Tuesday, March 4, 2003

Rahmat Awal Muharam

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 4 Mac 2003)

FAJAR satu Muharam 1424 Hijrah tetap bersinar seperti hari-hari sebelumnya. Bagi manusia yang tidak mengendahkan kehadiran tahun baru ini mungkin hanya menganggap ia sekadar salah satu daripada hari-hari kebesaran yang secara ritualnya disambut oleh pihak-pihak tertentu tanpa ada sesuatu yang memberi impak dalam kehidupan seharian.

Namun bagi umat Islam yang benar-benar memahami malah mampu menghayati sejarah di sebalik hari agung ini sudah pasti tidak akan menganggapnya sebagai hari cuti umum sahaja.

Sesungguhnya, kita amat mengharapkan kedatangan tahun baru Hijrah ini akan mengundang rahmat dan kesejahteraan dari Allah s.w.t untuk seluruh umat Islam. Sempena kedatangan tahun baru Hijrah ini juga, umat Islam diseru supaya meneliti peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. yang dijadikan permulaan kepada tahun baru umat Islam.

Satu persoalan yang mungkin timbul adalah kenapa permulaan tahun baru umat Islam ini tidak dimulai dengan hari-hari lain yang tidak kurang juga pentingnya seperti hari kelahiran baginda, hari kewafatannya, hari kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar atau hari pembukaan Mekah? Sebaliknya yang berlaku adalah ia dimulakan dengan tarikh hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah.

Hakikat ini perlu dimaklumi bahawa hijrah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w. itu tidak sama seperti mana hijrah-hijrah yang turut dilakukan oleh Rasul-rasul terdahulu kerana hijrah para Rasul tersebut semata-mata untuk lari daripada fitnah atau membebaskan diri daripada seksaan dan tekanan musuh.

Ini berbeza dengan hijrah Rasulullah s.a.w. yang bertujuan untuk mencari satu bumi yang subur bagi menyemai dan menyuburkan benih dakwah demi memastikan kesinambungan dan kegemilangan Islam terus terpelihara.

Hijrah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat itu juga bertujuan untuk mencari suatu tempat yang aman bagi merancang dan menjalankan seruan dakwah, membentuk masyarakat Islam, menubuhkan sebuah pemerintahan Islam serta merealisasikan kewujudan kaum Muslimin sebagai satu entiti yang mampu berdiri dengan sendiri. Di samping itu, wawasan baginda s.a.w juga adalah untuk mencari sebuah negara bagi agama Islam dan pengikut-pengikutnya supaya agama suci ini dapat dikembangkan serta adanya golongan manusia yang menjaga dan melindunginya sehingga sanggup mempertaruhkan jiwa dan raga mereka. Jelasnya, penghijrahan itu telah berjaya membawa kepada tertegaknya sebuah kerajaan dan masyarakat Islam serta melahirkan satu umat baru iaitu sebaik-baik umat yang diutuskan untuk manusia.

Sememangnya menjadi hak seluruh umat Islam untuk berbangga, menyambut dan memuliakan kedatangan tahun baru hijrah ini serta mengambil peluang untuk memperingati sirah (perjalanan hidup) Rasulullah s.a.w., keperibadian baginda yang agung dan juga perutusan baginda s.a.w. yang menyeluruh dan kekal, yang dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai rahmat kepada seluruh alam. Apabila kita membicarakan tentang peristiwa-peristiwa penting ini juga, ia sebenarnya turut mengingatkan kita tentang nikmat-nikmat Allah yang besar, dan sesungguhnya menyebut tentang nikmat-nikmat dan kurniaan Allah s.w.t itu merupakan sesuatu yang dituntut oleh syarak.

Sempena kedatangan tahun baru umat Islam ini, wajar seluruh umat Islam di segenap lapisan merenung sejenak dan menghayati siratan makna yang terkandung dalam peristiwa agung ini yang juga merupakan satu mesej bahawa untuk mencapai kegemilangan dalam seluruh aspek kehidupan, kita perlu malah mesti `berhijrah' kepada kehidupan yang terbaik mengikut nilai-nilai yang telah diterapkan oleh Rasulullah s.a.w. Hakikat ini menuntut kepada kesungguhan dan sensitiviti yang amat tinggi dalam jiwa setiap umat Islam untuk melakukan perubahan besar-besaran berasaskan senario semasa yang seolah-olah cuba untuk memupuskan nilai-nilai hidup Islam dari muka bumi ini.

Antara persoalan dan tanggungjawab yang perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam sempena peristiwa hijrah ini termasuklah :

- Muhasabah diri ke arah memahami tujuan kita dijadikan oleh Allah s.w.t.

Kedatangan tahun baru umat Islam ini menandakan semakin jauh dunia kita tinggalkan di belakang dan semakin menghampiri hari yang dijanjikan iaitu hari kiamat. Umat Islam sentiasa diingatkan supaya memprogramkan sesuatu perkara yang meliputi dwikemajuan iaitu kemajuan sewaktu hidup dan kejayaan selepas mati iaitu di akhirat. Program hidup komprehensif dan bersepadu ini amat logik, rasional dan praktikal. Ia logik kerana akal yang waras akan mengakui bahawa wujudnya dua alam kehidupan iaitu sebelum dan sesudah mati.

Secara rasionalnya, kehidupan kita di dunia ini boleh diumpamakan sebagai pengembara yang menumpang sejenak di dunia ini manakala tempat kediaman yang kekal adalah akhirat. Justeru, manusia perlu membawa bekalan untuk digunakan di tempat yang kekal itu. Dan praktikalnya pula adalah kerana kerajinan berusaha di dunia membolehkan kita menikmati hasilnya di akhirat. Hijrah manusia sekurang-kurangnya meliputi proses hijrah dari alam ruh ke alam rahim ibu; dari rahim ibu ke alam dunia; dari alam dunia kepada Allah dan Rasul; dari alam dunia ke alam akhirat; dan dari padang mahsyar di akhirat menuju sama ada ke syurga atau ke neraka.

Hijrah adalah hasil daripada cetusan dan lonjakan iman iaitu keimanan, hijrah dan jihad. Keimanan sebagai faktor pendorong, hijrah sebagai wasilah atau jalan, manakala jihad adalah hasil atau natijahnya. Hijrah juga adalah evolusi dan revolusi kejiwaan, pemikiran, perasaan dan keilmuan serta pengorbanan keegoan palsu dan jahiliah. Ia adalah proses meninggalkan program keduniaan semata-mata kepada program bersepadu dunia dan akhirat.

Berdasarkan model hijrah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w., ternyata hijrah itu merupakan perubahan yang menyeluruh. Ia membawa perubahan rohaniah dan jasmaniah. Hijrah juga mengubah nilai dan penilaian di mana nilai-nilai ukhrawi menguasai serta mengendali nilai-nilai duniawi.

- Berhijrah minda dengan memperbetulkan salah faham terhadap Islam.

Umat Islam hari ini diseru supaya melakukan hijrah minda dengan menolak pemikiran jumud yang masih membelenggu mereka bagi menghadapi cabaran global terutama selepas 11 September 2001. Anjakan sikap itu perlu bagi membentuk pemikiran maju dan progresif sekali gus menangkis tohmahan pihak-pihak berkepentingan termasuk Barat, yang sering mengaitkan Islam sebagai agama pelampau dan gemarkan keganasan. Justeru, jihad umat Islam sepatutnya menjurus ke arah peningkatan kualiti hidup di samping mempunyai kekuatan dalam bidang persenjataan.

Secara sedar atau tidak, imej Islam telah sedikit tercemar berikutan peristiwa 11 September tersebut. Maka, salah satu cara untuk menerangkan kepada dunia bahawa tanggapan negatif mereka terhadap Islam adalah salah iaitu menerusi tindakan kita sendiri melakukan hijrah minda. Umat Islam harus menunjukkan kepada dunia bahawa Islam sebenarnya amat pentingkan keamanan walaupun di kelilingi oleh orang-orang bukan Islam. Namun demikian, tidaklah bermakna umat Islam rela membiarkan Islam `dirampas' oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Di sinilah letaknya kemurnian ajaran Islam berbanding agama-agama lain. Dan sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menterjemahkan keindahan Islam menerusi keamanan, kemakmuran, kecemerlangan dan kemodenan.

- Agenda mengukuhkan perpaduan.

Sesungguhnya, umat Islam di seluruh dunia hari ini menyambut ketibaan Awal Muharam 1424 dengan satu tekad iaitu untuk menuju kejayaan dan bersatu padu atas nama ukhuwah Islamiah yang sejati. Pada bulan ini jugalah umat Islam digalakkan untuk bermaaf-maafan seperti lazimnya dilakukan apabila tibanya bulan Syawal serta berusaha merapatkan hubungan silaturahim sebagaimana Allah s.w.t sendiri dengan sifat pengampun-Nya memaafkan kesilapan yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.

Tidak dinafikan, bahawa umat Islam di seluruh dunia kini sedang melalui tempoh sukar yang jika tidak ditangani dengan baik akan membawa kepada kehancuran. Perpecahan sesama ummah, kemunduran akal fikiran, kedaifan harta benda adalah antara cabaran yang sedang menghambat umat Islam di seluruh dunia. Mengapa semuanya ini berlaku sedangkan umat Islam satu ketika dahulu adalah antara pelopor tamadun agung yang amat dikagumi oleh seluruh bangsa di dunia. Kemusnahan tamadun itu sebenarnya bermula dengan lunturnya ikatan perpaduan dan kesatuan antara ummah. Justeru, mahu tidak mahu umat Islam perlu bersatu padu kerana hanya dengan kesepaduan yang jitu akan memastikan mereka dihormati semula.

Kita di Malaysia juga perlu bertekad untuk keluar daripada sifat jumud dan sempit. Perpecahan antara ummah hanya akan merenggangkan ikatan persaudaraan antara kita. Jika itu berlaku, pelbagai program untuk memajukan ummah akan terganggu.

No comments: