Monday, February 24, 2003

Kekalkan budaya dan adat resam

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Utusan Malaysia - 24 Februari 2003)

DALAM rangka merancang strategi dakwah agar dapat memberi kesan yang maksima, pelbagai cara digunakan.

Di antaranya ialah penyebaran dakwah melalui internet atau lebih khusus lagi, melalui laman web yang pernah diterangkan dulu.

Selain itu beberapa strategi lain dikemukakan juga, di antaranya:

* Pembentukan khairah ummah

Pembentukan umat Islam yang maju dan dinamis bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

Ini turut diakui oleh para pemikir dan penulis Barat seperti Samuel Huttington dalam bukunya ``The Clash of Civilisations'', yang meramalkan kebangkitan semula umat Islam dalam alaf baru ini.

Penerimaan Islam oleh masyarakat Barat dan Amerika adalah satu kenyataan yang amat membimbangkan mereka.

Ramai di kalangan saintis dan teknologis Islam sedang menyumbang kepada kemajuan hari ini melalui institusi-institusi di Eropah dan Amerika.

Pakar-pakar perubatan di kalangan orang Islam juga tidak ketinggalan dalam memainkan peranan utama untuk perkembangan dan pengamalan perubatan di Barat.

Oleh itu, kebangkitan umat Islam di bawah identiti Islam bukanlah suatu impian semata-mata malah boleh dicapai.

* Pelaksanaan pendidikan Islam yang berterusan

Pendidikan Islam merupakan perkara yang asasi dalam pembinaan kualiti individu setiap Muslim.

Tarbiyah berperanan meningkatkan kefahaman Islam secara umum dan ilmu-ilmu Islam secara khusus.

Individu yang berilmu dapat menyampaikan Islam secara natural (asli) dalam interaksi seharian, iaitu melalui muamalat dan akhlak Islam. Bagi tujuan memantapkan para pendakwah atau dai'e, tarbiyah yang diperlukan adalah lebih serius dan penting.

Kemahiran dan ketrampilan yang diperlukan oleh pendakwah hendaklah diberi perhatian yang bersungguh-sungguh.

Pengetahuan khusus seperti perbandingan agama, uslub dakwah kepada bukan Islam serta bahasa yang berkaitan amat perlu diberi perhatian.

Sehubungan dengan itu, memahami masyarakat yang menjadi sasaran dakwah merupakan pengetahuan yang penting bagi melaksanakan dakwah yang efektif.

* Mewujudkan interaksi sosial yang harmonis dan mesra

Interaksi yang baik antara masyarakat yang dihuni oleh orang Islam dan bukan Islam perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Pertemuan dan majlis-majlis seperti majlis hari raya, majlis dialog, majlis muhibbah dan sebagainya boleh diadakan bagi tujuan penerangan dan menjalinkan hubungan persaudaraan.

Kegiatan berdiskusi secara individu ataupun kumpulan boleh meningkatkan interaksi sosial yang dapat mengurangkan prejudis dan salah faham terhadap Islam.

Anggota masyarakat yang miskin dan lemah boleh dibantu melalui pelbagai cara seperti program anak angkat, keluarga angkat, sumbangan hari raya, sumbangan ehsan dan sebagainya.

Dakwah `bilhal' (secara amalan) sebegini sangat efektif dalam menonjolkan kemurnian Islam berbanding kaedah-kaedah lain seperti ceramah dan syarahan.

* Menambah bahan-bahan bacaan dan cetakan

Penulisan makalah serta buku-buku asas mengenai Islam dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Cina dan India hendaklah diedarkan di kalangan masyarakat bukan Islam menerusi sekolah-sekolah, rumah-rumah, hotel-hotel, hospital dan klinik, pejabat-pejabat kerajaan yang ada urusan kaunter, kompleks membeli belah dan lain-lain.

Sehubungan itu juga, pengiklanan yang berunsurkan dakwah perlu diusahakan sama ada dalam akhbar-akhbar Inggeris, Cina dan India.

* Mengekalkan budaya dan adat yang sesuai dengan Islam

Masyarakat Islam dan pihak-pihak yang berkuasa perlu lebih toleransi dengan menerima budaya dan adat masyarakat bukan Islam yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. Di antaranya termasuklah mengekalkan penggunaan nama asal yang maknanya baik, masakan dan makanan yang halal, pakaian tradisi yang menutup aurat, dan dialek serta bahasa.

Sehubungan itu juga, kajian secara ilmiah dan objektif perlu dibuat terhadap adat resam dan budaya masyarakat yang menjadi sasaran dakwah bagi tujuan memahami sejauh mana budaya dan adat resam tersebut tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Kesimpulannya, ajaran Islam hendaklah ditonjolkan sebagai `agama mesra' yang boleh menerima nilai-nilai murni dan baik dalam budaya dan adat semua kaum.

Segenap usaha hendaklah ditumpukan kepada mencari persamaan antara Islam dan bukan Islam daripada membesar-besarkan perbezaan yang wujud.

Masyarakat bukan Islam hendaklah disedarkan bahawa penerimaan Islam itu bukanlah satu perubahan baru dalam hidup mereka tetapi sebenarnya adalah sesuatu yang bersifat fitrah yang amat diperlukan oleh setiap manusia.

No comments: