Tuesday, December 12, 2006

Akal, hati ‘senjata’ manusia lawan nafsu

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 12 Disember 2006)

SETIAP Muslim yang sentiasa patuh dan tunduk kepada perintah Allah akan sentiasa reda dengan segala ketentuan dan ketetapan-Nya, bahkan kerap meminta pertolongan terhadap segala masalah dan kesulitan yang dihadapi sepanjang hidupnya.

Di samping kesungguhan yang ditunjukkan dalam mencari punca dan sebab kepada kesulitan yang dihadapi, seseorang mukmin akan berasakan dalam jiwanya suatu keperluan kepada kekuatan Allah. Ia dapat dilihat daripada sifat penyerahan secara total kepada kekuatan dan kekuasaan Allah tanpa dibayangi oleh sebarang pengaruh dan tipu daya dunia.

Seseorang Muslim sejati dan benar dalam segala tindak tanduknya adalah manusia atau individu yang cerah mata hatinya, terang pandangannya dan terpancar pintu keimanannya. Ia dapat dilihat menerusi kekaguman seseorang terhadap segala keindahan dan kebesaran ciptaan Allah.

Bertolak daripada kekaguman itu, dia dapat berasakan dengan penuh penyaksian bahawa di sebalik keindahan dan kebesaran itu, tersembunyi suatu kuasa yang Maha Tinggi yang mengendalikan segala pergerakan dan peredarannya. Ia juga tidak terkecuali kepada apa saja urusan sama ada yang berkait dengan alam mahu pun manusia yang menjadi penghuninya.

Oleh itu, manusia yang sedar dan teguh keimanannya akan sentiasa mengingati Allah pada setiap detik. Implikasi daripada ingatan itu akan bertambahlah tahap keimanannya dan seterusnya mendorongnya supaya lebih patuh dan taat kepada segala suruhan Allah. Sesungguhnya, merekalah yang disifatkan oleh Allah sebagai orang yang berakal dan tahu memanfaatkan kurniaan-Nya.

Allah berfirman bermaksud: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya), maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya." (asy-Syam: 7-10).

Dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada tiga golongan:

• Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Inilah golongan orang kafir dan orang yang menuruti cara mereka, iaitu orang yang melupakan Allah, lantas Allah melupakan mereka.

• Golongan yang berjihad melawan dirinya iaitu bertarung memerangi hawa nafsunya. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat dan apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah.

• Golongan maksum (terpelihara dari dosa) iaitu para nabi dan rasul. Nabi dan rasul adalah mereka yang dikurniakan keistimewaan oleh Allah sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka sebagai penyampai risalah Allah kepada seluruh manusia.

Sendi-sendi kekuatan dalam pertarungan Jiwa:

(1) Hati – Ia menjadi sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa apabila hati itu terus hidup, lembut, bersih dan cekal.

(2) Akal – Ia akan menjadi sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiranya akal itu dapat melihat, mengetahui sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat menyedut sesuatu daripada ilmu yang kelak akan digunakan untuk mencapai tempat yang hampir dengan Allah, mengetahui kekuatan dan kebesaran Allah.

Akal mukmin yang sedar juga dapat membezakan antara baik dan buruk, halal dan haram, maaruf dan mungkar, kerana mukmin yang sedar itu melihat perkara ini dengan cahaya daripada Allah yang dapat melihat sesuatu di sebalik tabir yang halus.

Apabila hati manusia mati atau menjadi keras, maka terbukalah pintu masuk bagi segala kejahatan ke dalam jiwanya lebih lagi apabila kita mengetahui bahawa syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana darah meresap dan mengalir dalam tubuhnya.

Antara amalan yang dituntut oleh Islam sebagai jalan untuk memelihara hati dan mengelakkan diri daripada tipu daya syaitan ialah mengingati Allah ketika mula melakukan kerja.

No comments: