Wednesday, February 19, 2003

Dakwah Di Laman Web : 10 Cara Capai Matlamat

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 19 Februari 2003)

PADA hari ini, kita dapati tugas menyampaikan ajaran Islam boleh dikatakan lebih mudah berbanding pada zaman Rasulullah s.a.w.

Ini kerana, pada zaman ini terdapat pelbagai jenis kemudahan yang boleh digunakan, terutama di era kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hari ini.

Namun demikian, kita juga perlu mengakui di sebalik kemudahan-kemudahan itu, terdapat juga seribu satu macam kesukaran dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para pendakwah, seiring dengan peningkatan ilmu dan perubahan budaya masyarakat.

Islam sebagai satu cara hidup yang mempunyai nilai-nilai yang tinggi, amat kurang difahami dan kurang disaksikan oleh masyarakat bukan Islam umumnya, sama ada di Malaysia sendiri mahupun di Barat.

Ramai orang Islam pula tidak menyedari bahawa tanggungjawab menyampaikan Islam, walaupun sepotong ayat adalah tanggungjawab setiap daripada mereka.

Ia juga merupakan tugas utama para Rasul daripada Nabi Adam a.s. sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam memperkatakan hal ini, dakwah yang berkesan perlulah melalui strategi yang dirancang dengan penuh teliti, demi memastikan segala usaha dan tindakan yang dilakukan dapat mencapai sasaran yang ditetapkan. Di antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah Mewujudkan Rangkaian Media Islam.

Dalam era ICT ini, kemudahan media internet boleh dimanfaatkan dengan segera bagi mengatasi penyebaran segala bentuk fahaman yang negatif dan prejudis oleh media konvensional.

Sehingga hari ini, usaha ke arah membetulkan kefahaman dan imej Islam, belum betul-betul mencapai tahap yang diperlukan, walaupun kesedaran dan usaha awal dalam bidang ini telah ada.

Hari ini kita lihat banyak laman-laman web dibangunkan untuk tujuan tersebut oleh pelbagai pihak, sama ada yang dimiliki oleh individu persendirian, organisasi-organisasi dakwah mahupun pihak kerajaan melalui badan-badan yang ditubuhkannya.

Namun demikian, adakah kemudahan yang tersedia itu mampu dieksploitasi sepenuhnya bagi tujuan dakwah?

Dalam konteks ini, Dr. Yusof Al-Qardhawi, seorang pendakwah yang terkenal telah menyarankan agar kemudahan berdakwah menerusi internet atau lebih khusus kepada laman-laman web yang dibina ini, perlu mematuhi beberapa perkara asas supaya ia sampai kepada matlamat yang disasarkan iaitu :

1. Berfungsi untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar kepada seluruh anggota masyarakat, sama ada orang-orang Islam sendiri mahupun golongan bukan Islam.

Ia juga turut bersedia untuk menjawab segala kekeliruan dan kesalahfahaman terhadap Islam serta dalam waktu yang sama menolak dan menjawab segala syubhat dan fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Di samping itu, bagi memastikan segala isi kandungannya difahami dan dimanfaatkan oleh masyarakat, bahasa yang digunakan perlulah juga difahami oleh seluruh anggota masyarakat.

Dalam hal ini, penggunaan bahasa yang pelbagai akan lebih menarik minat masyarakat berbanding laman-laman yang hanya menggunakan satu atau dua bahasa pilihan.

2. Memaparkan Islam dalam bentuknya yang syumul (lengkap) dan tidak hanya terhad pada bahagian atau juzuk-juzuk tertentu daripada kandungan Islam sahaja.

Kandungan ajaran Islam seperti akidah, ibadah, akhlak, seni, muamalat, undang-undang, tamadun dan lain-lain hendaklah terkandung dalam laman tersebut.

Ini amat penting agar para pengunjung laman tersebut, dapat memahami dan mendapat maklumat yang tepat mengenai Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Dan Kami turunkan al-Kitab (al-Quran) menjadi penerang kepada segala sesuatu.'' (Surah an-Nahl : 89)

3. Menjadikan al-Quran dan as-Sunah sebagai rujukan utama. Ini termasuklah soal-soal penafsiran dan kefahaman terhadapnya yang perlu berasaskan pemahaman dan penafsiran para sahabat Rasulullah s.a.w. dan tabi'in.

Atas dasar ini sahajalah umat Islam akan terselamat daripada kesesatan akibat tafsiran yang membuta tuli atau mengikut kepentingan sendiri.

4. Menghayati konsep kesederhanaan dalam memahami dan mengamalkan Islam, di samping mengambil kira persekitaran (waqie').

Langkah sebegini adalah wajar dan menepati kehendak Islam itu sendiri sebagai agama wasatiyyah (sederhana).

Pengeksploitasian kemudahan ICT sebegini juga hendaklah tidak terjerumus ke lembah kefahaman Islam yang sempit lagi melampau, atau pun terlalu longgar dan lari daripada tuntutan Islam yang sebenar. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Dan begitulah Kami jadikan kamu umat yang sederhana.'' (Surah al-Baqarah : 143).

5. Mengamalkan sikap `taisir' (mempermudahkan) dan `tabsyir' (membawa khabar gembira) untuk mewarnai persekitaran dan isi kandungan laman web Islam.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ``Permudahkanlah dan jangan menyusah-nyusahkan, dan berilah khabar gembira dan janganlah menjauhkan (manusia daripada Islam yang kamu bawa).'' (Hadis Muttafaq Alaih.)

Sabda Rasulullah s.a.w. ini adalah berdasarkan realiti pada zaman baginda. Ini kerana, tabiat manusia itu sendiri sentiasa selesa dengan kemudahan dan gembira pada setiap masa.

Jika pada zaman Rasulullah s.a.w., manusia telah diraikan dengan kemudahan kerana fitrah mereka yang sedemikian rupa, maka umat Islam di zaman ini lebih utama untuk perkara tersebut.

Namun demikian, ia tidaklah sampai mereka melupakan segala siksaan dan azab Allah, seandainya berlaku keingkaran kepada suruhan dan arahan Allah s.w.t.

6. Berfungsi untuk menghimpunkan antara keaslian ajaran Islam dan juga kemodenan.

Dalam hal ini, adalah perlu bagi kita untuk mengkaji dan meneliti langkah ulama-ulama terdahulu, yang mewariskan khazanah ilmu Islam yang tradisional dan kaya, bagi mempelajari metod-metod mereka dan diselarikan dengan kemodenan suasana hidup kini untuk tujuan pengaplikasiannya.

Ini perlu supaya Islam yang kita bawa tidak janggal dan terlalu asing, sehingga tidak sesuai dengan zaman moden ini.

Walaubagaimanapun, perkara-perkara asas yang tidak boleh menerima perubahan langsung, perlulah dijaga dengan berhati-hati.

7. Kandungan laman web tersebut juga hendaklah tidak memihak (bias) kpada pemikiran-pemikiran tertentu sahaja, sama ada yang lama mahupun yang baru.

Ia juga hendaklah tidak dilihat hanya menyokong individu tertentu, mazhab-mazhab tertentu ataupun golongan-golongan tertentu sahaja.

Ini kerana, tidak ada sesiapa yang maksum melainkan Rasulullah s.a.w. sahaja. Bahkan ia perlulah bersifat terbuka dan mengambilkira semua pendapat daripada semua golongan dalam Islam.

8. Mampu berinteraksi dengan manusia walau dengan musuh sekalipun. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan gaya bahasa yang lembut, penuh hikmah dan tidak agresif serta bukan dengan kekasaran.

Amalan berdialog, forum dan perbincangan ilmiah yang bebas daripada emosi serta menghormati sesama manusia, juga merupakan imej yang mesti dibawa olehnya.

Begitu juga konsep kecintaan dan kasih sayang sesama manusia perlu dijadikan tema dalam berdakwah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Dan dengan rahmat Allah hendaklah kamu bersikap lembut terhadap mereka, dan jika kamu keras dan kasar terhadap mereka, mereka akan lari daripada kamu.'' (Ali Imran : ayat 159).

9. Berperanan sebagai pelengkap antara satu sama lain dan saling membantu dengan mewujudkan jaringan capaian atau links antara satu sama lain.

Ini membolehkan para pengunjung laman web tersebut dapat memperkembangkan pengetahuan mereka, sekali gus memudahkan mereka untuk mengetahui sesuatu yang mungkin tidak ada atau tidak lengkap pada satu-satu laman web yang dikunjungi.

10. Laman web Islam juga hendaklah dipersembahkan secara profesional, sama ada dari segi kandungan mahupun hiasannya dengan memanipulasi kemajuan teknologi terkini.

Ini penting agar ia menarik dan tidak kelihatan hambar. Persembahan yang baik juga dapat menarik minat pengunjung dan melahirkan rasa minat terhadapnya.

Sesungguhnya Allah itu cantik dan amat sukakan benda-benda yang cantik.

No comments: