Thursday, July 10, 2003

Membaca al-Quran - Pelihara adab-adabnya

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 7 Julai 2003)

AL-QURAN sebagai mukjizat terbesar yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. perlu sentiasa dipelajari, dibaca dan dihayati oleh umat Islam.

Di sebalik penghayatan terhadap isi kandungannya, terdapat adab-adab yang harus dipatuhi sesuai dengan ketinggian dan kemuliaan al-Quran.

Oleh itu, setiap kali membaca kalam- kalam-Nya, adab-adab tersebut - walaupun bukan suatu yang wajib, perlu dititikberatkan agar dapat memberi kesan yang mendalam terhadap pengamalnya.

Antara adab-adab tersebut ialah:

1. Mengikhlaskan hati kerana Allah

Membaca al-Quran dengan hati yang tulus dan ikhlas merupakan syarat utama untuk membolehkan bacaan kita mendapat berkat seterusnya diterima di sisi Allah.

Amat besar kerugian bagi orang yang membacanya hanya untuk tujuan menunjuk-nunjuk atau kerana selain daripada Allah.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Dan seorang yang belajar dan mengajarkan ilmu serta membaca al-Quran didatangkan ia, disebutkan segala nikmat yang telah Allah berikan dan dia pun mengakuinya, lalu ditanya, apa yang telah engkau lakukan dengan ilmu itu?

``Jawabnya: ``Aku mengkaji dan mengajarkan ilmu serta aku bacakan di dalamnya al-Quran.

``Kata Allah, kau dusta! Engkau mempelajari ilmu agama agar orang menyebutmu sebagai orang alim dan kau membaca al-Quran agar manusia menyebutmu sebagai seorang qari dan engkau telah mendapatkan itu semua di dunia. Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk mengambil wajahnya serta memasukkannya ke neraka,'' (Riwayat Muslim, Tirmizi dan An-Nasa'i)

2. Dalam keadaan berwuduk:

Al-Quran yang terkandung di dalamnya ayat-ayat yang mulia perlulah dihormati dengan memastikan kita berwuduk terlebih dahulu sebelum memegang dan membacanya.

Hal ini ada dinyatakan dalam sebuah hadis iaitu dari Muhajir bin Qanfadz, dia berkata, ``Aku pergi menemui Rasulullah s.a.w. dan baginda ketika itu sedang berada di bilik air.

``Aku pun memberi salam kepada baginda tapi tidak dijawabnya hinggalah baginda berwuduk. Kemudian Rasulullah meminta maaf padaku dan berkata: ``Aku tidak suka menyebut nama Allah kecuali jika aku berada dalam keadaan suci.'' (Riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

3. Bersugi (membersihkan gigi) sebelum membaca al-Quran:

Bersugi atau menggosok gigi merupakan sunah Rasulullah yang harus diikuti. Selain mendapat ganjaran pahala dari Allah, ia juga dapat memelihara kesihatan setiap individu yang melakukannya.

4. Membacanya di tempat yang suci dan bersih:

Membaca al-Quran boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan bukan di tempat-tempat yang dilarang seperti di bilik air atau di tempat-tempat yang kotor.

Para ulama lebih suka membaca al-Quran di masjid kerana rumah Allah merupakan tempat yang bersih, mulia sekali gus dapat beriktikaf di dalamnya.

Namun tidak bermakna umat Islam tidak boleh atau tidak perlu membaca al-Quran di rumah. Malah setiap orang Islam diseru supaya mengimarahkan rumah masing-masing dengan membudayakan amalan membaca al-Quran.

Membudayakan pembacaan al-Quran di rumah dengan disertai oleh semua ahli keluarga bukan sahaja menambah keberkatan malah boleh mengeratkan hubungan silaturrahim antara sesama anggota keluarga.

5. Menghadap ke arah kiblat:

Menghadap ke arah kiblat bukanlah sesuatu yang wajib ketika membaca al-Quran sepertimana ketika menunaikan solat tetapi merupakan salah satu adab yang digalakkan.

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap ke arah kiblat.''

6. Membacanya dengan penuh khusyuk dan tadabbur:

Membaca al-Quran dengan penuh khusyu' dan tadabbur akan menjadikan hati kita berasa tenang dan lapang.

Ini kerana membaca al-Quran termasuk dalam zikir-zikir yang amat disukai oleh Allah.

Ketenangan ini akan lebih dirasai bagi orang yang dapat memahami ayat-ayat yang dibacanya.

Firman Allah yang bermaksud: ``Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka memerhatikan ayat-aya-Nya dan supaya mendapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai pemikiran.'' (Surah as-Shaad : 29)

Hadis-hadis Rasulullah juga banyak menyentuh tentang masalah ini antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: ``Manusia yang paling baik bacaannya adalah orang yang membacanya dan kamu melihatnya bahawa dia takut kepada Allah.'' (Riwayat al-Baihaqi)

7. Menangis ketika membacanya:

Menangis ketika membaca al-Quran sememangnya sesuatu yang sukar dilakukan lebih-lebih lagi bagi orang yang hanya membaca tanpa memahami isi kandungannya.

Perlu diketahui, menangis adalah perkara yang sangat disukai ketika membaca al-Quran terutama pada ayat-ayat yang menyentuh tentang peringatan dan amaran yang keras, ancaman, janji dan sumpah. Caranya ialah dengan menghadirkan hati dan memusatkan fikiran terhadap apa yang dibaca.

8. Membacanya dalam keadaan tartil:

Membaca dengan tartil bermaksud bacaan yang disempurnakan tajwid dan makhrajnya.

Allah berfirman yang bermaksud: ``Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil.'' (Surah al-Muzammil: 4)

9. Menghindarkan diri dari ketawa atau berbual-bual ketika membaca al-Quran:

Ada sesetengah orang masih boleh ketawa dan bergurau-gurau sedangkan dia sedang membaca al-Quran atau mendengar bacaan ayat-ayat suci.

Sebahagian besar umat Islam hari ini terlalu mengambil mudah akan perkara seperti ini, sedangkan ia adalah sebahagian daripada cara menghormati al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: ``Jika dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah dan diamlah agar kamu mendapat rahmat.'' (Surah al-A'raf: 204)

Ayat tersebut bermaksud, ketika dibacakan al-Quran, kita diwajibkan mendengar dan memperhatikan maksudnya sambil berdiam diri sama ada di dalam sembahyang mahupun di luar sembahyang.

Dalam riwayat Abu Daud dan Ibnu `Umar r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. jika membaca al-Quran, tidak akan bercakap-cakap atau berbuat sesuatu yang seumpamanya.

10. Membacanya dengan mengikut tertib surah:

Menurut para ulama, pembacaan al-Quran perlu dilakukan dengan tertib urutan surah iaitu memulakannya dengan membaca al-Fatihah, kemudian diikuti dengan surah al-Baqarah dan seterusnya surah-surah yang berikutnya sama ada di dalam solat atau pun di luar solat.

No comments: