Saturday, July 16, 2005

Aura Remaja : Membaca al-Quran tenangkan hati gelisah

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 16 Julai 2005)

ULAMA memberikan kesimpulan berikut sebagai asas utama terhadap kepentingan membaca al-Quran.

Pertama, wahyu pertama yang diturunkan adalah suruhan membaca (Bacalah...). Kedua, banyak ayat dalam al-Quran yang menyarankan umat Islam supaya membaca.

Ketiga, gesaan al-Quran kepada kita agar memerhati dengan bersungguh-sungguh terhadap isi kandungannya. Keempat, peringatan al-Quran bahawa sesiapa yang meninggalkan kitab suci itu bererti memusuhi Rasulullah SAW dan Islam seluruhnya.

Soal tidak tahu membaca bukan alasan untuk remaja mengabaikan pembacaan al-Quran. Hal ini kerana, kewajipan belajar sentiasa menjadi tuntutan selagi masih hidup.

Justeru, peluang masa muda, perlu digunakan untuk mempelajari al-Quran sama ada melalui guru, kelas atau sebagainya. Kalau kita sanggup berhabis wang untuk perkara lain dalam kehidupan, mengapa berkira dalam soal pembelajaran al-Quran dan fardu ain.

Ramai ibu bapa menangis jika anak mereka gagal dalam peperiksaan atau tidak dapat masuk ke institusi pengajian tinggi. Tetapi berapa ramai yang menangis andainya anak mereka tidak tahu membaca al-Quran. Itu belum lagi mengambil kira soal fardu ain lain seperti solat dan puasa.

Remaja Muslim perlu yakin bahawa membaca al-Quran saja sudah termasuk amalan yang sangat mulia dan akan mendapat pahala berlipat kali ganda jika melaksanakannya. Hal ini kerana ayat yang dibaca adalah kata-kata Allah. Ia juga amalan baik bagi seorang mukmin dalam apa juga keadaan.

Membaca al-Quran bukan saja menjadi ibadah, malah ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.

Diriwayatkan, pada suatu ketika datang seseorang kepada sahabat bernama Ibnu Mas'ud meminta nasihat. Katanya: "Wahai Ibnu Mas'ud, berilah nasihat yang dapat aku jadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini, aku tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut; makan tidak enak, tidur tidak nyenyak."

Maka Ibnu Mas'ud berkata: "Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya; atau engkau pergi ke pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah; atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau bersunyi-sunyi menyembah Allah, umpama pada waktu tengah malam buta, pada saat orang sedang nyenyak tidur, engkau bangun mengerjakan solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati.

“Seandainya jiwamu belum juga terubat dengan cara ini, engkau minta kepada Allah agar diberi-Nya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu bukan lagi hatimu."

Setelah orang itu kembali ke rumahnya, diamalkannya nasihat Ibnu Mas'ud itu. Dia pergi mengambil wuduk dan kemudian diambilnya al-Quran, terus dibaca dengan hati khusyuk.

Selesai membaca al-Quran, berubahlah kembali jiwanya, menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang, kegelisahannya hilang sama sekali.

No comments: