Friday, February 6, 2004

Dakwah tugas setiap Muslim

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 6 Februari 2004)

ADAKAH kita pendakwah? Itulah satu persoalan yang seringkali menimbulkan salah faham bagi sesetengah umat Islam hari ini. Apabila disebut tentang dakwah, yang terbayang pada fikiran kita ialah golongan-golongan yang berkopiah, berserban, bertudung litup atau berjubah. Sama ada kita sedar atau tidak, itulah gambaran yang diberikan oleh masyarakat terhadap golongan pendakwah. Secara asasnya, dakwah adalah tugas para rasul yang menjadi utusan Allah untuk menyeru dan membimbing seluruh manusia agar beriman kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat itu seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): ``Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut. (An-Nahl : 36)

Maka, para rasul (utusan) Allah adalah para pendakwah yang mengajak manusia kepada Allah. Mereka dipilih oleh Allah untuk memikul tugas dakwah dan menyampaikannya kepada manusia. Perlu difahami bahawa Nabi Muhammad s.a.w. merupakan nabi dan rasul terakhir yang diutuskan kepada umat manusia. Kewafatan baginda telah mewariskan satu amanah yang besar yang perlu dilaksanakan oleh seluruh umat Islam. Amanah tersebut adalah menyebarluaskan agama Allah ke seluruh pelosok alam atau berdakwah.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Usul Dakwah, sebenarnya semua ayat yang mengandungi suruhan untuk berdakwah turut ditujukan kepada umat Islam seluruhnya kerana pada dasarnya setiap perintah yang ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. turut merangkumi umat baginda, melainkan jika terdapat pengecualian pada ayat tersebut. Ini bermakna, Allah telah memberi penghormatan kepada umat Islam untuk berkongsi memikul tugas ini bersama Rasulullah s.a.w. Ini dinyatakan secara langsung melalui firman-Nya yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). (Ali-Imran : 110)

Ia bermakna, setiap orang Islam bertanggungjawab melaksanakan kewajipan ini tidak kira lelaki mahupun wanita. Tugas ini tidak dikhususkan kepada para ulama atau mereka yang digelar `orang agama' sahaja kerana kewajipan ini perlu dilaksanakan oleh seluruh umat Islam. Namun demikian, tugas dakwah bergantung kepada kemampuan dan kebijaksanaan kita serta boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Bagi mereka yang memiliki kuasa mungkin mempunyai kemampuan yang lebih untuk berdakwah. Manakala bagi orang biasa pula boleh dilaksanakan mengikut kemampuan dan kebolehannya.

Oleh sebab itu, Allah s.w.t. memberi amaran khusus kepada orang yang berilmu dan mengingatkan mereka supaya tidak menyembunyikan kebenaran yang mereka ketahui. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Al-Baqarah : 159-160)

Justeru, Allah mewajibkan orang-orang yang berilmu agar menyampaikan ajaran Islam yang mereka tahu kepada orang ramai. Mereka wajib menyebarkan apa yang mereka tahu kepada manusia supaya seluruh manusia terselamat daripada perbuatan mensyirikkan Allah s.w.t. Sesiapa yang mengetahui serba sedikit mengenai Islam bermakna dia mengetahui sesuatu dan perlu disampaikan kepada orang yang belum mengetahuinya. Setiap orang Islam mengetahui bahawa balasan hari akhirat adalah benar dan al-Quran adalah Kalam Allah. Dia juga turut mengakui bahawa solat, puasa, haji dan zakat diwajibkan oleh Islam. Oleh yang demikian, dia boleh menyampaikan apa yang dia tahu. Manakala perkara yang tidak diketahuinya tidak perlu disampaikan atau diajarkan kerana dia tidak mengetahuinya.

Dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah, tidak ada had masa yang ditentukan seperti mana ibadah solat atau puasa. Ini bermakna, tanggungjawab ini boleh dilaksanakan oleh seseorang Muslim pada bila-bila masa dan keadaan selagi dia berkesempatan melaksanakannya. Ini dapat dicontohi daripada amalan Rasulullah s.a.w. sendiri yang mengajak kaumnya siang dan malam, secara tersembunyi mahu pun terang-terangan dan tiada satu pun yang dapat menghalang baginda daripada melaksanakan tugas dakwah tersebut.

Hakikatnya, seorang pendakwah yang ikhlas akan memberikan sepenuh tumpuan terhadap dakwah, malah seluruh fikirannya akan tertumpu di sekitar dakwah. Setiap tindak tanduknya adalah untuk dakwah. Dia tidak pernah merasa bakhil untuk mengorbankan masa dan tenaganya untuk kemajuan dakwah. Tiada satu perkara pun yang dapat mengubah perhatiannya daripada perkara ini walaupun pada ketika yang amat genting dan dalam keadaan yang terdesak.

Satu contoh yang dapat kita ambil iktibar bersama ialah ketika Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan berhijrah ke Madinah bersama Abu Bakar as-Siddiq r.a., baginda telah menemui Buraidah bin al-Hasib al-Aslami yang ketika itu berada bersama kaumnya di pertengahan jalan antara Mekah dan Madinah. Baginda mengajak mereka kepada Islam dan mereka menerimanya. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah lupa untuk mengajak manusia kepada Islam walaupun ketika itu baginda dalam perjalanan berhijrah ke Madinah dan Quraisy sedang cuba menangkap baginda.

Tanggungjawab seorang Muslim ialah mengajak manusia supaya menyembah Allah dan bukan tanggungjawabnya untuk memberi hidayah kepada mereka. Ini bermakna, dia perlu berterusan melaksanakan dakwah tanpa merasa putus asa, jemu atau malas. Ini dapat dicontohi daripada sikap Nabi Nuh a.s. yang tidak jemu-jemu menyeru kaumnya supaya menyembah Allah selama lebih kurang 950 tahun, walaupun tidak ramai yang menyertainya.

Orang yang mengajak manusia kepada mengingati dan menyembah Allah s.w.t. sebenarnya hanya melaksanakan kewajipannya dan menunaikan ibadat sebagai tanda ketaatannya kepada Allah s.w.t. Ganjaran bagi ibadah yang dilakukan oleh seorang hamba akan diperolehi daripada limpah kurniaan Tuhan yang Maha Agung. Ini bermakna, pendakwah tidak sepatutnya menuntut ganjaran daripada mana-mana manusia sama ada dalam bentuk harta, pujian, pangkat atau apa jua bentuk ganjaran kebendaan. Ini dijelaskan oleh firman Allah s.w.t. mengenai Nabi Nuh a.s. yang bermaksud: Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah daripada Allah semata-mata (sama ada kamu beriman atau pun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi orang-orang Islam (yang berserah diri kepada Allah). (Yunus : 72)

Tidak dapat dinafikan, ucapan bagi mengajak manusia supaya menyembah Allah, lebih-lebih lagi ketika manusia menderhakai Allah, merupakan ucapan terbaik kerana orang yang mengucapnya semestinya seorang yang mempunyai keperibadian yang baik dan tunduk kepada Tuhan sekalian alam. Allah menjanjikan ganjaran yang istimewa kepada para pendakwah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Orang yang mengajak manusia kepada petunjuk Allah akan memperoleh ganjaran seperti mana ganjaran-ganjaran yang diperoleh orang-orang yang mengikutnya tidak kurang sedikit pun.