Saturday, January 13, 2007

Matlamat syarak teras kemajuan hakiki

Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria
(Berita Harian - 13 Januari 2007)

Formula terbaik ekonomi beri kemakmuran kepada semua lapisan rakyat

ISU pembangunan lama dikumandangkan sejak awal kemerdekaan lagi. Namun, mutakhir ini, ia terus menjadi bahan perbincangan terutama di kalangan pemimpin kerajaan mahupun golongan intelektual yang bertujuan menilai sama ada pembangunan yang dikecapi benar-benar menepati apa yang dikehendaki.

Secara perbandingan, pembangunan pada zaman kegemilangan Daulah Islamiyah dan pembangunan sesetengah negara umat Islam kini amat jauh berbeza. Teras pembangunan pada masa lalu adalah iman dan takwa, manakala pada zaman globalisasi ini, teras pembangunan lebih dilihat dari sudut kebendaan dan lahiriah semata-mata.

Pembangunan yang luhur sewajarnya mendatangkan kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua manusia dan tidak menimbulkan sebarang kerosakan, kerugian dan kebinasaan kepada mana-mana pihak.

Oleh itu, Islam menggariskan panduan timbang tara dalam membangunkan masyarakat dan negara. Menurut kaedah fikah, sekiranya sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan itu jelas akan mencetuskan lebih banyak keburukan dari kebaikan, maka rancangan itu perlu dibatalkan atau dicari alternatif lain. Ia membolehkan apa yang dikatakan 'win-win situation' antara pemimpin dan rakyat akan dapat diperoleh dan dinikmati bersama antara kedua-dua entiti pembangunan itu.

Keutamaan pembangunan pada zaman kegemilangan Islam itu juga, pelaksanaan pembangunan adalah berasaskan keutamaan maqasid syarak (matlamat syarak) iaitu memastikan masyarakat mendapat kebaikan dan mengelakkan kerosakan dalam masyarakat. Ia mengambil kira kepentingan yang bersifat daruriyat (darurat), kepentingan hajiyat (keperluan) dan kepentingan tahsiniyat (pengindahan). Kepentingan daruriyat merangkumi daripada lima perkara iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan maruah. Kepentingan hajiyat adalah keperluan asas seperti pendidikan, tempat tinggal dan makanan, manakala tahsiniyat pula meliputi akhlak dan budaya murni masyarakat.

Daripada senarai keutamaan ini, rakyat sentiasa dijamin hak, keadilan dan kesejahteraan hidup. Keadilan dan hak yang dimaksudkan meliputi manfaat yang diperoleh semua golongan rakyat dan tidak terhad kepada segelintir masyarakat saja. Islam menetapkan, sebelum sesuatu keperluan atau pengindahan dilakukan, rakyat perlu dipastikan memperolehi keperluan asas, keselamatan aqidah, nyawa dan harta serta maruah yang terjamin dan terbela.

Secara jelasnya, Islam tidak menghalang umatnya mengejar pembangunan asalkan faedah pembangunan itu dicapai, diurus, ditadbir dan dimanfaatkan tanpa melampaui batas hukum syarak. Kesilapan yang dapat dilihat di sesetengah negara umat Islam hari ini, hampir keseluruhan pelaksanaan sistem ekonomi mereka hanya berasaskan teori ekonomi Barat semata-mata yang terus diserap ke dalam kerangka pembangunan negara.

Kurang tepat jika modul pembangunan ekonomi berupaya membangunkan sesebuah negara ke tahap negara maju dianggap formula terbaik kepada kesejahteraan rakyat sedangkan golongan yang paling banyak mendapat keuntungan daripada kemajuan itu hanya segelintir peniaga yang bergelar jutawan.

Oleh itu, yang kaya akan terus menikmati kemewahan hidup dan yang miskin akan bertambah sengsara akibat jurang pendapatan semakin melebar. Keindahan Islam akan lebih terserlah jika hasil pembangunan diperoleh dinikmati bersama oleh seluruh anggota masyarakat. Golongan kaya akan bertanggungjawab membela golongan miskin. Sekali gus, masalah seperti kemiskinan, kecurian dan pecah amanah dapat dikurangkan kerana manusia hidup dalam suasana berkasih sayang.

Jauh sekali untuk berperasaan hasad dengki dan bangga diri. Inilah modul pembangunan pada zaman Rasulullah SAW yang perlu diaplikasikan bersama. Masyarakat Islam pada zaman Rasulullah dan Allah menggariskan peraturan hidup yang cukup cantik memberi keuntungan kepada golongan kaya, golongan kurang berkemampuan dan kepada negara itu sendiri.

Orang kaya akan rasa bersyukur dan menghormati golongan miskin. Golongan miskin pula tidak akan rasa dipinggirkan, malah meningkatkan self-esteem mereka serta menghilangkan perasaan negatif terhadap golongan kaya. Negara pula akan menikmati pembangunan seimbang dari segi material dan rohani.

Golongan miskin ini lebih rela bekerja berat untuk menampung keperluan harian mereka. Mereka mempunyai harga diri yang tinggi dan dengan itu tidak dipandang hina oleh masyarakat. Kekuatan persaudaraan membuatkan kekurangan hidup mereka tidak begitu dirasai kerana kasih sa sesama mereka yang membuatkan mereka mengutamakan saudara seIslam lain. Inilah yang dikatakan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Golongan kaya pula sentiasa bersifat pemurah, suka membantu dan berlumba-lumba membuat kebajikan. Secara tidak langsung, ia dapat mengeratkan lagi ikatan persaudaraan sesama umat Islam. Sekaligus, tidak ada dalam kamus hidup mereka perasaan tamak dan mementingkan diri masing-masing.

Sebaliknya, golongan peniaga dan saudagar paling cenderung berbuat kebajikan seperti Saidina Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. Untuk menilai pembangunan hakiki, kita tidak sewajarnya melihat kepada kulit yang cantik sedangkan isinya tidak boleh dimakan. Itulah ibaratnya sebuah kemajuan yang tiada bimbingan iman dan takwa.

Sebagai contoh, lihat saja Amerika Syarikat yang kononnya menjadi kuasa besar ekonomi dunia. Namun, negara yang sama turut mempunyai kadar jenayah antara tertinggi di dunia. Ia belum dilihat kepada sistem sosial mereka yang gawat dan pincang. Gejala anak luar nikah, seks bebas, homoseksual dan tertubuhnya kelab gay menjadi perkara biasa dalam masyarakat di sana. Pembangunan yang diusahakan juga perlu tidak bertentangan dengan fitrah kejadian manusia. Islam dengan sifat ad-Din yang ada padanya mengetengahkan sistem ekonomi dan muamalah yang bersesuaian dengan fitrah ini.

Bermula dari niat, tatakerja dan akhirnya kesan daripada pelaksanaan sistem itu, semuanya memenuhi keperluan hidup manusia sama ada dari sudut fizikal, aqli atau rohani. Modul ekonomi Islam ini turut merangkumi kerjasama antara pemimpin dan juga rakyat. Peranan pemimpin dalam membangunkan ekonomi negara dapat diteladani daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz berjaya membentuk sebuah masyarakat yang adil dan makmur.

Hasil daripada langkah beliau, keseluruhan rakyat jelata memperolehi rahmat Allah yang melimpah-ruah hingga dikatakan kambing dan serigala pun dapat hidup bersama secara harmoni. Mungkin pelik, tetapi itulah hakikatnya yang perlu diterima. Pembangunan modal insan adalah ejen pembangunan.

Berjaya atau tidak pembangunan sesebuah negara bergantung kepada ejen pembangunannya. Oleh itu, pembangunan insan adalah fokus utama dalam pembangunan Islam. Sumber manusia menjadi penentu dan kayu ukur kepada pembangunan yang hendak dicapai. Maka, pembangunan negara hendaklah bertitik-tolak daripada pembangunan insan rakyatnya.

No comments: