Thursday, February 27, 2003

Sedekah utama - Hulurkan kepada keluarga terdekat

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 27 Februari 2003)

JIHAD merupakan kesungguhan seseorang untuk mengubah dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik kepada perkara yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.

Manakala hijrah pula bertujuan mencari suatu kehidupan baru yang lebih baik dari sebelumnya.

Sungguhpun tiada lagi tuntutan untuk berhijrah sepertimana hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah, namun kita dituntut untuk berusaha mencari kehidupan yang terbaik untuk diri dan keluarga.

Memahami konsep hijrah, umat Islam dituntut untuk menghayati semangat pengorbanan kerana ia adalah satu perjuangan serta jihad dengan niat yang baik dan murni.

Imam as-Syafi'e pernah berkata: ``Bersusah-payahlah kamu kerana di sebalik kesusahan itu ada kesenangan''.

Kelazatan hidup secara lumrahnya akan dapat dirasai selepas seseorang itu ditimpa oleh musibah atau kesusahan. Bagi sesiapa yang tidak pernah merasa susah tidak akan dapat menghargai erti kesenangan dan kemewahan.

Umpamanya, bagi seseorang yang tidak pernah jatuh sakit, pasti tidak akan tahu menilai betapa nikmatnya kesihatan.

Kebanyakan manusia sering lupa dan tertipu dengan nikmat kesihatan sehingga Allah menimpakan ke atasnya musibah atau bencana sebagai amaran agar segera ingat dan mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah itu.

Fenomena yang berlaku seperti kegawatan ekonomi, tanah runtuh, panas, jerebu dan lain-lain merupakan antara bukti peringatan daripada Allah s.w.t. supaya manusia segera sedar dan insaf terhadap kesilapan dan kemungkaran yang mereka lakukan.

Sesungguhnya, setiap peringatan Allah itu perlu dijadikan iktibar kerana ia menandakan Allah s.w.t. kasih dan sayang kepada hamba-hamba-Nya.

Harta yang banyak tetapi tidak ada keberkatan padanya tidak akan membawa sebarang erti, malah boleh menjadikan seseorang itu sentiasa merasa tidak cukup sehingga sanggup melakukan rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Sebaliknya, harta yang sedikit tetapi berkat akan membawa ketenangan dan mempunyai kesan yang baik dalam segenap kehidupan.

Sebagai contoh, seseorang yang memiliki harta yang banyak, tempat tinggal yang besar dan cantik, dikelilingi anak-anak dan isteri serta segala kemewahan yang dimiliki belum tentu hidupnya tenteram dan bahagia.

Seringkali dia merasa resah dan gelisah, takut kalau-kalau segala yang dimiliki itu akan lenyap atau hilang daripadanya.

Ini berpunca daripada keberkatan yang dicabut oleh Allah s.w.t. kerana kelalaian sendiri yang tidak mengikut lunas-lunas syariat yang ditetapkan dalam mencari harta atau rezeki.

Di samping itu, memiliki keluarga yang ideal dan bahagia adalah juga satu nikmat dan rezeki bagi seseorang. Kadangkala, seseorang itu merasa tidak gembira ketika melihat suami atau isterinya. Ini bermakna, Allah s.w.t. telah mencabut satu keberkatan daripadanya.

Oleh yang demikian, terdapat petanda bahaya di dalam kehidupan berkeluarga kerana Allah s.w.t. telah menjadikan asas ketenangan itu sebagai satu sifat yang disebut `mawaddah wa rahmah' iaitu nilai kasih sayang.

Setiap sen atau wang dari sumber yang haram akan menyebabkan hangusnya keberkatan di rumah tersebut. Dan setiap wang yang haram yang masuk ke dalam perut anak kita sebenarnya akan menyumbatkan api neraka ke dalam perut mereka dan Allah s.w.t. akan mencabut keberkatan daripada anak tersebut.

Ia dapat dilihat pada zaman ini iaitu berapa ramai anak yang diharapkan menjadi permata hati tetapi akhirnya menjadi racun kepada kedua ibu bapa.

Kita bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga. Sesungguhnya, kewajipan kita itu akan kembali kepada Allah s.w.t. sebagai satu ibadat. Malah setiap wang yang dibelanjakan oleh seorang suami untuk isteri dan anak-anak dianggap sebagai nafkah atau sedekah.

Dalam Islam, sedekah yang paling utama adalah sedekah yang dihulurkan kepada keluarga terdekat iaitu keluarga sendiri.

Sebagai Muslim yang beriman kepada Allah s.w.t., sewajarnya setiap pekerjaan yang kita lakukan perlu mempunyai matlamat yang tertentu dan tidak semata-mata meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama.

Matlamat yang perlu diletakkan sebagai yang tertinggi dan utama adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. telah memberi peringatan kepada umatnya dengan sabdanya yang bermaksud: ``Celakalah orang yang menyembah dinar, celakalah orang yang menyembah dirham''. (Riwayat Bukhari dan Ibnu Majah)

Kebanyakan manusia pada hari ini hanya memikirkan untuk mengisi perut sahaja.

Dalam konteks ini, golongan tersebut boleh dikategorikan dalam tiga kumpulan manusia iaitu :

1. Kumpulan yang daif, hidup ala kadar dan tidak berfikir kepada yang lain. Mereka memikirkan apa yang hendak dimakan setiap hari.

2. Kelompok manusia yang kerap memikirkan untuk menukar selera makan, lantas selalu berfikir di mana hendak makan.

3. Golongan yang mempunyai sifat luar biasa. Mereka tidak memikirkan apa yang ingin dimakan atau di mana hendak makan tetapi memikirkan siapa yang mahu `dimakan'.

Para peniaga atau ahli korporat perlu diingatkan supaya tidak melakukan kezaliman kepada orang-orang lain. Namun, falsafah yang sering digunapakai adalah siapa yang kuat akan dapat memiliki semuanya.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana sebagai seorang Islam, setiap gerak langkah kita adalah tertakluk kepada hukum-hakam syariat.

Mengapa mesti menzalimi orang lain atau melalui cara yang diistilahkan sebagai `orang makan orang' apabila kita ingin mendapatkan sesuatu keuntungan atau sebagainya?

Manusia seringkali hilang pertimbangan apabila perut atau lebih tepat lagi nafsu menjadi matlamat.

Mereka ini akhirnya akan hilang maruah diri, terlibat dalam rasuah, pecah amanah dan sebagainya hingga membawa kepada tindakan `menyembah' sesama makhluk dan bukan menyembah Allah s.w.t.

Di dalam keghairahan mengejar ini semua, manusia juga telah mencipta satu falsafah iaitu `money is power'.

Golongan ini meletakkan wang sebagai matlamat hidup dan bagi mereka apa sahaja boleh dimiliki dengan menggunakan wang.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, wang bukanlah satu-satunya matlamat dan inilah kekuatan yang ada pada orang-orang Islam.

Akidah merupakan benteng yang dapat menahan seseorang daripada dibolosi oleh sikap yang didominasi oleh orang-orang kafir ini. Biarlah mereka banyak wang tetapi kita tidak sewajarnya boleh `dibeli' dengan wang.

Perlu diingat bahawa matlamat asal Allah s.w.t. mengurniakan harta kepada manusia adalah untuk digunakan bagi keperluan diri, keluarga dan seterusnya menegakkan agama Allah s.w.t.

Sekiranya semua individu sama ada peniaga, pemimpin dan lain-lain mempunyai kesedaran dan pertimbangan seperti itu, nescaya mereka akan selamat dan berjaya menangani setiap masalah yang dihadapi.

Allah s.w.t. tidak bertanya sama ada seseorang itu berharta atau tidak, tetapi Allah s.w.t. meletakkan ilmu sebagai pembeza antara seorang manusia dengan manusia yang lain.

Sebaliknya kita sebagai hamba-Nya kadangkala hanya meletakkan harta sebagai satu ukuran kemuliaan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Katakanlah (wahai Muhammad): ``Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?'' Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna''. (Az-Zumar : 9)

Kebelakangan ini, masyarakat kita kurang memberi perhatian mengenai persoalan akidah dan kepentingan sosial. Kebanyakannya lebih memberi tumpuan hanya dari segi bagaimana menyelesaikan masalah ekonomi masing-masing sehingga mengenepikan masalah-masalah lain yang seharusnya turut menjadi keutamaan seperti gejala keruntuhan akhlak, dadah dan sebagainya.

Kesimpulannya, apa juga jenis kekayaan adalah bermula dari rumah. Dalam hal ini, isteri memainkan peranan sebagai tulang belakang bagi kejayaan seseorang suami.

Seandainya seseorang itu berjaya membentuk rumahtangga yang bahagia, dia juga sudah pasti mampu menguruskan rumahtangganya dengan baik yang seterusnya memberi kesan terhadap peranannya di dalam masyarakat dan negara.

No comments: