Friday, March 28, 2003

Asmaul Husna - Jangan cemarkan namanya

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 28 Mac 2003)

ALLAH s.w.t mempunyai sifat yang sama sekali tidak serupa dengan makhluk. Sifat-sifat itu terkandung dalam nama-nama Allah yang mulia atau dikenali sebagai `Asmaul Husna'.

Sebagai umat Islam, kita wajib beriman kepada semua sifat berkenaan. Kita juga tidak boleh menyamatarafkan sifat Allah dengan sifat manusia kerana perbuatan sedemikian akan merosakkan akidah yang merupakan perkara asas dalam agama.

Allah s.w.t. menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: ``Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat''. (Asy-Syura : 11)

Bagi kita yang berpegang dengan akidah ahli Sunnah wal Jamaah, kita tidak sewajarnya memahami dan menentukan sifat Allah berdasarkan ta'thil (menghilangkan sifat-sifat Ilahiyah daripada Allah s.w.t., menafikan adanya sifat-sifat itu pada zat-Nya atau mengingkari sebahagian daripadanya) dan tamtsil (menyerupakan sesuatu benda atau makhluk dengan Allah s.w.t.).

Kita juga tidak boleh menggunakan tahrif (merubah lafaz Asmaul Husna dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi atau merubah dari segi maknanya) dan takyif (menentukan hakikat sesuatu sifat dengan menetapkan bentuk atau keadaan tertentu baginya).

Hakikatnya, ahli Sunnah Wal Jamaah mesti mempercayai dan meyakini sifat-sifat Allah sebagaimana ia disebut dalam al-Quran dan hadis.

Jika diteliti dalam al-Quran, perkataan Asmaul Husna itu sendiri disebut dalam empat ayat utama iaitu dalam Surah al-A'raf ayat 180; Surah al-Isra' ayat 110; Surah Thaha ayat 8 dan surah al-Hasyr ayat 24.

Walaupun ada pelbagai pendapat mengenai jumlah nama Allah, Rasulullah s.a.w. dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi menyebut bahawa: ``Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang mampu menghafalnya, nescaya dia akan masuk Syurga. Sesungguhnya Allah itu satu (Esa pada zat, sifat dan perbuatan-Nya serta tiada sekutu bagi-Nya) dan Dia menyukai sesiapa yang mengEsakan-Nya''.

Secara kesimpulan daripada sifat-sifat Allah ini, sekurang-kurangnya ada empat sifat yang dapat menggambarkan secara langsung mengenai kekuasaan dan keagungan-Nya. Antaranya adalah:

1. Al-Jabbar.
Allah s.w.t. bersifat dengan sifat Maha Kuat, iaitu mampu menundukkan segala-galanya. Dia mempunyai kemampuan berbuat demikian mengikut kehendak-Nya tanpa dapat dihalang atau dipengaruhi oleh sesiapa.

Dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: ``Yang Maha Kuasa, Lagi Maha Memiliki Keagungan, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan''. (Al-Hasyr : 23)

2. Al-Mutakabbir.
Allah s.w.t. bersifat dengan sifat Maha Besar, iaitu mempunyai kebesaran atau melengkapi segala kebesaran-Nya tanpa memerlukan bantuan sesiapa.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Yang Maha Kuasa Lagi Maha Memiliki Keagungan''. (Al-Hasyr : 23)

Sifat ini juga mendokong maksud sifat Allah s.w.t. iaitu Maha Tinggi berbanding makhluk ciptaan-Nya sama ada pada sifat atau zat-Nya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: ``Dan bagi-Nyalah keagungan di langit dan di bumi. Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana''. (Al-Jatsiyah : 37)

3. Al-Qahhar.
Allah s.w.t. juga bersifat dengan sifat Maha Kuasa atau Perkasa seperti firman-Nya yang bermaksud: ``Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dialah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Perkasa''.(Ar-Ra'ad : 16)

4. Al-Muntaqim.
Atas sifat-Nya yang Maha Kuasa, Allah s.w.t. juga mempunyai hak dan kekuasaan untuk mengenakan balasan azab seksa kepada mereka yang melakukan dosa atau ingkar terhadap perintah serta tegahan-Nya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: ``Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan tinggalkan orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan apa yang mereka telah kerjakan''. (Al-A'raaf : 180)

Justeru itu, umat Islam bukan sahaja wajib beriman dengan Asmaul Husna, malah mesti menghindari sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan nama-nama Allah dengan cara memberi maksud yang tidak layak bagi-Nya.

Semoga dengan itu, akidah kita tidak terpesong dan kesucian ajaran Islam serta maruah umatnya kekal terpelihara.

No comments: