebagai manusia pertama yang dijadikan oleh Allah s.w.t. telah menyanggupi amanah Allah tersebut. Ini dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud: ``Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang Khalifah di muka bumi.'' (Al-Baqarah : 30) Manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi berkewajipan menanggung dan melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. itu. Menurut tafsiran ulamak, amanah itu ialah kewajipan melaksanakan tugas terhadap agama Allah (agama Islam) yang diberikan kepada manusia.

Dinul-Islam atau agama Allah merupakan satu amanah yang telah dikemukakan kepada sekalian makhluk selain manusia untuk menerima dan melaksanakannya sebagaimana dikehendaki oleh Allah s.w.t. Namun begitu, semua makhluk yang berkenaan telah menolaknya kerana mengetahui betapa beratnya amanah tersebut untuk dipikul. Akan tetapi, makhluk yang bernama manusia sanggup pula menerimanya dan oleh sebab itulah Allah mengutuskan para nabi dan rasul dari kalangan manusia sendiri untuk menyampaikannya dan kemudiannya disambung oleh generasi-generasi selepas mereka.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: ``Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah!) misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.'' (Al-Hasyr : 21)

Apabila wahyu-wahyu Allah yang merupakan suruhan dan larangan agama-Nya diturunkan kepada manusia, maka segenap manusia (dari kalangan para rasul) yang ditugaskan untuk menerima wahyu itu dapat menerimanya dengan baik. Bukan sahaja Nabi Muhammad s.a.w., bahkan para rasul daripada Nabi Adam a.s. hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. telah menerima dan melaksanakan amanah untuk menegakkan agama Allah. Ini diceritakan oleh Allah s.w.t. menerusi firman-Nya yang bermaksud :

``Tuhan telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang tetap hukumnya perkara yang Dia perintahkan kepada Nabi Nuh dan juga yang telah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkannya kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.'' (As-Syura : 13)

Perlu difahami, agama Allah merupakan satu amanah daripada Allah s.w.t. Pengurniaan amanah tersebut bukan sekadar dimanfaatkan untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga, masyarakat dan negara. Tanggungjawab melaksanakan amanah ini berterusan selagi kita hidup di dunia ini.

Diceritakan, ketika Nabi Adam hampir meninggal dunia, dia ingin melepaskan amanah yang ditanggungnya kepada makhluk seluruhnya untuk diteruskan. Namun demikian, tiada sesiapa pun daripada makhluk-makhluk Allah itu yang sanggup menerima amanah tersebut kecuali anak-anaknya. Anak-anak yang dimaksudkan di sini ialah keturunannya termasuklah kita. Maka di bahu kitalah tertanggung amanah Allah yang amat berat itu. Cuba kita fikirkan. Apakah akibatnya kalau amanah itu tidak ditunaikan? Apakah bentuk balasan yang bakal diterima bagi orang yang berjaya mahu pun yang gagal melaksanakannya sewaktu hidup di dunia?

Bagi menyelesaikan persoalan-persoalan tersebut, tidak dapat tidak sebagai Muslim kita perlu memantapkan keimanan kita kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala suruhannya dan pada waktu yang sama meninggalkan segala perbuatan yang dilarangnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : ``(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (turutlah terus) `agama Allah' iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya lagi) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.'' (Ar-Rum : 30)

Iman merupakan roh bagi Islam dan amal ibadat itu merupakan jasad baginya. Ibadat juga bolehlah diibaratkan sebagai sendi-sendi utama untuk membangunkan Islam. Itulah tanggungjawab untuk menunaikan amanah besar yang disebutkan tadi, iaitu amanah untuk menegakkan agama Allah s.w.t. Dengan tertegaknya agama, maka tertegaklah akhlak Islam yang berdiri di atas nilai-nilai yang ditetapkan oleh Allah. Akhlak Islam adalah akhlak yang paling mulia dan sempurna untuk menjamin kestabilan hidup manusia seluruhnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : ``Iman itu tidaklah (cukup) dengan berangan-angan dan berkata-kata sahaja, akan tetapi mestilah dengan keyakinan yang bulat di hati dan diikuti dengan amalan-amalan yang sesuai dengan iman itu.''

Perlu ditegaskan, agama tidak akan dapat ditegakkan jika kita hanya setakat menunaikan kewajipan yang berbentuk fardu ain semata-mata. Di samping menunaikan kewajipan-kewajipan fardu ain, kewajipan fardu kifayah juga perlu turut diberi perhatian. Ini kerana, pelaksanaan fardu kifayah amat besar peranannya untuk kecemerlangan Islam dan umatnya. Di antaranya, memajukan ekonomi umat Islam, mendirikan gedung-gedung perniagaan dan perusahaan yang diusahakan oleh orang-orang Islam, membangun institusi-institusi pengajian yang mengeluarkan orang-orang Islam yang beriman dan beramal soleh serta keperluan-keperluan lain yang bersangkutan dengan orang Islam seluruhnya. Ini kerana, pengabaian kesemua perkara yang berkaitan dengan fardu kifayah tersebut akan menyebabkan kita semua menanggung dosanya.

Demikianlah betapa pentingnya bagi kita untuk menunaikan amanah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. ke atas kita. Justeru, amat perlu untuk memastikan iman sentiasa terpahat kukuh dalam diri kita di samping melaksanakan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh. Apabila iman telah bertapak dan subur dalam diri, maka terpandulah manusia berdasarkan implikasi iman yang terpancar melalui petunjuk-petunjuk Allah. Manusia yang beriman sentiasa mencari petunjuk-petunjuk itu dengan penuh keyakinan bahawa hanya petunjuk Allah sahaja yang akan dapat menyelamatkan dirinya, masyarakat dan negaranya daripada sebarang ancaman dan kecelakaan.