Friday, December 29, 2006

Akhlak asas pembentukan masyarakat cemerlang

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 29 Disember 2006)

MEMBENTUK masyarakat Islam boleh disamakan dengan kita membina atau membangunkan sesebuah bangunan. Sebelum bangunan itu didirikan, pembinaan asas perlu didahulukan demi memastikan bangunan yang terbina kukuh dan kuat.

Dengan sebab demikian juga dalam membentuk sesebuah masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asas terlebih dulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegak masyarakat itu. Sebaliknya jika lemah maka runtuhlah apa saja yang dibina di atasnya. Melahirkan manusia yang berakhlak.

Rasulullah SAW memulakan pembentukan masyarakat Islam dengan membina asasnya terlebih dulu. Asas yang paling utama dalam pembentukan ini ialah membentuk manusia ke arah berbudi pekerti mulia. Budi pekerti atau moral adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia bersih hati, ikhlas dalam hidup dan amanah dalam tugas serta cinta kepada kebaikan.

Kepentingan budi pekerti yang mulia ini jelas dari sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji."

Dalam hadis ini kita diperlihatkan suatu konsep akhlak yang amat jelas iaitu konsep menjaga akhlak yang mulia dan menjadi tugas utama Rasulullah.

Berakhlak terpuji dan mendidik manusia supaya berakhlak mulia tugas setiap rasul yang diutuskan oleh Allah kepada manusia.

Nabi Muhammad SAW adalah rasul terakhir dari semua rasul yang diutuskan sebelumnya. Beliau melaksanakan tugasnya seperti tugas rasul-rasul sebelumnya iaitu antaranya mengawal akhlak manusia supaya sejajar kehendak Allah.

Untuk mendidik manusia supaya berakhlak mulia tidak akan berjaya melainkan dengan menunjukkan contohnya terlebih dahulu.

Dalam hal ini, Rasulullah menjadi contoh teladan kepada seluruh manusia. Allah memuji kemuliaan akhlak Rasulullah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki akhlak yang amat terpuji." (Al-Qalam : ayat 4).

Rasulullah contoh paling baik dalam mempamerkan akhlak Islam. Setiap tingkah lakunya menjadi contoh untuk diikuti oleh sahabat dan semua umatnya.

Akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah bertujuan melahirkan manusia salih menurut ajaran Islam.

Ketika ditanya kepada Saidatina Aishah (isteri Nabi) bagaimanakah akhlak Rasulullah, beliau menjawab: "Akhlak Rasulullah ialah al-Quran." Jawapan Saidatina Aishah soalan itu dapat disimpulkan masyarakat Islam diasaskan di atas akhlak yang terkandung di dalam al-Quran.

Membina peribadi Muslim, selain melahirkan masyarakat yang berakhlak, dalam mewujudkan sesuatu masyarakat yang adil dan sebuah negara yang aman dan makmur, perlu terlebih dahulu membina individu berkeperibadian Islam. Pembinaan individu Muslim mesti diusahakan menurut kehendak Allah.

Hakikatnya, ketaatan seorang Muslim kepada segala perintah Allah bukan suatu perkara baru kerana kewajipan ini disyariatkan sejak diutuskan manusia pertama di dunia.

Kepatuhan dan ketaatan yang hakiki akan mengetepikan segala pengaruh luaran sekalipun secocok dengan kehendak hawa nafsunya. Secara umumnya, ukuran keimanan seseorang Muslim dinilai daripada tahap kepatuhannya serta pelaksanaan terhadap segala perintah Allah.

Secara asasnya, Islam satu penyerahan yang tuntas kepada hukum Allah dan sunnah rasul-Nya. Tanpa ketaatan mutlak, tidak ada sebarang justifikasi yang menjadi petunjuk bahawa wujudnya Islam pada diri seseorang.

Membina tempat ibadat

Selepas tibanya Rasulullah ke Madinah dari hijrahnya, Baginda memulakan tugasnya di Madinah itu dengan mendirikan sebuah masjid yang diberi nama Masjid Quba'. Pembinaan masjid yang pertama ini menimbulkan pertanyaan mengapakah Rasulullah mendahulukan pembinaan masjid?

Mengapa tidak dibina kubu pertahanan terlebih dulu di sekitar Madinah bagi melindungi keselamatan dari sebarang ancaman musuh? Mengapa juga tidak dibina rumah terlebih dulu sedangkan mereka amat perlu kepada rumah? Mengapa tidak dibina lokasi perniagaan sebagai tempat mencari rezeki?

Walau apa pun persoalan yang diajukan, realitinya Nabi Muhammad mendirikan masjid di Madinah sebelum yang lain-lainnya.

Masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad itu merangkumi segala-galanya. Inilah ciri penting untuk membangunkan sebuah masyarakat Islam.

No comments: