Monday, November 11, 2002

Memeriahkan Ramadan menurut sunah

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 11 November 2002)

BULAN Ramadan atau bulan puasa bagi umat Islam bukanlah sekadar salah satu bulan Hijrah dalam kalendar Islam semata-mata. Bulan Ramadan mempunyai makna dan keistimewaannya yang tersendiri yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.

Secara hakikatnya, Ramadan merupakan satu proses perpindahan daripada kehidupan materialistik yang penuh de-ngan pelbagai unsur keduniaan kepada alam ruhiyyah yang penuh dengan penyucian jiwa dan amalan-amalan rohaniah. Ramadan juga merupakan satu bulan yang penuh dengan amal ibadat yang mampu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t, bermula dengan membaca al-Quran, menahan nafsu dengan berpuasa, mendirikan solat malam (qiamullail), beriktikaf di masjid hinggalah kepada amal-amal ibadat yang lain. Semuanya terangkum dalam rangka merealisasikan inti pati ajaran dan hikmah puasa Ramadan iaitu agar seluruh umat Islam menjadi orang-orang yang bertakwa.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Surah Al-Baqarah : 183)

Selain itu, bulan Ramadan juga merupakan satu bulan tarbiyah atau latihan bagi meningkatkan kualiti peribadi seseorang Muslim. Ini dapat dilihat kepada asas utama puasa disyariatkan iaitu supaya umat Islam dapat meningkatkan nilai dirinya di sisi Allah s.w.t menerusi jalan takwa di samping melaksanakan amal ibadat lain sepanjang bulan Ramadan.

Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sepanjang bulan Ramadan sebagai panduan kepada umatnya adalah seperti berikut:

1. Melaksanakan ibadah puasa.

Rasulullah s.a.w. sebagai nabi dan rasul yang juga merupakan kekasih Allah tidak terkecuali daripada mengerjakan ibadah puasa. Amalan dan perbuatan Rasulullah ini menjadi contoh ikutan kepada umat-umatnya yang lain untuk sama-sama menunaikannya sebagai satu kewajipan.

2. Membaca dan menghayati al-Quran.

Antara kemuliaan bulan Ramadan adalah diturunkan padanya kitab suci al-Quran pada bulan tersebut. Menurut satu riwayat dari Imam Bukhari, pada bulan Ramadan, malaikat Jibril akan turun dan memperdengarkan bacaan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w.

Maka, tidak hairanlah jika kita dapati Rasulullah s.a.w sentiasa memperbanyakkan amalan membaca al-Quran pada bulan Ramadan berbanding pada bulan-bulan lain. Sesungguhnya, ramai di kalangan ulama yang berpendapat bahawa kegiatan utama umat Islam selain berpuasa ialah membaca al-Quran sama ada pada waktu siang hari mahupun di malam bulan Ramadan.

3. Mengerjakan solat tarawih.

Di samping amalan-amalan pada waktu siang hari, Rasulullah s.a.w tidak sama sekali meninggalkan ibadah sunat yang amat dituntut iaitu berqiamullail yang pada zaman sekarang lebih dikenali dengan solat tarawih. Ibadat itu dilaksanakan oleh Baginda s.a.w bersama para sahabatnya yang menjadi ikutan sekalian kaum muslimin pada waktu itu.

4. Beriktikaf di dalam masjid.

Di sepanjang bulan Ramadan, antara amalan sunat yang sering dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah beriktikaf iaitu duduk diam di dalam masjid dengan niat beribadat kepada Allah s.w.t. Menurut satu riwayat, Rasulullah s.a.w melakukan amalan iktikaf tersebut pada awal, pertengahan dan terutamanya pada 10 hari terakhir bulan Ramadan. Ibadat ini, walaupun nampak ringan, namun hakikatnya merupakan sesuatu yang berat untuk dilaksanakan malah sering diabaikan oleh kebanyakan umat Islam.

5. Memberi makan untuk orang berbuka dan bersedekah.

Salah satu amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan ialah menyediakan juadah berbuka kepada kaum muslimin yang berpuasa. Sabda Baginda s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud :

Sesiapa yang memberi makan kepada orang-orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut.

Amalan menyediakan makanan dan bersedekah pada bulan Ramadan bukan sekadar untuk keperluan berbuka semata-mata bahkan untuk segala bentuk amalan kebajikan. Pada bulan Ramadan, sifat Rasulullah s.a.w yang terkenal dengan dermawan dan sikap ambil berat Baginda terhadap umatnya lebih menonjol dan terserlah.

6. Menunaikan ibadat umrah.

Ibadat umrah merupakan amalan sunat yang amat digalakkan pada bulan Ramadan kerana ganjarannya yang berlipat kali ganda berbanding jika dilaksanakan pada bulan-bulan lain. Namun demikian, amalan sunat ini hanyalah bagi mereka yang mempunyai kemampuan untuk melakukannya sama ada dari segi fizikal dan kewangan.

7. Menjalankan aktiviti dakwah dan bersosial.

Seiring dengan kelebihan dan manfaat Ramadan, baginda s.a.w menjadikan bulan ini sebagai bulan yang penuh dengan amalan dan aktiviti yang berfaedah dan positif. Selain amalan yang dinyatakan, Baginda Rasulullah s.a.w juga aktif melakukan kegiatan dakwah, aktiviti sosial, bermusafir dan berjihad di jalan Allah. Sebagai contoh, dalam tempoh sembilan kali Ramadan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w, baginda melakukan perjalanan ke Badar pada tahun kedua Hijrah, Mekah pada tahun kelapan Hijrah dan ke Tabuk pada tahun kesembilan Hijrah.

Selain itu, Rasulullah s.a.w juga turut mengirimkan enam pasukan jihad yang secara tidak langsung dipimpin oleh Baginda. Baginda juga melangsungkan perkahwinan puterinya, Fatimah dengan Ali bin Abi Talib, mendirikan rumah tangga dengan Hafsah dan Zainab serta meruntuhkan berhala-berhala Arab pada bulan Ramadan.

Sesungguhnya, bertitik-tolak daripada amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sepanjang Ramadan tersebut hendaklah kita sama-sama jadikan bulan Ramadan sebagai sekolah latihan untuk membentuk individu Muslim yang benar-benar bertakwa dan mampu menyeimbangkan antara tuntutan kebendaan dan tuntutan kerohanian, antara ajakan nafsu amarah bissu (nafsu buas) kepada nafsu al-mutmainnah (nafsu tenang).

Dalam tempoh sebulan dalam setahun, kita dikehendaki berlatih untuk mendisiplinkan diri supaya tingkah laku kita sesuai dengan tuntutan agama. Tempoh itu adalah suatu masa yang cukup sekiranya kita menggunakan sepenuhnya untuk mempersiapkan diri kita untuk menghadapi sebelas bulan yang mendatang.

Dengan melakukan ibadah puasa, kita dilatih dan dididik untuk menanamkan kemahuan yang kuat dan keazaman yang kukuh, kerana orang yang berpuasa adalah orang yang berjuang dan berjihad melawan kehendak hawa nafsu yang ada dalam dirinya semata-mata kerana ingin mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Selain itu, puasa juga dapat memupuk dan menyuburkan lagi sifat amanah dalam diri seseorang kerana dengan berpuasa seseorang itu berlatih supaya selalu bertanggungjawab dan bermuraqabah dengan Allah dalam semua urusannya. Ia menahan lapar dan dahaga kerana Allah s.w.t. semata-mata tanpa adanya penguasa yang lain selain Allah s.w.t. Kesedaran dalaman (batin) ini suatu penghayatan kepada sifat ihsan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Ihsan itu ialah bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya, sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya maka sesungguhnya Ia (Allah) melihat kamu.

Puasa juga melatih orang Islam bagi mendapat ketahanan diri supaya tidak dihinggapi oleh penyakit bakhil dan terlalu sayangkan harta dan tenaga. Dengan latihan ini, para pelatih (orang yang berpuasa) merasa sendiri bagaimana kesusahan dan penderitaan lapar dan dahaga serta kesengsaraan orang fakir, miskin dan mereka yang menderita.

Oleh itu, jelas kepada kita, apa yang disebutkan merupakan sebahagian daripada hikmah yang dapat diperoleh dari Ramadan dan amalan-amalan Rasulullah s.a.w. yang kalau difahami dan diamalkan, maka sudah cukup untuk memberi suatu ketahanan dalaman kepada umat Islam bagi menghadapi cabaran dan rintangan sepanjang kita mengerjakan ibadah puasa yang diwajibkan.

No comments: