Friday, September 30, 2005

Memastikan iman dalam kewajipan memikul amanah

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 30 September 2005)

KEISTIMEWAAN manusia berbanding makhluk-makhluk lain dapat dilihat daripada sifat-sifat khusus yang dianugerahkan Allah kepadanya. Sifat-sifat khusus itulah yang membolehkannya memikul amanah Allah yang tidak terpikul oleh makhluk-makhluk lain.

Perlu difahami, agama Allah merupakan satu amanah dari Allah s.w.t. Pengurniaan amanah tersebut bukan sekadar dimanfaatkan untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga, masyarakat dan negara. Tanggungjawab melaksanakan amanah ini berterusan selagi mana kita hidup di dunia ini.

Diceritakan, ketika Nabi Adam hampir meninggal dunia, dia ingin melepaskan amanah yang di-tanggungnya kepada makhluk seluruhnya untuk diteruskan. Namun demikian, tiada sesiapa pun daripada makhluk-makhluk Allah itu yang sanggup menerima amanah tersebut kecuali anak-anaknya. Anak-anak yang dimaksudkan di sini ialah keturunannya termasuklah kita.

Maka di bahu kitalah tertanggung amanah Allah yang amat berat itu. Cuba kita fikirkan. Apa akibatnya kalau amanah itu tidak ditunaikan? Apakah bentuk balasan yang bakal diterima bagi orang yang berjaya mahupun yang gagal melaksanakannya sewaktu hidup di dunia?

Bagi menyelesaikan persoalan-persoalan tersebut, tidak dapat tidak sebagai orang Islam, kita perlu memantapkan keimanan kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala suruhannya dan pada waktu yang sama meninggalkan segala perbuatan yang dilarangnya.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ``Agama Allah'' iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya lagi) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu, itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah al-Rum : 30)

Iman merupakan roh bagi Islam dan amal ibadat itu merupakan jasad baginya. Ibadat juga boleh diibaratkan sebagai sendi-sendi utama untuk membangunkan Islam. Itulah tanggungjawab untuk menunaikan amanah besar iaitu amanah untuk menegakkan agama Allah s.w.t.

Dengan tertegaknya agama, maka tertegaklah akhlak Islam yang berdiri di atas nilai-nilai yang ditetapkan oleh Allah. Akhlak Islam adalah akhlak yang paling mulia dan sempurna untuk menjamin kestabilan hidup manusia seluruhnya.

Perlu ditegaskan, agama tidak akan dapat ditegakkan jika kita hanya setakat menunaikan kewajipan yang berbentuk fardu ain semata-mata. Di samping menunaikan kewajipan-kewajipan fardu ain, kewajipan fardu kifayah juga perlu turut diberi perhatian. Ini kerana, pelaksanaan fardu kifayah amat besar peranannya untuk kecemerlangan Islam dan umatnya.

Antaranya, memajukan ekonomi umat Islam, mendirikan gedung-gedung perniagaan dan perusahaan yang diusahakan oleh orang Islam, membangun institusi-institusi pengajian yang mengeluarkan orang Islam yang beriman dan beramal soleh serta keperluan-keperluan lain yang bersangkutan dengan orang Islam seluruhnya. Ini kerana, pengabaian kesemua perkara yang berkaitan dengan fardu kifayah akan menyebabkan kita semua menanggung dosanya.

Demikianlah betapa pentingnya bagi kita menunaikan amanah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Justeru, amat perlu untuk memastikan iman sentiasa terpahat kukuh dalam diri kita di samping melaksanakan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh. Apabila iman telah bertapak dan subur dalam diri, maka terpandulah manusia berdasarkan implikasi iman yang terpancar melalui petunjuk-petunjuk Allah.

Manusia yang beriman sentiasa mencari petunjuk-petunjuk itu dengan penuh keyakinan bahawa hanya petunjuk Allah sahaja yang akan dapat menyelamatkan dirinya, masyarakat dan negaranya daripada sebarang ancaman dan kecelakaan.

Tuesday, August 2, 2005

Tiga peringkat tawakal utamakan ikhtiar insan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 2 Ogos 2005)

TAWAKAL adalah sikap seorang Muslim yang benar-benar menyerah diri kepada keagungan dan kekuasaan Allah yang Maha Esa. Secara umumnya, sikap tawakal akan menjuruskan seorang mukmin kepada menghayati fitrah kejadiannya sebagai makhluk ciptaan Allah yang sentiasa mempunyai kelemahan dan kekurangan. Ia dapat mengelakkan kita daripada bersikap sombong dan ego dalam tindak tanduk dalam kehidupan.

Seseorang yang memahami konsep tawakal tidak akan mudah berputus asa andainya menemui kesukaran dalam kehidupan.

Mereka, malah menganggapnya sebagai satu proses dalam mencari keredhan Allah. Seterusnya, akan menerbitkan rasa syukur jika usaha yang dilakukan itu berjaya. Sebaliknya, menerima dengan penuh sabar andainya usahanya itu menemui kegagalan.

Menurut Dr Yusuf Al-Qardhawi, tawakal adalah antara ibadah hati paling utama dan salah satu daripada bermacam akhlak iman yang agung. Imam al-Ghazali pula membahagikan tawakal ini kepada tiga peringkat iaitu:

Dalam ketiga-tiga peringkat tawakal itu, jelas bahawa antara ciri orang yang bertawakal adalah tidak meminta-minta dan tidak pula menolak pemberian serta menerima segala ketentuan Allah ke atasnya.

Sesungguhnya, perlu difahami bahawa sifat tawakal tidak sama sekali menyuruh kita agar menyerahkan sesuatu perkara bulat-bulat kepada Allah. Andainya benar sedemikian, mengapa Allah mengurniakan nikmat akal kepada kita yang seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengutamakan ikhtiar sebelum bertawakal kepada Allah sepenuhnya. Ia disandarkan kepada satu peristiwa pada zaman Nabi iaitu seorang sahabat menemui Baginda. Kemudian Nabi bertanya: "Dengan apakah kamu ke sini?"

Sahabat itu menjawab: "Saya ke sini dengan menaiki unta."

Lantas Nabi bertanya: "Di mana unta kamu sekarang?"

Sahabat itu menjawab: "Saya letakkan di luar tanpa mengikatnya kerana saya berserah (tawakal) kepada Allah."

Kemudian Nabi menegurnya dengan berkata: "Ikatlah unta kamu itu kemudian barulah bertawakal."

Pengajaran daripada peristiwa itu adalah tawakal perlu didahului oleh usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh. Hakikat itu sama seperti kita meninggalkan rumah atau kenderaan tanpa menguncinya dengan betul.

Ia tentu mengundang perompak atau pencuri yang sememangnya menantikan peluang sedemikian.

Tawakal tidak harus menjadi alasan bagi kita untuk sengaja membiarkan harta benda terdedah kepada ancaman, tanpa ada usaha untuk melindunginya daripada dicuri.

Sikap tawakal amat dianjurkan oleh ajaran Islam supaya dihayati oleh seluruh umatnya.

Info: Tiga peringkat tawakal

• Tawakal peringkat pertama iaitu seperti orang yang menyerahkan urusannya kepada orang yang mewakilinya.
• Tawakal peringkat kedua iaitu seperti seorang anak yang mempercayakan dirinya kepada orang tua.
• Tawakal peringkat ketiga iaitu seperti seseorang yang menganggap dirinya sebagai mayat hingga dia menyerahkan urusan dirinya kepada orang yang masih hidup.

Saturday, July 23, 2005

Aura Remaja : Rasulullah, Ummul Mukminin wajar jadi idola terbaik remaja

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 23 Julai 2005)

ANDAI ditanya kepada remaja siapakah idola mereka, tentu ramai jawapannya berbeza mengikut minat dan impian masing-masing. Bagi yang menyukai bidang hiburan, tentu memilih penyanyi atau pelakon sebagai idola mereka. Bagi yang meminati sukan pula, bintang sukan yang hebat dan ternama menjadi pilihan. Begitu juga jika mereka meminati bidang lain.

Memilih seseorang yang baik sebagai idola tidak menjadi kesalahan, malah digalakkan sebagai inspirasi dan motivasi dalam mencapai impian dan cita-cita seseorang. Namun, bagaimana pula jika idola yang dipilih itu amat rendah dari segi akhlak dan moralnya? Tambahan pula, hari ini sumber bacaan, terutama majalah sering memaparkan gelagat, bentuk tubuh, aksi, kisah peribadi dan sebagainya mengenai selebriti popular yang menjadi kegilaan remaja.

Apabila menjadi idola, segala cerita peribadinya akan diingati dan dibawa ke mana-mana. Dengan rasa bangga, mereka mencanangkan pula kepada rakan sebaya mengenai apa yang diketahui mengenai idola itu, hinggakan perkara bersifat peribadi pun turut dihafal dan diingati.

Sesekali difikirkan, itulah agaknya pilihan terbaik remaja masa kini. Itulah idola pujaan hidup mereka yang mesti dicontohi dalam melengkapkan diri sebagai remaja Islam era siber ini.

Dunia remaja sebegitu akan kita dapati di akhbar dan media elektronik. Dunia keremajaan seperti ini dirasakan penuh dengan keseronokan, kegilaan, riuh rendah dan seolah-olah dunia ini berada dalam genggaman mereka.

Amat jarang kita mendengar remaja kini menjadikan tokoh pejuang, sarjana, cendekiawan, ulama, pengarang atau mujahid Islam zaman Rasulullah SAW sebagai idola mereka. Seterusnya, meniru dan mengamalkan segala sifat dan peribadi mulia mereka.

Dalam al-Quran dan sejarah Islam, banyak tokoh Islam yang boleh dicontohi. Umpamanya, keperibadian Nabi Muhammad. Allah sendiri mengakui bahawa pada diri Baginda banyak teladan baik untuk diikuti. Antaranya sifat amanah, benar, bijaksana, bersopan-santun, berbudi bahasa, cerdik, lemah-lembut, menjauhi persengketaan dan suka menolong orang lain.

Begitu juga dengan pakaian dan rambut Baginda sentiasa bersih dan kemas. Baginda juga diberi gelaran al-Amin yang bermaksud boleh dipercayai.

Jelaslah, pada usia remaja Baginda, Rasulullah wajar dijadikan model kepada seluruh umat Islam, malah umat manusia sejagat sama ada dari sudut akhlak, muamalah mahupun sahsiah. Sesungguhnya, Allah menjadikan model akhlak, peri laku, perbuatan, perkataan dan keperibadian Baginda semata-mata agar umatnya mengikut dan meniru cara serta gaya Nabi Muhammad yang dikenali sebagai sunnah.

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu ada contoh teladan yang amat baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak sewaktu susah dan senang." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Begitu juga dengan sahabat dan tokoh Islam seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman Bin Affan, Saidina Ali Bin Abi Talib, Salman al-Farisi, Salahuddin al-Ayyubi dan Abu Ayyub al-Ansari yang sememangnya wajar dicontohi oleh remaja Muslim.

Mereka boleh dijadikan contoh pemuda dalam Islam yang mempunyai keperibadian kuat, setia kepada kawan dan beriman kepada kerasulan Nabi Muhammad sehingga dimuliakan dan menjadi kebanggaan umat Islam.

Bagi remaja perempuan, alangkah bagusnya menjadikan Siti Khadijah Binti Khuwailid, Maryam Binti Imran, Saidatina Fatimah, Aisyah, Nusaibah dan ramai lagi wanita-wanita salihah yang mempunyai perwatakan, budi pekerti, tabah, cekal dan sebagainya yang boleh dijadikan idola atau role model dalam hidup.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara: masa engkau hidup sebelum mati, masa engkau sihat sebelum sakit, masa engkau lapang sebelum sibuk, masa engkau muda sebelum tua dan masa engkau kaya sebelum miskin."

Hadis itu menjelaskan pentingnya umat Islam merebut lima perkara yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah iaitu masa hidup, sihat, lapang, muda dan senang atau kaya sebelum datangnya lima perkara yang lain iaitu masa mati, sakit, sibuk, tua dan miskin atau ditimpa kesusahan. Apa yang menarik perhatian dalam hadis itu adalah masa muda.

Ia menunjuk dan membuktikan betapa tingginya pandangan Rasulullah terhadap kedudukan remaja. Hal ini dapat difahami bahawa kedudukan remaja dalam sejarah kehidupan manusia termasuk suatu perkara yang tidak boleh diabaikan.

Remaja adalah generasi harapan dalam membangunkan umat. Mereka yang akan mengambil alih tugas generasi tua untuk memimpin bangsa dan umat pada masa akan datang. Peranan orang muda penting dalam kehidupan masyarakat kerana watak dan buah fikiran mereka amat diperlukan untuk membangunkan sesebuah negara.

Kemajuan sesebuah negara memerlukan remaja yang cergas dan berpendidikan. Remaja perlu memikirkan secara rasional apakah ertinya hidup. Adakah sekadar untuk hidup di dunia saja, tanpa memikirkan kehidupan di akhirat? Perlu disedari, era moden dengan pelbagai kecanggihan hari ini menjadi medan baru bagi musuh Islam untuk menyerapkan doktrin dan pengaruh buruk mereka ke dalam jiwa remaja.

Hiburan yang dicorakkan mereka adalah alternatif mencapai cita-cita itu. Maka, lahirlah personaliti dengan rupa wajah yang pelbagai bentuk dari pelbagai sudut, seksi, tampan, gagah, kacak, berpeluk-pelukan dengan pasangan bukan muhrim. Begitu juga pelbagai lagi gelagat yang bercanggah dengan nilai murni agama dan budaya bangsa.

Justeru, penting bagi remaja Islam supaya berusaha membentuk keperibadian berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika ini dilakukan oleh remaja, nescaya akan wujud insan generasi alaf baru yang mempunyai peribadi yang seiring dengan kehendak agama, bangsa dan negara.

Remaja perlu bijak mengendalikan program hidup, di samping selalu memohon kepada Allah melalui doa atau sembahyang supaya ditunjukkan jalan yang benar dan lurus, jauh daripada terpesong ke jalan yang dibentang oleh musuh-musuh Islam.

Firman Allah bermaksud: “Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk." (Surah al-Kahfi, ayat 13)

Saturday, July 16, 2005

Aura Remaja : Membaca al-Quran tenangkan hati gelisah

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 16 Julai 2005)

ULAMA memberikan kesimpulan berikut sebagai asas utama terhadap kepentingan membaca al-Quran.

Pertama, wahyu pertama yang diturunkan adalah suruhan membaca (Bacalah...). Kedua, banyak ayat dalam al-Quran yang menyarankan umat Islam supaya membaca.

Ketiga, gesaan al-Quran kepada kita agar memerhati dengan bersungguh-sungguh terhadap isi kandungannya. Keempat, peringatan al-Quran bahawa sesiapa yang meninggalkan kitab suci itu bererti memusuhi Rasulullah SAW dan Islam seluruhnya.

Soal tidak tahu membaca bukan alasan untuk remaja mengabaikan pembacaan al-Quran. Hal ini kerana, kewajipan belajar sentiasa menjadi tuntutan selagi masih hidup.

Justeru, peluang masa muda, perlu digunakan untuk mempelajari al-Quran sama ada melalui guru, kelas atau sebagainya. Kalau kita sanggup berhabis wang untuk perkara lain dalam kehidupan, mengapa berkira dalam soal pembelajaran al-Quran dan fardu ain.

Ramai ibu bapa menangis jika anak mereka gagal dalam peperiksaan atau tidak dapat masuk ke institusi pengajian tinggi. Tetapi berapa ramai yang menangis andainya anak mereka tidak tahu membaca al-Quran. Itu belum lagi mengambil kira soal fardu ain lain seperti solat dan puasa.

Remaja Muslim perlu yakin bahawa membaca al-Quran saja sudah termasuk amalan yang sangat mulia dan akan mendapat pahala berlipat kali ganda jika melaksanakannya. Hal ini kerana ayat yang dibaca adalah kata-kata Allah. Ia juga amalan baik bagi seorang mukmin dalam apa juga keadaan.

Membaca al-Quran bukan saja menjadi ibadah, malah ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.

Diriwayatkan, pada suatu ketika datang seseorang kepada sahabat bernama Ibnu Mas'ud meminta nasihat. Katanya: "Wahai Ibnu Mas'ud, berilah nasihat yang dapat aku jadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini, aku tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; makan tidak enak, tidur tidak nyenyak."

Maka Ibnu Mas'ud berkata: "Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya; atau engkau pergi ke pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah; atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau bersunyi-sunyi menyembah Allah, umpama pada waktu tengah malam buta, pada saat orang sedang nyenyak tidur, engkau bangun mengerjakan solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati.

“Seandainya jiwamu belum juga terubat dengan cara ini, engkau minta kepada Allah agar diberi-Nya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu bukan lagi hatimu."

Setelah orang itu kembali ke rumahnya, diamalkannya nasihat Ibnu Mas'ud itu. Dia pergi mengambil wuduk dan kemudian diambilnya al-Quran, terus dibaca dengan hati khusyuk.

Selesai membaca al-Quran, berubahlah kembali jiwanya, menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang, kegelisahannya hilang sama sekali.

Saturday, July 9, 2005

Aura Remaja : Didikan agama sempurna bentuk peribadi mulia

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 9 Julai 2005)

REMAJA Muslim memerlukan kemahiran pengendalian diri. Hal ini kerana disebabkan mereka belum mempunyai pengalaman yang cukup untuk memastikan diri benar-benar berada pada landasan yang benar.

Zaman keremajaan banyak menyentuh perasaan seseorang remaja hingga menimbulkan jiwa sensitif dan peka terhadap diri dan persekitarannya. Perkembangan ini ditunjukkan dengan cepatnya pertumbuhan fizikal dan seksual. Akibatnya, timbul pergolakan dalam diri remaja, khususnya dalam memahami hubungan antara berlainan jantina.

Remaja yang berasakan fizikalnya seperti orang dewasa hingga bersikap seperti orang dewasa untuk menutup keadaan dirinya yang sebenar, harus memahami bahawa anggapannya itu hanya imaginasi atau peniruan.

Justeru, remaja harus bijak mengendalikan diri dalam menghadapi dunia yang penuh dengan godaan dan dugaan ini. Hindari daripada hanya mengikut kehendak hati, tetapi gunakan fikiran agar setiap keputusan yang diambil benar-benar mengikut cita rasa ibu bapa, masyarakat dan agama.

Al-Quran mengemukakan penjelasan bahawa manusia daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Rohani dianggap sebagai teras dan pemandu, manakala jasmani sebagai kenderaan dalam melayari kehidupan di dunia ini. Inilah identiti keinsanan yang dijelaskan al-Quran.

Namun, apa yang berlaku adalah berlakunya pemisahan dua unsur itu dalam kehidupan remaja hari ini. Lebih parah berlakunya penyelewengan terhadap fungsi bagi kedua-dua unsur itu dengan menjadikan unsur jasmani sebagai alat utama dalam menjalani hidup di dunia. Akibatnya, kehidupan remaja mengalami pelbagai gejala yang buruk dan timbul krisis sosial yang hebat.

Justeru, tumpuan harus diberikan kepada pembinaan rohani remaja yang meliputi asas didikan agama yang sempurna.

Kehidupan Rasulullah yang berasaskan tarbiah Islam menjadikan kehidupan Baginda sebagai ibadat dan pengabdian diri kepada Allah. Keadaan ini membawa erti bahawa nilai akhlak, peribadi, sikap, tindakan, percakapan dan wawasan hidup Baginda berasaskan nilai Islam. Ia sesuai dengan kedudukan Baginda sebagai kekasih Allah.

Jelas, ketinggian peribadi Islam ini membawa perjalanan hidup yang positif. Oleh sebab itu, Rasulullah adalah teladan yang abadi sepanjang zaman dan generasi manusia.

Setiap manusia akan melalui proses pembelajaran dalam kehidupannya. Proses pembelajaran ini akan membentuk personaliti manusia. Menurut Imam al-Ghazali, personaliti manusia berasaskan sifat kerohanian dan kejiwaan.

Jiwa remaja mengandungi unsur seperti hati, roh, nafsu dan akal yang mempengaruhi pemikiran mereka. Akal secara fizikal adalah otak dan dari sudut kerohaniannya mempunyai kemampuan untuk menyerap ilmu melalui organ deria dan menjalani proses pembelajaran.

Akal juga unsur istimewa dalam tubuh remaja. Unsur penting dalam akal ialah ia mempunyai daya kekuatan untuk menganalisis sesuatu perkara dan menghasilkan persepsi, sama ada ia suatu kebaikan atau keburukan. Manusia yang tidak berakal akan rosak personalitinya seperti orang gila.

Sabda Rasulullah bermaksud : “Tidak adalah usaha seseorang seperti keutamaan akal yang memberi petunjuk kepada tuannya itu dan mengelakkan dari jalan yang hina. Tidak sempurnalah iman seseorang dan tidak berdiri tegak agamanya sebelum akalnya itu sempurna."

Akal berfungsi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati yang boleh mempengaruhi atau menyucikan dan menghampirkannya kepada Allah.

Menurut Imam al-Ghazali, jasad dihubungkan dengan roh melalui hati. Hati menjadi sumber kerohanian yang terpancar untuk seluruh diri manusia.

Saturday, July 2, 2005

Aura Remaja : Akhlak kukuh benteng hadapi ujian kehidupan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 2 Julai 2005)

PEMBENTUKAN personaliti remaja adalah hasil interaksi faktor genetik dan persekitaran. Faktor genetik daripada ibu bapa. Faktor persekitaran pula daripada pengaruh rakan sebaya dan sistem sosial dalam masyarakat, corak didikan, asuhan agama dan gaya hidup.

Dalam konteks ini, didikan agama akan menentukan matlamat hidup dan nilai akhlak serta kepercayaan remaja. Keseimbangan beragama dengan mengisi kehidupan dengan kegiatan berfaedah hendaklah diamalkan oleh remaja demi kesejahteraan hidup mereka.

Kehidupan remaja Muslim hendaklah sentiasa berpandukan al-Quran dalam mencapai matlamat hidup.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Sesiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya dan hari kiamat, sesungguhnya orang itu sudah sesat sejauh-jauhnya. (Surah an-Nisa, ayat 136)

Sejarah kehidupan Rasulullah SAW, sahabat dan tabi'en hingga kurun ketiga Hijrah memperlihatkan bahawa mereka menjalani hidup berasaskan roh Islam. Ia bukan saja berjaya membentuk mereka menjadi 'insan rabbani', malah benteng kukuh dalam melayari hidup di dunia yang penuh dengan ujian.

Kehidupan Rasulullah baik ketika remaja atau selepas diangkat sebagai rasul memperlihatkan kepada umat manusia bahawa Baginda mempunyai akhlak dan keimanan tinggi. Ia membawanya ke kedudukan manusia teragung.

Pengiktirafan ini bukan saja dinilai oleh sahabat, bahkan diakui oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat terpuji.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Dalam konteks kehidupan yang semakin berubah hari ini, remaja Muslim perlu memiliki ciri keunggulan iaitu dari segi keperibadian, kemahiran, penguasaan ilmu dan pengetahuan agama. Perubahan dan evolusi kehidupan masa kini sebenarnya membuka ruang yang begitu luas kepada remaja untuk menentukan dan mencorakkan apa yang mereka inginkan.

Kemudahan teknologi masa kini menambah nilai sedemikian ke tahap di mana kawalan tidak lagi dapat dilakukan secara menyeluruh, terutama aspek negatif yang dibawa oleh kemajuan itu. Namun, remaja Muslim perlu menjadikan keadaan dan perubahan sedemikian bukan sebagai asas untuk mereka terjerumus ke lembah masalah sosial yang tidak mendatangkan faedah.

Maka, remaja perlu menjadikan asas agama, akhlak dan menghormati ibu bapa sebagai sesuatu yang wajib dipenuhi. Di samping itu, keindahan budi bahasa dan kesantunan masyarakat sangat sesuai dijadikan akaian dan amalan oleh Islam.

Budaya moden hari ini bukan semuanya tidak baik, tetapi biarlah bersesuaian dengan kehendak agama dan cara hidup kita. Jangan terlalu mudah untuk mengambil jalan pintas semata-mata mencari keseronokan segera yang hanya seketika.

Remaja harus memahami tujuan mereka dilahirkan di dunia ini dengan mempersiapkan diri sebagai khalifah Allah. Mereka perlu mempunyai tujuan dan kesungguhan sebagai insan yang taat dan kreatif.

Matlamat hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai ke dalam diri remaja jika mahu berjaya dan maju sebagai generasi unggul, cemerlang dan diberkati.

Friday, May 27, 2005

Bicara Jumaat: Ucapan salam perkukuh ikatan kasih sayang Muslim

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 27 Mei 2005)

ASSALAMUALAIKUM. Itulah yang sering kita ucap dan dengar apabila bertemu rakan, kenalan, anggota keluarga dan sebagainya. Tetapi tahukah kita apakah rahsia dan kelebihan di sebalik ucapan salam itu? Adakah ucapan itu sama dengan ucapan lain seperti ‘Selamat Pagi’, ’Good Morning’ dan ‘Hello’.

MASIH ada masyarakat Islam hari ini sering keliru, malah menganggap ucapan Assalamualaikum adalah sama dengan ucapan lain. Perlu disedari, ucapan ‘Assalamualaikum’ atau maksudnya ‘Salam sejahtera atas kamu’ adalah antara adab sosial dalam masyarakat Islam.

Pada pemahaman sebilangan besar masyarakat hari ini, ucapan salam bukan hanya menjadi tradisi yang berakar umbi dalam masyarakat, bahkan menjadi adat serta kadang kala berubah menurut suasana masyarakat dan peredaran masa.

Secara umumnya, ucapan salam ini berbeza daripada ucapan lain. Ia adalah satu ungkapan yang mempunyai peraturan tertentu dan disuruh oleh Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu agar kamu selalu beringat.” (Surah an-Nur, ayat 27)

Allah juga memerintahkan agar kita membalas salam yang diberi dengan ucapan yang sama atau lebih baik daripadanya. Maka, adalah wajib ke atas tiap-tiap orang yang mendengar ucapan salam itu untuk menjawabnya dengan ucapan salam juga.

Firman Allah bermaksud: “Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada penghuninya salam yang ditetapkan dari sisi Allah yang diberi berkat lagi baik.’ (Surah an-Nur, ayat 61)

Rasulullah secara bersungguh-sungguh menyeru kita supaya menyebarkan salam kepada sesiapa saja sama ada yang dikenali atau tidak. Daripada Abdullah Ibn Amru bin Ibn al-Ash, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: “Islam manakah yang paling baik?” Baginda menjawab : “Engkau memberi makan dan engkau memberi salam kepada sesiapa yang engkau kenali dan kepada sesiapa yang engkau tidak mengenalinya.” (Muttafaq Alaih)

Kelebihan dalam ucapan salam itu banyak, malah diberi penekanan serius oleh Rasulullah. Ucapan salam turut mempunyai pengaruh besar dalam menanamkan rasa cinta dan kasih sayang di jiwa manusia. Salam boleh mengukuhkan ikatan hati, meneguhkan ikatan kasih sayang, mengeratkan hubungan antara satu sama lain serta menghapuskan permusuhan antara sesama anggota masyarakat.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Demi diriku yang berada dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Tidak mahukah kamu kutunjukkan sesuatu yang apabila kamu membuatnya kamu akan berkasih sayang? (Iaitu) sebarkanlah salam di kalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah juga menjelaskan bahawa orang yang mendapat keutamaan di sisi Allah dan keredaan-Nya ialah orang yang memulakan salam kepada manusia lain. Hal ini seperti sabda Baginda bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang terutama di sisi Allah ialah orang yang memulakan salam sesama mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Ucapan salam yang dibiasakan dalam masyarakat Islam hanya mempunyai satu bentuk dan mesti menjadi amalan kepada setiap Muslim. Meskipun memberi salam itu sunat hukumnya, tetapi fadilatnya besar sehingga sesiapa yang mendengarnya wajib untuk menjawabnya.

Ucapan salam itu adalah “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh” (Salam sejahtera, rahmat Allah dan berkat-Nya ke atas kamu). Orang yang membalasnya (menjawabnya) pula hendaklah berkata: ’Waalaikum Mussalam Warahmatullahi Wabarakatuh” (Dan ke atasmu salam, rahmat Allah dan berkat-Nya).

Bentuk ucapan salam yang indah ini tidak boleh disamakan atau ditukar ganti dengan ungkapan lain yang menjadi budaya sesetengah golongan masyarakat hari ini. Hal ini kerana, ucapan salam memberikan pahala kepada sesiapa yang mengucapkannya, sedangkan ucapan lain sekadar ucapan pada bibir dan tidak lebih daripada itu.

Sesungguhnya, cara mengucapkan salam inilah yang dipilih oleh Allah untuk sekalian makhluk-Nya sejak Nabi Adam diciptakan. Allah mengajarkan salam itu kepada Adam, lalu disuruh beliau menghormati malaikat dengan ucapan itu. Disuruh seluruh keturunannya untuk berbuat demikian sepanjang masa.

Jelas, bahawa salam itu mengandungi pengertian yang disukai dan paling dicintai oleh manusia di segala tempat dan zaman.

Salam yang diucapkan itu juga mempunyai kaedahnya. Oleh itu, kita hendaklah mengucapkannya dengan baik dan bersopan.

Kaedah itu disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

“Orang yang berkenderaan mengucapkan salam kepada yang berjalan kaki dan yang berjalan kepada orang yang duduk dan yang sedikit mengucapkan kepada yang ramai." (Muttafaq alaih)

Memberi salam juga boleh diucapkan kepada sesiapa saja sama ada kepada lelaki atau wanita. Dalam satu hadis riwayat Muslim daripada Asma' Yazid, katanya, Rasulullah melalui masjid pada suatu hari di mana pada waktu itu ada sekumpulan wanita sedang duduk. Maka Rasulullah mengisyaratkan tangan Baginda sambil mengucapkan salam kepada mereka.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Ucapan salam yang mulia ini juga amat digalakkan untuk dibiasakan terhadap anak-anak kecil supaya mereka dilatih dari kecil untuk sentiasa mengucapkan salam.

Dalam satu riwayat daripada Anas bahawa Anas melalui (sekumpulan) anak-anak kecil, lalu beliau mengucapkan salam kepada mereka dan berkata : “Adalah Rasulullah melakukannya (mengucapkan salam kepada anak-anak).” (Muttafaq alaih)