Friday, November 15, 2002

Amalkan semangat persaudaraan

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 15 November 2002)

KETIBAAN Ramadan setiap tahun seharusnya memberikan banyak kesedaran dan keinsafan kepada seluruh umat Islam tentang kelebihan sikap tolong-menolong atau bantu-membantu antara sesama Muslim.

Ini memandangkan nilai-nilai murni seperti pengorbanan, mengamalkan cara hidup sederhana, perbelanjaan yang terurus atau berhemah dan kesediaan kita untuk menghulurkan bantuan serta berkongsi dengan orang yang susah juga merupakan nilai-nilai utama dalam mengukuhkan persaudaraan.

Sebagai contoh, cuba kita selami dan hayati nilai dan semangat berkorban sewaktu mengerjakan ibadah puasa. Ketika berpuasa, kita akan membataskan bahkan menahan diri daripada amalan atau tabiat yang biasa kita lakukan sehari-hari. Maka sudah tentulah natijah daripada pengorbanan ini tidak hanya terbatas kepada diri kita secara fizikalnya sahaja, tetapi turut meliputi perasaan, emosi, kesedaran dan keinsafan yang lebih tinggi dan sukar.

Nilai-nilai pengorbanan juga tidaklah sekadar suatu perkara yang perlu dihayati sewaktu Ramadan sahaja. Sikap berkorban perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Hanya dengan cara ini barulah umat Islam mampu untuk menjadi umat yang mempunyai keprihatinan dan tanggungjawab sosial serta berupaya untuk membawa perubahan walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan rintangan.

Pengorbanan jugalah yang menjadi prasyarat utama dalam kerja-kerja yang berbentuk sukarela. Tanpa kesediaan kita untuk berkorban sama ada dari segi masa, tenaga, wang ringgit dan pelbagai bentuk kesenangan atau keselesaan diri tidak mungkin semangat kesukarelaan tersebut terlaksana.

Semangat pengorbanan diri juga memberi erti mengehadkan atau membataskan kepentingan dan keinginan diri bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkeupayaan atau kurang bernasib baik daripada kita. Secara realitinya, kebanyakan kita terlalu sukar untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja yang memberi manfaat kepada orang lain. Kebanyakan kita akan mempersoalkan hal-hal yang berbentuk upah atau ganjaran daripada kerja-kerja yang bersifat sedemikian.

Sewajarnya, berteraskan semangat persaudaraan yang amat dituntut dalam Islam, ia perlu diletakkan di tempat yang teratas daripada perkara-perkara seumpama itu. Di sinilah Allah s.w.t. akan melihat adakah kita benar-benar ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab sesama Muslim. Jika semangat pengorbanan ini dapat direalisasikan, sudah tentu ia selaras dengan sikap dan semangat berkorban yang dianjurkan oleh Islam melalui ibadah puasa.

Bagi menghuraikan maksud pengorbanan secara lebih realistik dan relevan dengan masyarakat hari ini, ia bolehlah dipecahkan kepada amalan-amalan sama ada yang bersifat individu atau kolektif.

Secara individu, seseorang boleh memberikan sumbangannya kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya. Manakala secara kolektif pula, kita memberikan bahagian atau berkongsi kebolehan dan keistimewaan yang ada pada diri kita untuk dimanfaatkan bersama-sama secara kumpulan atau berpasukan.

Oleh yang demikian, satu bentuk masyarakat yang harmonis dan saling tolong-menolong akan dapat direalisasikan seiring dengan kehendak Islam yang mahukan umatnya hidup bersatu padu dan erat antara satu sama lain.

Melalui ibadah puasa juga, kita turut dilatih untuk hidup secara sederhana. Bagi mereka yang terbiasa dengan kesenangan dan kemewahan haruslah cuba untuk mengorientasikan diri agar lebih sentiasa merendah diri, berhemah dan mudah untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan. Umat Islam yang berpuasa harus sedar bahawa pembaziran dan boros merupakan sesuatu yang amat dibenci oleh Allah s.w.t.

Secara umumnya, amalan hidup secara sederhana amat menuntut kepada disiplin yang tinggi yang berupaya membentuk kekuatan peribadi seseorang Musim. Dengan kekuatan ini, barulah seseorang dapat keluar daripada sikap mementingkan dirinya semata-mata dan bersedia untuk menghulurkan tali persaudaraan kepada anggota masyarakat lain di sekelilingnya. Kesederhanaan juga akan menjadi pendorong kepada semangat pengorbanan yang akhirnya akan menguatkan nilai-nilai persaudaraan antara sesama Muslim.

Senario hari ini memperlihatkan kepada kita betapa nilai-nilai persaudaraan telah semakin terhakis lantaran manusia saling mengutamakan keperluan dirinya tanpa mempedulikan keperluan dan kesukaran orang lain. Oleh sebab itulah banyak negara-negara di dunia terutamanya negara-negara Islam sering menjadi mangsa tipu daya negara-negara lain yang sentiasa mencari peluang untuk melemahkan negara-negara yang sememangnya lemah itu.

Secara realitinya, sungguhpun Ramadan datang dan pergi, dan pelbagai kuliah, forum, dan ceramah dianjurkan, sebahagian besar masyarakat kita masih tidak sedar atau terpanggil untuk menghayati ajaran dan nilai-nilai puasa walaupun dalam bentuk kerja-kerja sukarela yang begitu mudah untuk dilakukan itu.

Masyarakat kita rata-ratanya mengamalkan puasa sebagai suatu amalan tradisi tahunan. Tidak lebih daripada itu. Manakala pengajaran daripada nilai-nilai puasa ini tidak sama sekali menjadi faktor penting kepada ibadah yang dilakukan.

Masyarakat Islam perlu diperkasakan dengan nilai-nilai yang tersirat di sebalik kegiatan-kegiatan berlapar di siang hari, berbuka dan bersahur, menunaikan solat sunat tarawih, memberi zakat fitrah dan menyambut Aidilfitri bagi menjamin pahala daripada Allah s.w.t.

Sesungguhnya, semangat berkorban, bersederhana, dan amalan perkongsian itu seharusnya dihayati dan dibudayakan dalam kehidupan sehari-hari kita termasuk selepas berlalunya bulan Ramadan.

Keadaan ini jika terus diamalkan dalam masyarakat sudah pasti matlamat untuk membentuk masyarakat yang harmonis dan bersatu padu dapat dicapai sepenuhnya. Moga-moga Ramadan yang kita tempuhi bersama pada kali ini akan dapat mendidik kita untuk menjadi umat yang benar-benar bertakwa.

No comments: