Saturday, July 9, 2005

Aura Remaja : Didikan agama sempurna bentuk peribadi mulia

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 9 Julai 2005)

REMAJA Muslim memerlukan kemahiran pengendalian diri. Hal ini kerana disebabkan mereka belum mempunyai pengalaman yang cukup untuk memastikan diri benar-benar berada pada landasan yang benar.

Zaman keremajaan banyak menyentuh perasaan seseorang remaja hingga menimbulkan jiwa sensitif dan peka terhadap diri dan persekitarannya. Perkembangan ini ditunjukkan dengan cepatnya pertumbuhan fizikal dan seksual. Akibatnya, timbul pergolakan dalam diri remaja, khususnya dalam memahami hubungan antara berlainan jantina.

Remaja yang berasakan fizikalnya seperti orang dewasa hingga bersikap seperti orang dewasa untuk menutup keadaan dirinya yang sebenar, harus memahami bahawa anggapannya itu hanya imaginasi atau peniruan.

Justeru, remaja harus bijak mengendalikan diri dalam menghadapi dunia yang penuh dengan godaan dan dugaan ini. Hindari daripada hanya mengikut kehendak hati, tetapi gunakan fikiran agar setiap keputusan yang diambil benar-benar mengikut cita rasa ibu bapa, masyarakat dan agama.

Al-Quran mengemukakan penjelasan bahawa manusia daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani. Rohani dianggap sebagai teras dan pemandu, manakala jasmani sebagai kenderaan dalam melayari kehidupan di dunia ini. Inilah identiti keinsanan yang dijelaskan al-Quran.

Namun, apa yang berlaku adalah berlakunya pemisahan dua unsur itu dalam kehidupan remaja hari ini. Lebih parah berlakunya penyelewengan terhadap fungsi bagi kedua-dua unsur itu dengan menjadikan unsur jasmani sebagai alat utama dalam menjalani hidup di dunia. Akibatnya, kehidupan remaja mengalami pelbagai gejala yang buruk dan timbul krisis sosial yang hebat.

Justeru, tumpuan harus diberikan kepada pembinaan rohani remaja yang meliputi asas didikan agama yang sempurna.

Kehidupan Rasulullah yang berasaskan tarbiah Islam menjadikan kehidupan Baginda sebagai ibadat dan pengabdian diri kepada Allah. Keadaan ini membawa erti bahawa nilai akhlak, peribadi, sikap, tindakan, percakapan dan wawasan hidup Baginda berasaskan nilai Islam. Ia sesuai dengan kedudukan Baginda sebagai kekasih Allah.

Jelas, ketinggian peribadi Islam ini membawa perjalanan hidup yang positif. Oleh sebab itu, Rasulullah adalah teladan yang abadi sepanjang zaman dan generasi manusia.

Setiap manusia akan melalui proses pembelajaran dalam kehidupannya. Proses pembelajaran ini akan membentuk personaliti manusia. Menurut Imam al-Ghazali, personaliti manusia berasaskan sifat kerohanian dan kejiwaan.

Jiwa remaja mengandungi unsur seperti hati, roh, nafsu dan akal yang mempengaruhi pemikiran mereka. Akal secara fizikal adalah otak dan dari sudut kerohaniannya mempunyai kemampuan untuk menyerap ilmu melalui organ deria dan menjalani proses pembelajaran.

Akal juga unsur istimewa dalam tubuh remaja. Unsur penting dalam akal ialah ia mempunyai daya kekuatan untuk menganalisis sesuatu perkara dan menghasilkan persepsi, sama ada ia suatu kebaikan atau keburukan. Manusia yang tidak berakal akan rosak personalitinya seperti orang gila.

Sabda Rasulullah bermaksud : “Tidak adalah usaha seseorang seperti keutamaan akal yang memberi petunjuk kepada tuannya itu dan mengelakkan dari jalan yang hina. Tidak sempurnalah iman seseorang dan tidak berdiri tegak agamanya sebelum akalnya itu sempurna."

Akal berfungsi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati yang boleh mempengaruhi atau menyucikan dan menghampirkannya kepada Allah.

Menurut Imam al-Ghazali, jasad dihubungkan dengan roh melalui hati. Hati menjadi sumber kerohanian yang terpancar untuk seluruh diri manusia.

No comments: