Monday, November 6, 2006

Barakah Syawal : Tarbiah Ramadan wajar diamal sepanjang masa

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 6 November 2006)

BERLALUNYA Ramadan memberikan kita seribu satu pengajaran untuk direnungi bersama kerana hasil pentarbiahan Ramadan yang sempurna seharusnya menjadikan kita benar beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Segala amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadan lalu sewajarnya diteruskan pada bulan lain dan tidak hanya terhenti setakat itu saja.

Seorang muslim yang bijak akan menjadikan tarbiah Ramadan untuk menjadikan diri serta keluarganya muslim dan mukmin yang mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Banyak amalan atau perbuatan yang kita lakukan sepanjang Ramadan lalu wajar diteruskan walaupun mungkin berbeza dari segi ganjaran pahala yang kita dapat berbanding ganjaran dikurniakan Allah SWT pada Ramadan.

Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk kita terus meninggalkan amalan itu kerana amalan baik berterusan menjamin pahala dan rahmat Allah, malah menjadikannya sebagai kebiasaan untuk menghadapi Ramadan akan datang.

Antara amalan yang patut diteruskan adalah:

l)Berpuasa sunat

Setelah menjalani ibadat puasa selama sebulan, alangkah baiknya jika amalan itu diteruskan dengan berpuasa sunat pada bulan lain termasuk puasa enam hari pada Syawal, puasa hari 'Arafah, puasa hari 'Asyura, puasa setiap Isnin dan Khamis serta puasa pada bulan Islam yang turut dilakukan (sunnah) Rasulullah SAW.

Ini kerana, kenikmatan berpuasa akan dapat dirasai jika ia dijadikan amalan berterusan di samping menjadi kaedah terbaik untuk menjaga kesihatan.

Di samping itu, amalan berpuasa sunat boleh membabitkan ahli keluarga, rakan dan sebagainya. Dengan cara ini, kita bukan saja lebih bersemangat untuk berpuasa malah menjadi kesempatan terbaik merapatkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan melalui iftar (berbuka puasa) bersama.

2)Solat berjemaah

Solat adalah tiang agama dan dalam menunaikan kewajipan bersolat, umat Islam terutama lelaki diseru melaksanakannya secara berjemaah dan tuntutan ini menjadi fardu kifayah ke atas umat Islam.

Solat berjemaah boleh dilakukan bersama ahli keluarga di rumah dan lebih baik lagi jika dapat melaksanakannya di masjid atau surau.

Di samping ganjaran pahala yang besar berbanding solat bersendirian, solat berjemaah juga dapat mengeratkan ukhuwah.

3)Bertadarus al-Quran

Di sepanjang Ramadan, kita dapat melihat di mana saja umat Islam berusaha untuk khatam al-Quran sama ada secara bersendirian ataupun berkumpulan. Malah, penganjuran majlis khatam al-Quran turut menjadi aktiviti wajib bagi masjid dan surau.

Alangkah baiknya amalan itu menjadi budaya umat Islam yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan wajib harian sepertimana bahan bacaan lain seperti surat khabar, majalah, buku dan sebagainya.

Bagi ibu bapa pula, Ramadan lalu boleh menjadi permulaan kepada pembudayaan pembacaan al-Quran di kalangan ahli keluarga.

4)Membanyakkan bersedekah

Setiap umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah sebagai menyempurnakan ibadat puasa Ramadan dilakukan. Bertitik-tolak daripada amalan wajib itu, amalan sunat seperti menderma atau bersedekah seharusnya menjadi keutamaan dalam mengatur perbelanjaan harian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji dan Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah Al-Baqarah, ayat 261)

5)Bersifat sabar

Sebelum ini kita sentiasa bersabar dalam setiap perkara dilakukan semata-mata untuk tidak mencacatkan pahala puasa yang diperoleh. Kita diajar supaya bersabar untuk menahan lapar dan dahaga kira-kira dua belas jam sehari.

Kita juga disuruh bersabar dalam membendung kehendak nafsu yang lebih mengajak kepada kejahatan selain disaran supaya bersabar dalam mengawal emosi ketika berlaku sebarang ketegangan atau kemarahan sewaktu berpuasa.

Sifat sabar sebenarnya sifat Rasulullah SAW yang begitu tinggi nilainya dan tidak semua manusia dapat mewarisinya walaupun bagi orang yang tinggi keilmuannya. Justeru itulah Ramadan melatih menjadi penyabar dan perlu dijelmakan dalam diri setiap masa.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan Kami akan tunaikan kepada orang-orang yang sabar ganjaran untuk mereka yang lebih bagus daripada apa yang pernah mereka lakukan." (Surah An-Nahl, ayat 96)

6)Membiasakan qiamullail

Amalan bangun malam untuk bersolat tahajud dan beribadah amat digalakkan terutama di sepertiga malam. Jika pada Ramadan, kita dijanjikan fadilat lailatulqadar yang besar ganjarannya, maka selepas berlalunya Ramadan, kita juga dijanjikan rahmat dan pengampunan Allah bagi sesiapa yang melaksanakannya.

Amalan bangun di tengah malam sememangnya sukar dilakukan apatah lagi di tengah kedinginan dan saat orang lain enak dibuai mimpi. Maka di sinilah terletaknya kekuatan mengorbankan masa tidurnya semata-mata mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Pada waktu itu doa mudah dimakbulkan Allah SWT. Jika kita sanggup mengorbankan masa tidur untuk menonton perlawanan bola sepak, berbual dan sebagainya, mengapa tidak untuk beribadah kepada Allah SWT.

7)Berjimat-cermat dan menjauhkan pembaziran

Budaya berjimat-cermat adalah amalan baik dan perlu dilakukan di sepanjang kehidupan. Sikap suka berbelanja berlebihan terutama pada perkara bersifat kebendaan tidak digalakkan malah menjadi satu pembaziran.

Ini dapat dilihat setiap kali menjelangnya Syawal. Hampir kesemua kelengkapan rumah termasuk langsir, sofa, permaidani dan sebagainya ingin diganti dengan yang baru walaupun ia bukan satu keperluan.

Ini semata-mata bagi memenuhi kehendak nafsu yang meluap-luap. Sikap seperti ini bertentangan dengan roh sambutan hari raya dituntut Islam. Kita baru saja selesai menjalani ibadat Ramadan, tiba-tiba dirosakkan dengan sifat yang disukai syaitan.

No comments: